Bab 5 - Pertemuan Pertama

251 8 0
                                    


FATHIA mengerling jam di tangan. Masuk kali ini sudah beberapa kali jam di tangannya itu di jeling. Mesej dari Azri tengah hari tadi bermain-main di kepalanya.

Tia, saya berada di JB sekarang. Kerja-kerja saya akan selesai dalam pukul 4.00 petang. Saya berharap sangat awak akan call dan saya boleh jumpa awak.

Fathia mengeluh perlahan. Serba salah dia dibuatnya. Pening kepalanya dengan permintaan lelaki itu. Azri, kenapalah awak suka memaksa? Desisnya dalam hati.

"Tia, kau kenapa?" soal Suhaili hairan. ABC di hadapannya dikacau-kacau sebelum disuap ke mulut.

Fathia menggeleng sambil tangannya laju menyuap cendol pulut di hadapan.

"Kau jangan nak tipu aku. Baik kau cakap dengan aku apa halnya ni? Resah aje aku tengok. Ada problem dengan Khairul eh?" tebak Suhaili melulu. Kalau tadi lembut saja nada suaranya kali ini sudah berbunyi tegas pula.

"Bukanlah, bukan pasal Khairul," jujur Fathia menjawab.

"Okey, kalau bukan sebab Khairul kenapa kau jadi macam ni?" soal Suhaili lagi seakan-akan memaksa.

"Azri," sepatah Fathia menjawab.

Sudah tercengang Suhaili memandang sahabatnya itu. Azri? Azri mana pulak yang interframe dalam hidup Fathia sekarang? "Azri mana pulak ni?"

"Azri kawan Facebook tu lah," acuh tak acuh Fathia menjawab.

"Oh si mamat sengal tu eh?"

Fathia mengangguk.

"Okay, tapi kenapa dengan dia?"

"Dia ada di JB sekarang dan dia nak jumpa aku,"

"Jumpalah, jadi apa masalahnya?" soal Suhaili hairan.

"Masalahnya Elly, aku tak nak jumpa dia," keras Fathia menjawab.

"Apasal kau tak nak jumpa dia?"

"Tak ada pasal apa-apa. Aku memang tak nak jumpa dia,"

Suhaili menggeleng. Orang nak ajak jumpa aje bukan suruh buat apa pun.

"Aku rasa tak salah kalau kau jumpa dia. Kata kawan kan? Apa salahnya jumpa kawan. Ke kau ada hati kat dia sebab tu malu nak jumpa," lancar saja Suhaili membidas.

Fathia memandang Suhaili tajam.

"Kau cakap apa ni? Aku dengan dia cuma kawan Facebook aje lah," keras Fathia membalas. Geram pula dengan tuduhan Suhaili tadi.

"Kalau kawan Facebook tak boleh jumpalah. Macam tu?"

"Bukan macam tu Elly, tapi aku memang tak pernah terniat pun nak jumpa dia. Tak boleh ke kalau setakat kenal di Facebook aje?"

"Tia, aku rasa tak salahpun kalau kau jumpa dia. Setakat jumpa aje pun," pujuk Suhaili pula.

Fathia terdiam. Mati kutu tiba-tiba. Nak jumpa atau tidak? Soalnya dalam hati.

"Kau temankan aku jumpa dia," pinta Fathia berharap.

"Apasal nak libatkan aku pulak?" soal Suhaili sambil tekun menyuap ABC di hadapannya tanpa menghiraukan sahabat di sebelahnya itu.

"Malulah nak jumpa dia sorang-sorang. Lagipun ini baru pertama kali kita orang nak berjumpa," pujuk Fathia lembut.

Suhaili tergelak. Malu rupa-rupanya. Patutlah beria-ia tak nak jumpa. Di Facebook bukan main berani lagi nak berdepan kecut perut. Itulah Tia, lain kali jangan berani sangat. Kutuknya dalam hati sambil tersenyum.

MISI CURI HATI DIAWhere stories live. Discover now