BAB 2

1 0 0
                                    


AZEEM mencampakkan senaskhah akhbar bersaiz tabloid ke atas mejanya. Akhbar Harian Kota itu meluncur laju di atas meja yang licin bervarnis lalu melanggar beberapa batang pen serta pensel. Sebatang ball pen Pilot bergolek lalu melurut jatuh ke lantai. Tidak kuasa dia hendak mengutipnya.

Dia menoleh ke kiri. Di sebalik petisyen lutsinar itu, dia nampak seorang wartawan pelatih sedang rancak menaip.

Entah apalah yang sedang ditaip oleh gadis itu? Betul ke sedang sibuk menyiapkan kerja? Entah-entah dia sedang mengarang sajak atau cerpen? Entah-entah novel? Hatinya tertanya-tanya.

Dia menekan punat laptopnya.


Apa yang nak aku taip hari ni? Nak buat rencana tentang petua penjagaan motosikal berkuasa tinggikah? Atau, taip semula temu bual dengan Sudarman dari Sabak Bernam yang telah berjaya mencipta motosikal uniknya sejak tahun 1995 lagi? Hatinya menyoal.

Ditolehnya lagi ke arah si wartawan pelatih. Cemburu dia kepada gadis yang sedang leka menaip itu. Tidak kiralah apa yang sedang ditaipnya. Yang pasti, ideanya laju seperti aliran sungai menghampiri kepala air terjun.

Telefon pejabatnya berbunyi. Pantas sahaja tangannya mencapai gagang.


"Hello, Harian Kota."

"Hello, boleh saya cakap dengan Encik Azeem?"

"Ya, saya Azeem."

"Saya Zura. Azura."

"Azura yang mana, ya?"

"Azura Binti Datuk Badrul." Suara itu menambah fakta.

"Aha! Ingat dah. Apa khabar, Zura? Sihat ke? Kau kat mana ni? Dah balik ke Malaysia atau masih di US?"

Lawan bualnya tertawa.

"Kau ni langsung tak berubah. Masih jugak Azeem yang banyak bertanya."

"Kenalah rajin tanya kalau nak dapat jawapannya. Betul tak?"

"Ya! Betul tu!" ujar Azura sambil ketawa lagi. Riang dan mesra, seperti keriangan mereka tiga tahun lalu.


Ketika itu, langit ceria. Biru nilakandi. Di hujung sana bertapuk-tapuk awan-gemawan bagaikan gumpalan-gumpalan kapas.

Azura! Gadis Melayu yang popular di kalangan para siswa tidak mengira bangsa. Tetapi, Azura yang cantik lagi cerdik itu semakin hari semakin rapat dengannya. Ke mana sahaja dia pergi, Azura akan mengekorinya dengan senang hati. Ke kafe, ke perpustakaan, ke panggung wayang. Pantang diajak melepak, Azura tidak akan menolak.

Petang itu, Azura mengekorinya lagi. Mereka singgah di sebuah tasik yang airnya kebiru-biruan. Azura nampak ceria. Pipinya kemerah-merahan. Seulas senyuman asyik tersungging di bibirnya yang comel itu.

Sebaik sahaja mereka keluar dari perut kereta, Azura terus berlari ke tepi tasik tidak ubahnya seperti kanak-kanak yang keriangan. Rambut panjang separas pinggangnya diikat stail ekor kuda. Gaun putihnya berkibar-kibar ditiup angin petang.

Azeem mencapai kamera digitalnya. Dia mengacungkan kameranya ke arah gadis bergaun putih yang kelihatan seperti sedang menari-nari di atas padang rumput. Sebaik-baik sahaja menemui angle yang tepat, jarinya segera menekan punat pada kamera. Akhirnya foto yang dinamakan 'gadis' itu diperbesarkan dan diketengahkan dalam satu pertandingan fotografi di universitinya.

Sengaja mencuba nasib. Namun, nasib memang menyebelahinya. Dia cukup gembira tatkala foto itu memenangi tempat pertama. Hadiahnya agak lumayan juga.

"Foto 'gadis' dah terjual kepada seorang pembeli yang tak mahu dikenali." Azeem menerangkan kepada Azura perkembangan terbaharu tentang foto tersebut sewaktu mereka sedang minum petang di sebuah kafe.

BIASAN ARCA DI CERMINWhere stories live. Discover now