LAMA gambar itu di tenung oleh Syafinaz. Hati masih berbolak-balik sebenarnya namun apa yang boleh dilakukan? Dia sudah terlanjur berjanji dengan ibu bapanya.
Berkulit tan, berbadan agak tegap. Syafinaz anggarkan lelaki itu berketinggian 180 cm ke atas, mungkin? Dia hanya main agak saja.
Macam mana Syafinaz tahu dia bakal askar? Oh, sudah tentulah daripada uniform askar yang dipakai lelaki itu dan petanda yang lebih besar lagi ialah lelaki ini bergambar di hadapan pintu gerbang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Budak belum habis sekolah rendah pun dapat teka lelaki ini adalah bakal askar.
"Kau biar betul nak kenal dengan lelaki tu?" Syafinaz kalih ke kanan, terlupa dengan kehadiran sahabat baiknya itu.
"Entahlah. Aku ragu-ragu sebenarnya tapi aku dah janji dengan ibu ayah aku jadi aku kenalah tunaikan, kan?"
"Janji memanglah janji, tapi kebahagiaan kau macam mana?"
"Lah, bukannya jumpa ni terus kahwin pun. Kenal je dulu. Kalau tak serasi, cakap jelah tak nak. Apa susah?"
Dahi Syafinaz langsung dijentik kuat oleh Farisya Nadya. Tak puas hati sungguh dia dengan jawapan bersahaja Syafinaz itu.
"Aku yang tak lahir dalam keluarga kau tu pun dapat bayangkan apa yang akan jadi kalau kau cakap tak nak dekat lelaki ni. Encik Hambali kesayangan kau tu pastinya takkan putus asa tau. Puan Mariam jangan cakaplah. Silap-silap, lelaki dari Rusia pun dia boleh bawa balik ke Malaysia ni."
Syafinaz cebik bibir tak puas hati kerana dahinya sakit dijentik Nadya. Alahai, yang gelabah sangat si Nadya ini kenapa? Bukan dia yang kena pun, kan?
"Pandai-pandai akulah nak susun ayat bagaimana nanti. Aku pun dah arif sangat dengan perangai ibu dan ayah aku tu. Eh, lelaki ni yang lambat sangat ke atau kita yang awal sangat ni?" Nadya angkat sedikit lengan bajunya sebelum jam ditilik sekilas. Dia kemudian menggeleng perlahan.
"Aku tahulah kau tu tak sabar sangat nak jumpa bakal suami kau tu tapi tak payahlah sampai datang sejam awal! Ni ada lagi 45 minit tau. Cakap jelah kau tu dah terpikat dengan calon suami kau!" Tempelak Nadya mengundang cebikan di bibir Syafinaz. Memandai saja Nadya kata dia dah terpikat. Dia dan Nadya sedang bercuti, apa salahnya datang awal pun. Membuat orang menunggu adalah satu perkara yang dia tidak suka lakukan.
Berkaitan soal terpikat pula, hurm okay dia mengaku dia agak sedikit tertarik dengan calon ketujuh ini. Tertarik tau, bukan terpikat! Dua perkataan yang baginya memberi erti berbeza. Dia sedikit tertarik kerana sebelum ini calon yang diperkenalkan oleh ibu bapanya adalah doktor pakarlah, doktor gigilah, doktor kanak-kanaklah. Tak pernah jauh dari perkataan doktorlah senang cerita.
Sudahlah dia juga bekerja di hospital biarpun bukan sebagai seorang doktor tetapi dia tersangatlah rasa bosan apabila mendapat tahu calon sebelum ini adalah doktor. Isi perbualan dia dan calon-calon sebelum ini hanyalah berkisarkan tentang hospital dan beberapa perkataan berkaitan penyakit serta nama saintifik mereka. Oh, tolonglah! Waktu hendak makan pun takkanlah tiba-tiba mahu berfikir tentang nama saintifik penyakit dan seumpama dengannya.
YOU ARE READING
Bukan Pujaan Hati [ON-GOING]
RandomTrauma masa lalu menyebabkan Marlia Syafinaz menutup pintu hatinya daripada mana-mana cinta lelaki. Ketika ibu dan ayahnya sendiri memaksa dia mengahwini Ayden Lutfi, Marlia Syafinaz mula kalut setengah mati. Tidak dapat melepaskan kemarahan kepada...