BAB 1

7 0 0
                                    


AZEEM menyandar di kerusi. Tangan kirinya menarik-narik janggut sejemput di dagu. Matanya melekat ke seraut wajah ayu di hadapannya.

Cantiknya makhluk yang Kau ciptakan ini, bisik hatinya.

Gadis bertubuh gebu itu angkat wajahnya. Pandangan mereka saling menikam. Spontan dia meliukkan kepalanya ke bahu jejaka di sisi.

Azeem tersentak. Spontan matanya beralih ke arah jejaka di sebelah gadis itu. Dua pasang mata menikam.


Jantan sama jantan!


"Yang, kawan you ni main-main mata dengan I." Adu si gadis kepada jejaka di sisinya.

Tersipu-sipu Azeem dibuatnya.

"Jangan risau, sayang. Kan I ada kat sebelah you ni." Semakin erat lelaki itu memeluk kekasihnya.

Celaka! Gerutu hati Azeem.

Malu benar dia.


"Sorrylah, Kamal. Dah girlfriend kau duduk kat depan aku jadi aku pandanglah. Jangan marah, ek." Azeem pandang wajah Kamal, sahabatnya sejak dari zaman kanak-kanak.

Kamal ketawa. Gadis di sebelahnya tersenyum lebar. Bangga mungkin!

"Aku okey aje. Dah lali dengan situasi begini. Mungkin inilah dugaan seorang lelaki yang dapat girlfriend lawa macam Aliza." Kamal menjawab sambil mencuit dagu kekasihnya.

"Isy, you ni, yang!" Aliza bersuara manja. Senyumnya bertambah lebar. Seronok dia dipuji Kamal.


Azeem senyum kelat.


"Aku pernah bertemu dengan seorang gadis yang lebih cantik daripada Aliza. Sampai sekarang, aku masih teringatkan dia." Hatinya berbisik.

Mungkin itulah cinta pertamanya. Ada orang kata, cinta pertama adalah cinta abadi. Walaupun ketika itu dia masih kanak-kanak, masih lagi belum mengerti. Dan, budak perempuan itu juga masih terlalu muda. Tetapi itulah kenangan yang sukar dilupakan Azeem. Sepasang mata rona kecoklatan itu sering menghantui ruang fikirnya sejak sekian lama.

Betul ke budak perempuan itu dah mati di dalam kebakaran besar yang berlaku di Vila Idaman, 15 tahun lalu? Hatinya menyoal.


"Apa yang kau fikirkan?" Kamal menyoal.

"Tak ada apa-apa."

"Dah lama kita tak jumpa. Kau masih macam dulu jugak. Suka ngelamun."

"Tak adalah! Aku teringatkan kau masa kecil-kecil dulu. Jahat bukan main!" gurau Azeem cuba menutup kelemahan dirinya.

"Bukan jahat, nakal! Tapi nakal aku tak setanding Lokman. Kawan kita tu dah kahwin."

"Lokman dah kahwin?" Azeem terkejut.

Beberapa bulan selepas tragedi kebakaran di Vila Idaman, Lokman mengikut keluarganya meninggalkan Kampung Seberang Tunggal. Keluarga Kamal juga telah berpindah ke Melaka kerana ayahnya bertukar kerja di sana. Maka, terputuslah hubungan mereka bertiga.

"Yup, Lokman dah kahwin. Sekarang ni dia dah tak nakal lagi. Isterinya dah berjaya jinakkan dia." Seusai mengucapkan kata-kata itu, Kamal melambakkan tawanya.

Azeem turut ketawa.

"Bila kali terakhir kau jumpa Lokman?"

"Minggu lepas. Kita orang keluar ngeteh kat Bukit Bintang." Kamal menjawab.

BIASAN ARCA DI CERMINWhere stories live. Discover now