CIS : Bab 13

207 5 0
                                    

BUKU nota di atas meja diselak ke bahagian kertas yang masih kosong tanpa ada sebarang dakwat menyentuh permukaan bersih kertas putih itu. Kelas yang tadinya sunyi-sepi dengan bilangan pelajar yang sedikit kini mulai sedikit sebanyak dipenuhi para pelajar.

Kerap kali Nurin mendongak memandang ke arah pintu masuk menanti ketibaan Husna dan Hanan tetapi masih juga kelibat bayang si kembar itu tidak kelihatan.

Haih, dua orang ni datang ke tidak? Desis hati Nurin.

Keluhan dilepaskan sebelum dia menundukkan kepala untuk memeriksa telefon pintarnya. Tidak lama kemudian, Nurin dapat rasakan tempat duduk disebelahnya sudah dihuni oleh seseorang. Lantas Nurin mengangkat kepala untuk melihat gerangan figura itu.

“Eh, Wafiy? Kau pun datang juga ke? " Sedikit terkejut Nurin melihat Wafiy di depan mata. Sudah dekat tiga hari lelaki itu ponteng kelas tambahan dengan alasan malas.

Wafiy yang mengeluarkan buku catatan dari dalam beg sandang berwarna hitamnya mengukir senyuman kecil. Nurin dikerling sekilas sebelum dia menganggukkan kepala. Buku catatan serta pen diletakkan di atas meja di depannya.

Of course. Kau ingat aku ni pemalas sangat ke? Cukup-cukuplah aku ponteng selama tiga hari ni. Tak tahan asyik kena bebel dengan abang sendiri. Boleh bernanah telinga aku. " Nurin ketawa mendengar aduan Wafiy. Nurin tahu abang sulung Wafiy itu berperangai seperti mana. Itupun Wafiy yang selalu berkongsi cerita.

“Husna dengan Hanan tak datang ke? " Wafiy pula menyoal. Nurin mengangkat kedua belah bahu. Kedua-dua orang kawannya itu tiada memaklumkan apa-apapun kepadanya tetapi tidak pernah-pernah Husna dan Hanan ponteng kelas tambahan.

“Entahlah. Tak ada pula Husna dan Hanan inform apa-apa dekat aku. Aku rasa datang kut tapi lambat. " Kening Wafiy berkerut sedikit mungkin turut memikirkan sebarang kemungkinan kemudian dia menganggukkan kepala.

“Ni kau datang sini siapa hantar? " Soalan dilontarkan Wafiy cukup ringkas tetapi mampu membuatkan Nurin terus berasa gelisah.

Yang menghantarnya ke sini sudah tentulah Arrazh. Mana suaminya itu mahu membenarkan Nurin menaiki taxi. Alasan diberikan bahaya. Sekarang pun Arrazh bukannya terus balik rumah.

Lelaki itu memberitahunya tadi dia akan menemui Adyeen di kafe berdekatan kelas tambahan Nurin untuk membincangkan sesuatu memandangkan Adyeen pun ada masa terluang.

Setelah kelas Nurin selesai nanti barulah Arrazh pun akan berganjak sama. Katanya satu kali jalan senang tidak perlu berulang-alik lagi. Nurin pula tidak memberikan sebarang komen lain. Hanya bersetuju.

“Err... Taxi. " Tipu Nurin. Berpura-pura memeriksa catatan di dalam buku notanya untuk mengelakkan hubungan kontak mata dengan Wafiy.

Lelaki itu cukup mengenalinya sehinggakan boleh mengetahui sama ada Nurin berlaku jujur ataupun tidak sebab itulah Nurin memilih untuk mengelak daripada bertentang mata dengan Wafiy.

Sudah berapa tahun lamanya mereka menjalinkan hubungan persahabatan, mereka sudah masak dengan perangai masing-masing.

“Taxi? Kalau macam tu balik nanti kau ikut aku lah. Lagipun Abang Adnan akan ambil Kak Alexa dekat rumah kawan dia nanti. Rumah kawan Kak Alexa tu pun satu area dengan rumah kau. Jimat sikit duit kau. Macam mana? "

Cikgu Itu SuamikuWhere stories live. Discover now