PAGI nirmala. Cerah dan ceria. Angin pagi bertiup lembut mendinginkan sekujur tubuh. Burung-burung sudah lama meninggalkan sarang dan bertebaran ke serata alam.
Ada yang ke hutan, ada yang ke bendang, ada yang terbang melintasi padang dan ada yang hinggap di kebun-kebun sayur penduduk Kampung Seberang Tunggal. Sepasang merbah nampak riang benar di atas pohon ciku Betawi di halaman sebuah rumah papan yang sederhana besarnya.
Di bawah pohon itu, duduk seorang budak lelaki berambut kejur. Matanya merenung lurus ke kawasan perbukitan yang masih berselimut kabus, nun jauh di hadapannya. Seusai kabus menipis dan akhirnya lenyap, sebuah vila putih yang dikenali dengan nama Vila Idaman tertancap di matanya.
Budak lelaki itu cuba mengukur vila tersebut dengan jari-jemari halusnya. Beriya-iya dia mengukur sehingga berkerut-kerut dahinya.
Ah! Ia cuma sebesar kotak mancis, kata hatinya.
Namun begitu, dia kagum kerana vila putih yang sekecil kotak mancis mampu menempek di lereng Bukit Kelumpang yang tertegak bagaikan gergasi. Vila putih itu seolah-olah telah memperkosa keunggulan kawasan perbukitan itu dengan warnanya yang putih, kontras dengan kehijauan perbukitan.
Dia selalu dimomokkan ibunya tentang kehadiran orang gila di vila itu. Bukan setakat itu sahaja, malah seluruh kampung seolah-olah menakut-nakutkannya dengan momokan yang sama.
"Isy! Jangan sebut pasal Vila Idaman. Pantang." Kata Tuk Cik.
"Kau nak ke sana? Nak cari maut? Nak kena cekik dengan orang gila tu?" ujar Pak Ngah.
Benarkah vila sekecil itu dihuni oleh orang gila? Bagaimana agaknya rupa orang gila tu? Dan, kenapa dia berada di sana bukannya di pusat rawatan pesakit otak?
"Isy! Orang gila tu buruk mukanya. Rambut panjang. Janggut tak terurus. Gigi rongak, sebiji macam gigi kau tu. Badannya kuat macam Badang. Kalau dia tangkap kau, lembik badan kau dikerjakannya," momok Tuk Cik lagi.
"Orang gila tu pernah membunuh. Dia tikam orang tu sampai terburai isi perutnya. Tak cukup dengan tu, badannya dikelar dan disiram asid. Lepas tu, dia tanam mayat orang yang dibunuhnya di belakang vila putih. Tulah sebabnya vila putih tu berhantu dan merasuk penghuninya sampai semua di situ jadi gila." Tuk Cik beriya-iya benar bercerita.
Tuk Cik suka bercerita di serambi pada waktu malam, di hadapan cahaya pelita minyak tanah. Matanya sengaja dicerlang-cerlangkan. Tangannya sengaja digapai-gapaikan seolah-olah ingin menangkap dan mencekik leher pendengarnya membuatkan budak kecil itu ketakutan.
Dijengah-jengahnya ke luar tingkap. Suasana kampung gelap membukat. Seolah-olah terpandang olehnya si gila dari Vila Idaman menyeringai di sebalik jaring-jaring tingkap itu. Dia cuba menahan kencingnya daripada terpancut.
Tetapi, cerita emak lain pula. Kata emak, Bukit Kelumpang itu berpenunggu. Kalau hendak ke sana banyak pantang larang yang harus dipatuhi. Jiwa harus putih seperti salju. Kita tidak boleh menyimpan hasad dengki kepada makhluk Tuhan, baik yang hidup mahupun yang telah mati. Baik yang tersurat, yang nampak dek pandangan mata kasar ataupun yang tersirat iaitu yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar. Makhluk itulah yang menghuni Bukit Kelumpang. Kawasan lurah yang sejuk dan jarang ditimpa cahaya matahari itulah taman permainan mereka.
Puncak bukit yang terjojol seperti tetek anak dara sunti itulah istana mereka. Kawasan-kawasan tersebut dianggap suci, tidak boleh diceroboh.
Namun, kesuciannya sudah dicabul oleh vila bercat putih. Enjin-enjin gergasi menumbangkan pokok-pokok balak yang telah berpuluh-puluh tahun usianya.
YOU ARE READING
BIASAN ARCA DI CERMIN
Mystery / ThrillerMENGISAHKAN TENTANG CEMBURU SEORANG KAKAK KEMBAR TERHADAP ADIKNYA SEHINGGA SANGGUP MENGUNCI SI ADIK DI 'BASEMENT' KETIKA API SEDANG MARAK MEMBAKAR KEDIAMAN MEREKA. APAKAH YANG TERJADI SETERUSNYA? SELAMATKAH SI ADIK?