CIS : Bab 10

187 8 2
                                    

SUARA nyanyian merdu serta petikan gitar membawa Nurin menuju pintu keluar untuk ke kolam renang. Dijenggukkan sedikit kepalanya melihat ke luar. Kelibat Arrazh yang duduk di atas kerusi sambil bermain gitar itu menyapa pandangannya. Lelaki itu terus bernyanyi dengan suara merdunya.

Kepalanya pula dipanggung melihat purnama yang terang dengan cahaya menerangi kegelapan di malam hari. Nurin berdiri kaku. Terkebil-kebil melihat suaminya dari arah belakang. Dia tidak pernah tahu yang Arrazh mempunyai suara semerdu itu.

Lelaki itu menyanyikan lagu Heartbreaker Anniversary yang dinyanyikan oleh Giveon. Keberadaan Nurin di situ langsung tidak disedari oleh Arrazh. Malah lelaki itu terus melayan perasaannya sendiri. Seakan-akan tenggelam dalam dunianya.

“Just like the day that I met you. The day I thought forever. Said that you love me, but that'II last for never. It's cold outside... "

“Like when you walked out my life. Why you walk out my life? "  Nurin tidak lepas dari memerhati jari Arrazh yang lincah memetik tali gitar untuk menghasilkan muzik yang kedengaran persis seperti di lagu itu.

“I... Get like this every time. On these days that feel like you and me. Heartbreak anniversary... "

Nurin dapat rasakan bahawa lagu yang dinyanyikan oleh Arrazh itu bukan hanya sekadar kerana suka-suka. Tetapi kerana ada kemungkinan lelaki itu terkenang akan sesuatu. Anak mata coklat gelap milik Arrazh itu pun jelas memancarkan satu perasaan yang tidak pernah sama sekali dilihat Nurin sepanjang mereka menjadi suami isteri.

Sedih dan kelam.

Setiap ayat yang dia nyanyikan seperti benar-benar dia maksudkan. Aura Arrazh pun berbeza. Di sekitarnya terasa suatu perasaan halus yang sukar untuk ditafsirkan. Nurin berdiri kaku. Pandangannya jatuh melihat ke lantai. Mungkinkah Arrazh teringat akan bekas kekasihnya itu?

Bekas kekasih yang melarikan diri daripada pernikahannya dengan Arrazh sehinggakan Nurin yang menjadi gantinya. Nurin tahu perkara ini akan terjadi lambat-laun. Namun entah mengapa walaupun sudah lama dia menyiapkan diri, tetapi terasa dirinya masih gagal. Lututnya terasa lemah. Semangatnya kian meruntun.

Benarkah Arrazh teringat akan bekas kekasihnya itu? Dari lagu yang dinyanyikan itu saja Nurin pasti Arrazh memang betul-betul mengenang gerangan yang bertaktha di hatinya itu. Gerangan seorang wanita yang memiliki hati Arrazh sepenuhnya. Tapi benarkah? Benarkah hati Arrazh masih menjadi milik wanita itu?

Nurin buntu. Persoalan yang bermain di benak fikirannya tidak akan pernah terjawab melainkan dia sendiri yang bertanya terus kepada Arrazh. Namun tetapi entah kenapa mustahil pula rasanya. Nurin tidaklah terlalu berani untuk berdepan suaminya itu.

Belum tentu juga Arrazh akan menjawab persoalannya. Entah-entah lelaki itu lebih memilik mendiamkan diri daripada menjawab. Tidak pun pasti ada alasan lain yang diberikan oleh Arrazh. Dan alasan apa pula bagi Nurin untuk bertanyakan soalan seperti itu kepada Arrazh?

Dia sudah pernah berjanji pada dirinya untuk tidak jatuh cinta pada suaminya itu. Nurin tidak akan lupa pada janjinya itu. Dia akan kekal mempertahankan benteng di dalam dirinya. Bagi Nurin, dia hanyalah sekadar pengganti bukan orang yang tepat.

Siapa tahu statusnya sebagai seorang isteri akan berakhir apabila pujaan hati Arrazh itu kembali semula menuntut haknya. Tetapi hak sebagai apa? Hak sebagai seorang kekasih?

Jika difikirkan Nurin yang lebih mempunyai hak. Ini kerana dia memegang status sebagai isteri sah kepada Arrazh. Pernikahannya dengan Arrazh sah di sisi undang-undang mahupun agama.

Namun Nurin bukanlah seseorang yang mementingkan diri. Jika Arrazh memilih bekas kekasihnya suatu hari nanti. Nurin bersedia untuk melepaskan statusnya sebagai seorang isteri mahupun melepaskan Arrazh.

Cikgu Itu SuamikuWhere stories live. Discover now