Azri mengerling Fathia di sebelah sekilas. Melihat wajah murung itu, dalam kepalanya terus diserbu dengan berbagai persoalan. Apa yang berlaku? Siapa 'abang' yang menghubungi Fathia tadi? Dan siapa pula Emil? Namun tidak terluah apa yang bermain dimindanya ketika itu.
Fathia semakin keresahan dan tidak senang duduk. Kalau dia terlewat, peluang untuknya bertemu dengan Emil pasti semakin tipis. Memikirkan itu, perlahan-lahan nafasnya dihela sedang dalam hati tak putus berdoa semoga dia dapat bertemu dengan Emil sebelum anaknya itu berlepas ke England.
"Tia, boleh saya tahu apa yang berlaku sebenarnya ni?" Tidak sanggup bersoal jawab dengan diri sendiri akhirnya Azri bertanya juga. Semakin dia fikir semakin kusut otaknya.
Fathia berpaling memandang Azri sekilas kemudian satu keluhan dilepaskan.
"Saya nak jumpa anak saya Azri sebelum dia berlepas ke England," perlahan dan bergetar kata-kata itu diluahkan.
"Tia, saya tak fahamlah cuba awak jelaskan apa hal sebenarnya ni," soal Azri lagi semakin bingung mendengar jawapan dari perempuan itu. Kalau budak itu anaknya kenapa pula perlu dibawa ke England?
"Nanti saya ceritakan pada awak Azri," perlahan saja Fathia membalas. Hatinya memang sudah berantakan sekarang sehinggakan tiada apa yang mampu dia fikir lagi. Inikan pula hendak menjawab persoalan yang bermain di kepala lelaki itu.
Azri hanya akur sahaja. Dia tahu Fathia sedang risau dan resah sekarang dan dia tidak sepatutnya terlalu mendesak. Sabar Azri. Jangan keruhkan lagi keadaan. Bisiknya kepada diri sendiri.
"Azri awak masuk simpang kiri lepas tu awak jalan terus. Nampak taman permainan di sebelah kanan, awak berhenti ya," arah Fathia perlahan.
Azri hanya mengikut saja apa yang di arahkan. Sebaik sampai tempat yang disebutkan oleh Fathia tadi, Azri terus memberhentikan keretanya.
Fathia terus keluar dari perut kereta dan berlari menuju ke arah Khairul dan Emil. Sebaik berdiri di hadapan anak kecilnya itu, sepantas kilat tubuh kecil Emil didukung dan dipeluk kemas. Setelah hampir sepuluh minit berkeadaan begitu, pelukannya dilepaskan dan pipi Emil dicium berkali-kali. Melihat wajah polos itu, tanpa sedar air matanya menitis tetapi cepat-cepat diseka.
"Take care, sayang. Dengar cakap nenek dan jangan nakal-nakal okay. Mama sayangkan Emil," bisik Fathia lembut. Pipi mongel itu dicium lagi.
Emil mengangguk kemudian tersenyum.
"Bila Emil balik nanti Emil jumpa mama okey. Emil pun sayang mama," tulus Emil berbicara. Tubuh mamanya itu terus dipeluk erat.
"Mama tunggu Emil tau," balasnya bersama anggukan sambil menahan sebak. Tubir mata yang bergenang dengan air jernih diseka lagi.
Sekali lagi Emil mengangguk.
"Tia, abang nak balik ni. Mama dah tunggu tu," tiba-tiba Khairul mencelah setelah sedari tadi hanya memerhati sahaja perlakuan dua beranak itu.
Fathia berpaling kemudian mengangguk.
"Tolong jaga Emil baik-baik," pinta Fathia mengharap.
"Jangan risau Tia, mama akan jaga Emil. Lagipun mereka di sana hanya untuk 3 bulan aje," lembut Khairul memujuk dan meyakinkan.
Fathia diam sahaja. Air mata yang sedari tadi ditahan luruh juga. Sama ada dia rela atau tidak memang tiada apa yang boleh dia lakukan. Walaupun Emil lahir dari rahimnya tetapi dia tidak pernah diperlakukan dengan selayaknya.
"Mama sayang Emil. Ingat tu," bisiknya lalu pipi Emil dikucup lagi.
Emil yang tidak mengerti apa-apa itu hanya tersenyum.
ANDA SEDANG MEMBACA
MISI CURI HATI DIA
RomanceBila cinta itu ku temui tak akan ku biar ia mati.... Mampukah cinta yang ujud di alam maya bersatu dan bahagia? #Azri #fathia
