SEBAIK sahaja pintu biliknya ditutup, Fathia terus berjalan menuju ke lif kemudian butang turun ditekan. Apabila pintu lif terbuka, dia terus sahaja memasuki perut lif dan butang G ditekan pula. Sampai saja ke tingkat yang di tuju, pintu lif itu terbuka semula. Fathia terus saja keluar. Baru saja beberapa langkah Fathia berjalan tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil. Fathia berpaling. Langkahnya terus terhenti dan dia terkedu di situ.
"Azri" perlahan Fathia bersuara. Sudah tak berkelip matanya memandang lelaki itu. Bagaimana Azri tahu dia di situ?
"Sampai hati awak tak call malah tak jawab panggilan saya Tia," tutur Azri perlahan. Matanya tajam memandang Fathia yang sedang terpaku di hadapannya.
Fathia terdiam. Nafasnya ditarik berat.
"Sorry Azri saya betul-betul sibuk," perlahan Fathia membalas. Melihat kelat riak di wajah lelaki itu, air liur yang ditelan juga terasa payau sahaja. Memang dia bersalah. Sejak semalam lagi lelaki itu menelefonnya namun tiada satu pun panggilannya berjawab. Bukan dia tidak sudi tetapi memang dia tiada niat langsung untuk bertemu Azri lagi.
"Nasib baik saya jumpa Elly malam tadi kalau tidak saya pun tak tahu yang awak sudah berada di KL dan berada di sini sekarang Tia," luah Azri lagi.
"Azri saya dah beritahu awak sebelum ini kan kedatangan saya ke sini kerana urusan keluarga," lembut Fathia bersuara.
"Tia takkan lah sekejap pun awak tak boleh luangkan masa untuk berjumpa dengan saya? Awak sendiri kata kan kita ni kawan atau awak memang dah tak nak jumpa saya lagi," sinis Azri melepaskan isi hati yang terbuku sedari malam tadi.
Fathia mengeluh perlahan. Terasa pula dengan kata-kata lelaki itu tadi. Bersalahkah dia? Soalnya berkali-kali dalam hati.
"Sorry Azri saya bukan tak nak jumpa awak tapi masa saya di sini agak terhad," lembut Fathia menafikan walau memang itulah hakikat yang sebenarnya.
Azri terdiam dan masih berdiri kaku di hadapan perempuan itu.
"Jom temankan saya breakfast. Sambil makan kita boleh berbual lagi," pujuk Fathia lembut. Senyuman manis dihulurkan kepada lelaki di hadapannya itu.
Azri masih membatu di situ. Dia benar-benar terasa dengan apa yang Fathia lakukan. Dia menangguhkan urusan kerja semata-mata untuk bertemu perempuan itu tapi Fathia pula seolah-olah cuba menjauhkan diri darinya. Azri mengeluh perlahan. Dari pukul tujuh pagi tadi dia sudah menunggu Fathia di situ. Seperti orang bodoh saja rasanya. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia perlu berkelakuan begitu. Azri.Azri.kau memang bodoh! Kutuknya pada diri sendiri.
"Azri" panggil Fathia perlahan. Melihat kelat air muka lelaki itu semakin kuat rasa bersalah menghentam hatinya.
"Please Azri janganlah macam tu. Saya minta maaf okey," semakin lembut Fathia memujuk.
Azri menarik nafas perlahan dan akhirnya dia mengangguk. Sesungguhnya dia kalah dengan senyuman dan bisikan lembut itu. Azri kau ni memang tak boleh harap. Pantang dengar perempuan merayu sikit dah cair. Cubalah jual mahal sikit! Bisik hatinya lagi mengutuk kelemahan diri.
Fathia tersenyum. "Jom," ajaknya lagi.
"Hari ini saya belanja awak makan. Awak boleh makan apa saja yang ada di sini. Nak makan semua pun boleh," usik Fathia sambil tersenyum. Sengaja hendak memancing mood lelaki itu.
"Awak ingat saya tong sampah ke nak suruh saya makan semua yang ada kat sini," bebel Azri geram sambil menguntum senyum segaris.
Semakin lebar senyum Fathia melihat senyuman di bibir lelaki itu. "Nah! Akhirnya awak senyum juga," usik Fathia nakal.
YOU ARE READING
MISI CURI HATI DIA
RomanceBila cinta itu ku temui tak akan ku biar ia mati.... Mampukah cinta yang ujud di alam maya bersatu dan bahagia? #Azri #fathia