KAMARIA ANNE terjaga. Kepalanya berdenyut-denyut. Setiap kali tangan Jonathan hinggap ke tubuhnya, dia tidak boleh tidur akibat kesakitan yang mencengkam. Mukanya rasa bengkak. Pedih!
Dia menolak gebar ke hujung kaki. Bayang Jonathan tiada di dalam bilik itu. Setelah puas melepaskan geram pada sekujur tubuhnya, lelaki itu tidak menunggu lama. Terus keluar entah ke mana. Mungkin mencari kesedapan di tempat lain pula.
Bilik tidur itu disinari remang-remang cahaya merah jambu. Dia berjalan perlahan-lahan, mencari suis di dinding. Seketika kemudian, seluruh bilik itu terang-benderang disinari cahaya lampu kalimantang.
Kamaria menuju ke cermin. Memandang rakus sekujur tubuhnya. Dia memang dikategorikan dalam golongan perempuan cantik. Tubuhnya solid. Tidak terlalu kurus seperti tubuh model-model terkenal yang seperti menggunakan kulit untuk menyalut tulang-belulang.
Tubuhnya sedap mata memandang. Sekujur tubuh yang menjadi igauan semua lelaki. Tetapi tubuh itu sangat-sangat menderita. Ia bukan setakat diperdagangkan, dijual beli tanpa kerelaannya. Malah, Jonathan menganggapnya seperti punching bag sahaja.
Kamaria mengeluh.
Dia menilik lagi sekujur tubuh yang seperti tiada harga langsung di mata lelaki-lelaki hidung belang itu. Dia diperlakukan sesuka hati mereka. Dia dilayan seperti patung yang tidak mempunyai perasaan.
Jonathan juga tidak pernah menghargai dirinya. Lelaki itu bertindak kejam dengan memperdagangkan tubuhnya. Maruahnya sebagai seorang perempuan diinjak-injak. Tetapi apakan daya, dia tidak dapat melepaskan diri daripada cengkaman Jonathan.
"Aku tak sihat hari ni, Jo!" Dia cuba merayu lelaki yang memaksanya melayan seorang ahli perniagaan terkemuka.
Jonathan tidak peduli.
Malam itu, dia dipaksa juga menapak ke hotel lima bintang seperti yang dijanjikan. Ketika sedang berbual-bual dengan pelanggannya, Kamaria tiba-tiba berasa pening lalu jatuh pengsan. Kelam-kabut lelaki itu menelefon Jonathan.
Jonathan datang lalu menghantarnya ke klinik. Selepas itu, dia diberikan cuti selama dua minggu. Jonathan membawanya berehat jauh daripada kesibukan kota. Sebaik-baik sahaja dia sembuh, Jonathan mengerah tenaganya habis-habisan seolah-olah ingin menampung semula segala kerugiannya sepanjang dua minggu percutian mereka itu.
Kamaria mengeluh. Dia rasa dialah perempuan paling malang di dunia. Papa dan mamanya meninggal dunia dalam kebakaran 15 tahun lalu. Adik kembarnya, Sofia Anne, juga dikatakan rentung sewaktu cuba menyelamatkan Uncle Ben yang terperangkap di basement.
"Sofi! Jangan turun. Kita mesti keluar dari sini!" Dia menjerit ketika nampak Sofia membuka pintu kayu yang menghala ke basement.
"Takkan nak tinggalkan Uncle Ben?" getus Sofia. Terkebil-kebil dia memandang kakak kembarnya.
"Biarkan ajelah! Orang tua tu menyusahkan kita aje."
Walaupun kembar, sikap mereka jauh berbeza. Sofia pemberani orangnya sehingga papa dan mama menggelarnya dengan gelaran Tun Fatimah. Sofia mahir menunggang kuda dan pandai melukis. Dia juga bijak dan petah berkata-kata.
"Aku takkan keluar dari sini tanpa Uncle Ben!" kata Sofia lalu berpaling.
Ketika itu, pintu sudahpun terbuka luas. Tanpa menoleh ke arahnya, Sofia menuruni tangga lalu menuju ke bilik Uncle Ben.
Kamaria tertegak memandang. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Di tingkat atas pula, terdengar suara papa dan mamanya menjerit-jerit, memanggil-manggil namanya dan nama Sofia.
"Sofi!"
"Kay!"
"Sofi! Sofi!"
Sofi!!!
"Kenapa papa dan mama asyik panggil nama Sofi? Apakah nyawa Sofi lebih penting daripada nyawa aku?" Satu kuasa jahat seperti sedang berusaha menguasai fikirannya di saat-saat genting begitu.
Ditolehnya lagi ke arah pintu yang menghala ke basement. Bayang Sofia sudah lenyap.
"Dah sampai masanya untuk kau bertindak. Kalau Sofi tiada, seluruh kasih papa dan mama akan tumpah pada kau seorang aje!" Seperti ada satu suara sedang berbisik di telinganya.
Dia mencapai kunci yang tergantung di dinding.
"Sofi!" Suara mamanya kedengaran semakin dekat.
"Cepat lakukannya! Sesiapapun takkan tahu!" Suara itu menggesa.
Kamaria mula bertindak. Pintu kayu segera dirapat lalu dikunci dari luar. Kemudian, dia mencampakkan kunci itu jauh-jauh.
"Kay! Cepat tinggalkan vila ni. Mana Sofi?" sergah mama yang mula terbatuk-batuk akibat terhidu asap. "Mana Sofi?" Mamanya menyergah.
Kamaria geleng kepala.
"Tak tahu!"
"Bukankah tadi Sofi bersama kamu?" soal mama, cemas. Bahu Kamaria digoncang-goncang. "Mana Sofi?"
Kamaria menggeleng-gelengkan kepalanya.
Mungkin mama dapat membaca sinar aneh di matanya. Dia bingkas memandang ke arah pintu kayu yang menghala ke basement. Dipulasnya tombol pintu.
Malangnya, pintu kayu itu tidak mahu terbuka. Mama tidak putus asa. Sambil memanggil-manggil nama Sofia, tangannya terkial-kial memulas tombol dengan harapan agar pintu itu akan terbuka.
Kemudian, mama menoleh semula ke arah Kamaria.
"Mana kunci pintu ni?"
"Tak tahu! Kay tak tahu!"
Ketika itulah papanya dan Pak Mat tiba. Papa segera menolaknya ke arah Pak Mat.
"Bawa dia keluar dari sini, Pak Mat!" Papanya mengarahkan.
"Mama! Papa! No... no! No!!!" Dia meraung ketika Pak Mat mengheretnya keluar dari Vila Idaman yang seperti sedang dipanggang itu.
Itulah kali terakhir Kamaria melihat wajah papa, mama dan juga adik kembarnya!
---------------
Agak-agaknya bagaimanakah nasib Sofia yang dikunci kakak kembarnya sendiri di basement ketika api sedang marak membakar vila mereka?
Pembaca yang dihormati,
untuk makluman semua, BIASAN ARCA DI CERMIN telah diterbitkan di aplikasi clicks4book yang boleh dimuat turun di playstore telefon bimbit anda. Ebook ini mempunyai elemen thriller, crime, kasih sayang, pengorbanan, cemburu seorang kakak terhadap adik kembarnya, kisah penderaan, survival hidup. Diselitkan juga dengan sedikit kisah cinta dan kasih sayang.
Sudilah kiranya pembaca semua mendapatkan e-book ini.
YOU ARE READING
BIASAN ARCA DI CERMIN
Mystery / ThrillerMENGISAHKAN TENTANG CEMBURU SEORANG KAKAK KEMBAR TERHADAP ADIKNYA SEHINGGA SANGGUP MENGUNCI SI ADIK DI 'BASEMENT' KETIKA API SEDANG MARAK MEMBAKAR KEDIAMAN MEREKA. APAKAH YANG TERJADI SETERUSNYA? SELAMATKAH SI ADIK?