BAB 08

14 3 3
                                    

RIAK wajah keruh semakin jelas terpampang

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

RIAK wajah keruh semakin jelas terpampang. Hatinya berdongkol marah apabila melihat segala notifikasi yang muncul pada telefon Syafinaz.

'Takkan seorang pun tak nak bertanya tentang keadaan Syafinaz? Ni semua sibuk dengan persiapan majlis tu sedangkan Syafinaz tak mahu teruskannya,' gumam hati Nadya.

Dia memang tak beritahu keluarga Syafinaz bahawa Syafinaz masuk hospital. Yelah, dulu semasa Syafinaz mahu gantung diri pun keluarganya ambil tak endah saja. Kata mereka, Syafinaz hanyalah mengada-ngada. Setakat putus cinta saja dah tergedik mahu bunuh diri. Seolah tiada pedoman mereka kata.

Punyalah Nadya dulu panik dan ketakutan separuh mati saat mendail satu-persatu ahli keluarga Syafinaz tetapi hanya dipandang mudah oleh mereka. Sekarang ini memang tidaklah dia mahu buka mulut kepada keluarga itu.

"Kalau aku bagitahu pun, mesti mereka kata Syafinaz cuma nak lari dari majlis tu. Alahai, keluargalah sangat! Keluarga apa yang tak peduli antara satu sama lain?" Nadya berdecit, sudah sangat arif dengan keluarga Syafinaz.

Keluarga Syafinaz sangat pentingkan akademi dan kelas sosial. Ayah Syafinaz merupakan seorang askar pencen yang mempunyai syarikat pembinaan sendiri manakala Puan Mariam pula menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah elit di ibu negara. Abang sulung Syafinaz yang garang itu pula ialah seorang medical assistant di sebuah hospital swasta dan kakaknya, Syahirah adalah doktor pakar, juga di hospital swasta.

Kalau dilihat sekali imbas, keluarganya tiada cacat celanya. Pandai, lebih daripada mampu, dan bekerjaya, termasuklah Syafinaz sendiri. Tapi, iyelah. Tak semua yang kelihatan sempurna itu memang sempurna apa adanya. Banyak sudah luka yang Nadya lihat dalam keluarga itu.

Tak pentingkan kesihatan mental anak sendiri, dan kalau mahu buat pilihan perlu ikut kata ibu dan ayah. Kalau begitu, apa gunanya erti perkataan 'pilihan' dan 'memilih' jika semua perkara mahu ikut telunjuk ibu dan ayahnya?

Kalau Nadya yang berada di tempat Syafinaz, mungkin dia sudah lari dari Malaysia. Dia berjiwa bebas dan tak suka ikut telunjuk sesiapa. Mungkin itu adalah sebab abang sulung Syafinaz tidak sukakan dia. Dari hari pertama dia kenal dengan Syafinaz, abangnya tak pernah tunjuk reaksi senang apabila dia muncul sehingga sekarang.

Bayangkan, berapa tahun Nadya dibenci tanpa sebab oleh seorang Maliq Syahmi. Bukan dia tak tahu apa yang lelaki itu selalu racun ibu dan ayah Syafinaz tetapi mujurlah ahli keluarga Syafinaz yang lain baik dengannya. Cuma yang seorang itulah, mungkin hati dah hitam sangat kut.

"Kau ada nak apa-apa tak? Aku boleh turun belikan." Gelengan lemah tanda jawapan daripada Syafinaz. Syafinaz sudah sedar awal pagi tadi dan berjaya melepasi tahap kritikal. Betapa bersyukurnya dia sebaik saja sepasang mata coklat gelap itu kembali melawan iris matanya.

"Kalau macam tu, aku turun bawah kejap tau. Aku nak beli jajan dulu. Hati-hati ek? Aku turun tak lama mana pun."

Langkah kaki diatur menuju ke kantin hospital yang tidak terlalu jauh dari bilik Syafinaz. Dia tak boleh tinggalkan Syafinaz terlalu lama, takut ada sesuatu yang buruk akan terjadi.

Sedang dia memilih beberapa bungkusan makanan ringan, dirinya tiba-tiba ditegur oleh seseorang.

"Eh, awak kawan Syafinaz, kan?"

Nadya angkat muka, kemudian kerut dahi. Dia cuba mengingati jejaka di hadapannya ini sebelum matanya membulat.

"Ayden, kan?"

"Betul!"

Bibir diketap. Nadya mula rasa teragak-agak. Patutkah dia beritahu Ayden bahawa Syafinaz masuk hospital? Atau diam sahaja?

"Kenapa awak ada dekat sini? Bukan tempat kerja awak di hospital lain ke?" soal Ayden.

Memanglah lain awaknya. Buatnya Syafinaz itu masuk wad di hospital tempat mereka bekerja, mahu kecoh nanti. Bukan dia tak tahu betapa kepochi pekerja di hospital mereka itu.

Mahu nanti mereka bergosip dan mengata ahli keluarga Syafinaz berpendidikan bagus-bagus, tapi sakit mental dan mahu bunuh diri. Sangatlah tidak kelakar ya.

"Oh, saya jumpa kaw— "

"Ayden, kenapa lambat sangat?"

Nadya dan Ayden sama-sama menoleh ke arah suara itu. Betapa terkejutnya Nadya apabila melihat figura Maliq Syahmi sedang berdiri di hadapan mereka.

'Alamak! Apa yang dia buat dekat sini? Ini bukan hospital tempat dia kerja pun!' Nadya sudah cemas setengah mati. Mampus dia jika lelaki itu tahu keberadaan adiknya di hospital itu.

"Kau! Apa yang kau buat dekat sini?!" Suara Syahmi mula melengking kuat sebaik saja dia nampak muka Nadya. Betapa bencinya dia lihat wajah itu. Baginya, kerana Nadyalah Syafinaz jadi anak yang tak dengar kata.

"Hospital ni tempat awam kut. Suka hati akulah nak pergi mana pun. Yang kau sibuk sangat nak tahu kenapa?" Sekali dengan pakej jelingan tajam Nadya bidas soalan Syahmi.

Cepat-cepat dia menyelesaikan pembayaran sebelum berlalu dari situ. Malas dia nak tengok muka Syahmi yang ketat seperti kurang minyak di skru itu. Menyakitkan hati je!

"Ayden, aku nak pesan dekat kau supaya kau hati-hati dengan budak tu. Dia jahat, Syafinaz pun jadi jahat sebab dia."

"Hah? Eh, tapi aku tengok dia baik je."

Syahmi dengus kuat. Mana ada orang jahat nak mengaku dia tu jahat!

"Tak ada maknanya dia baik. Lepas je Syafinaz kawan dengan dia, terus Syafinaz tu jadi pemberontak dan tak dengar kata ahli keluarga dia sendiri. Memang bawa pengaruh buruk si Nadya tu!"

Ayden kerut dahi. Walaupun baru sekali dia berjumpa dengan Nadya, dia rasa wanita itu tidaklah jahat seperti yang disangka Syahmi. Syafinaz jadi pemberontak? Mungkinkah kerana ahli keluarga sendiri kerana Ayden rasa Nadya bukanlah orang yang berperangai jahat seperti itu.

"Kau macam dah lama je benci dia. Takkan sebab tu je kau benci dia?" tanya Ayden. Mereka melabuhkan punggung di kerusi kantin hospital.

"Memang dah lama pun aku benci dia. Sejak dia mula kawan dengan Syafinaz lagi. Sebab dialah Syafinaz tu jadi tak boleh di kawal. Sebelum ni elok je dengar kata ibu bapa kami. Bila kenal je dengan budak tu, terus berubah!"

Ayden geleng kepala. Seburuk itukah Nadya di mata seorang Maliq Syahmi? Entahlah, dia pun bukan boleh percaya sangat. Zaman sekarang ini orang yang kelihatan baik itu kadang boleh jadi sejahat-jahat manusia.

"Ikut kaulah tapi satu je yang aku nak cakap. Jangan terlalu benci kepada orang yang tak buat salah apa-apa dengan kita. Takut nanti dah terhantuk baru nak terngadah. Risau kau tak sempat nak berbaik je dengan dia."

"Tak ada maknanya aku nak berbaik dengan dia. Mati hidup budak tu tak ada kena-mengena dengan aku. Biarlah dia nak jadi apa pun, yang penting Syafinaz tak ikut perangai buruk dia tu."

Ayden diam dan hanya mampu menggeleng kepala. Susah betul kalau tengah bercakap dengan orang yang ada ego tinggi melangit seperti Maliq Syahmi itu.

TBC.

Bukan Pujaan Hati [ON-GOING]Where stories live. Discover now