FATHIA mengalihkan pandangannya ke arah taman di hadapan. Nafasnya dihela berat. Melihat Emil yang sedang leka bermain papan gelongsor di taman itu, bibirnya terus mengukirkan senyuman. Untungnya jadi Emil, tak perlu nak fikir apa-apapun.
"Macam mana Tia dengan cadangan abang tadi?" soal Khairul lagi. Sudah dua kali dia bertanya tapi tiada jawapan pasti yang diterima.
Fathia berpaling memandang Khairul semula.
"Tia tak nak abang. Perkara yang dah lepas tu boleh tak kita lupakan saja. Anggapkan antara kita tak ada jodoh," lembut Fathia menolak.
Khairul mengeluh perlahan. Pandangannya dijatuhkan ke arah rumput di hadapannya. Setelah beberapa ketika dia berpaling memandang Fathia semula.
"Tia, abang masih sayangkan Tia lagi. Sampai sekarang abang menyesal sangat dengan apa yang abang dah buat dulu. Tolong Tia, bagi abang peluang sekali saja lagi," rayu Khairul untuk yang entah ke berapa puluh kali.
Fathia menarik nafas sekali lagi. Bukan dia tak sayang. Tiga tahun mereka menyulam kasih sudah pasti perasaan sayang masih bersisa. Namun apa yang berlaku enam tahun lalu begitu melukakan. Khairul membuat keputusan tanpa mendengar dahulu penjelasannya. Dia dibuang dan terbuang.
"Abang, walaupun perasaan sayang Tia pada abang masih bersisa tapi untuk Tia penuhi permintaan abang, Tia tak sanggup," akui Fathia jujur.
Khairul terus mencapai jemari Fathia tapi segera ditarik oleh Fathia.
"Abang tolong jangan macam ni," lembut Fathia bersuara. Sesungguhnya dia tidak selesa diperlakukan begitu oleh Khairul. Keadaan mereka sudah tak sama dan dia tidak mahu Khairul lupa tentang semua itu.
"Abang minta maaf Tia tapi abang dah tak sanggup lagi berdepan dengan keadaan sekarang. Abang betul-betul terseksa. Cuba Tia beritahu abang, apa lagi yang patut abang buat supaya Tia sanggup kembali semula pada abang? Abang akan lakukan apa saja Tia..apa saja." rintih Khairul lagi.
"Abang, macam mana kita nak kembali macam dulu? Keadaan dah tak sama. Abang dah jatuhkan hukuman pada Tia dan ia dah tak boleh ditarik lagi. Habis tu, abang nak Tia buat apa?" keras Fathia bersuara. Sudah lupakah Khairul apa yang diucapnya dulu? Sudah lupakah dia, luka yang diberikan kepadanya? Sudah lupakah dia?
"Setuju dengan cadangan abang lepas tu semuanya akan kembali seperti sediakala. Kembali seperti dulu Tia," pantas Khairul membalas.
Fathia menggeleng. Pandangannya dilarikan ke hadapan semula. Nafasnya dihela berat.
"Tak abang. Untuk mengikut cadangan abang, Tia tak sanggup. Tia bukan barang untuk abang tolak dan ambil sesuka hati. Tia ada perasaan," mana mungkin dia bersetuju dengan cadangan gila lelaki itu. Tak mungkin dia mempertaruhkan perasaannya demi cinta lelaki itu.
"Sudahlah abang, kita lupakan semuanya. Tia nak hidup dengan tenang dan aman sekarang. Tolong jangan ganggu Tia dengan semua ini lagi. Tia minta pada abang..tolong lupakan," sambung Fathia lagi seakan-akan merayu.
Mendengar rayuan Fathia, Khairul mengeluh perlahan. Rambutnya diraup kasar. Sudah puas dia memujuk dan merayu namun jawapan Fathia tetap sama. Dia sudah mati akal. Apa lagi yang dia ada? Pujukan bagaimana lagi yang perlu dia lakukan? Tidak cukup tuluskah permintaannya itu? Tidak terkesankah Tia dengan rayuannya?
"Tia, tolong lakukan ini demi Emil. Abang tahu Tia sayangkan Emil,"
Fathia tertunduk lama. Tiba-tiba air matanya menitis. Kenapa kasih sayangnya terhadap Emil perlu menjadi pertaruhan? Khairul lebih tahu bagaimana sayangnya dia pada si kecil itu. Lama Fathia terdiam sebelum dia mendongak memandang Khairul semula. Air mata yang menitis pantas di seka perlahan.
YOU ARE READING
MISI CURI HATI DIA
RomanceBila cinta itu ku temui tak akan ku biar ia mati.... Mampukah cinta yang ujud di alam maya bersatu dan bahagia? #Azri #fathia