"DAH kenapa muka kau masam mencuka je ni? Cuka pun aku rasa tak adalah sampai masam begini. Ada masalah ke?" Wajah mendung Syafinaz dipandang hairan oleh Nadya. Hari ini rasanya sudah hampir lima kali Syafinaz beri ubat yang salah kepada pesakit. Rakan sehidup sematinya itu langsung tak fokus hari ini.
"Hei, kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?" Nadya ketepikan fail yang berada di hadapan Syafinaz lalu menarik badan rakannya itu menghadap dia. Tak boleh dia nak bekerja dalam keadaan tak ceria seperti ini. Tak best!
Keluhan panjang terlontar dari ulas bibir Syafinaz. Berat masalah yang bakal dia ceritakan kepada Nadya kali ini. "Ayah paksa aku kahwin dengan mamat askar tu," jelas Syafinaz dengan wajah yang masih mencuka.
Nadya garu kepala. Ini kes kena kahwin paksalah, kan? Alahai, dia jadi bingung mahu beri nasihat apa sebab sebagai anak, mestilah kita kena akur arahan ibu bapa tetapi sebagai manusia dan perempuan, kita mempunyai hak untuk memilih dengan siapa kita nak kahwin, kan?
"Tak payah cakap apa-apa. Aku tahu kau akan suruh aku ikut cakap ayah aku." Syafinaz sudah tarik muka. Bukan boleh percaya sangat si Nadya ini. Agaknya kalau ayahnya suruh dia kahwin dengan bangla pun Nadya setuju saja.
Nadya juling mata ke atas. Dia belum buka mulut sudah disembur macam-macam. Niatnya baik kut, dia nak tolong saja. "Aku tak cakap apa-apa lagi. Kau ni, cepat sangat buruk sangka dengan aku. Bagi akulah, dalam kes kau ni, 50 kau ikut cakap ayah kau dan 50 lagi kau ikut kata hati kau."
Wanita di hadapan Nadya itu kerut dahi, tidak faham dengan apa yang Nadya katakan.
"Apa maksud kau?"
"Maksud aku, sebagai seorang ayah, mestilah dia tahu apa yang terbaik untuk anaknya dan sebab tulah dia suruh kau kahwin dengan mamat tu. Mungkin dia tahu dan yakin Ayden tu budak baik, jadi sebab tulah dia suruh kau kahwin. Lagi 50 tu pulak, kau kan dah besar. Kau dah boleh fikir mana yang baik dan buruk untuk diri kau sendiri. Buat istikharah, fikir betul-betul adakah kau akan bahagia jika teruskan perkahwinan ni nanti. Kalau kau tak yakin, jelaskan semuanya dekat keluarga kau. Kita ni hidup akan sentiasa diberi pilihan. Cuma bijak atau tidak je pilihan yang kita pilih tu. Ni pendapat akulah tapinya, dan aku yakin kau pun ada pilihan kau sendiri, kan?"
Syafinaz angguk kecil. Dagu ditopang ke meja dan dia memandang Nadya semula. "Sebab aku tak yakinlah aku tak nak kahwin dengan mamat tu. Aku kenal dia tak sampai berapa hari pun tapi kena paksa tu macam aku dah buat dosa besar dengan dia. Rimaslah asyik suruh kahwin je. Ingat kahwin ni senang ke?"
"Tak mudah dan tak susah jugak weh. Kita ni perempuan cuma kena pelihara solat, berpuasa di bulan Ramadan, jaga maruah, dan taat kepada suami je sebelum kita bebas pilih pintu syurga yang kita nak. Aku setuju dengan kau tentang kahwin ni tak mudah tapi sebenarnya tak susah jugak kalau kita betul-betul mengamalkan hidup secara Islam dalam dunia rumahtangga kita nanti."
Syafinaz tergelak lucu. Entah kenapa dia rasa kelakar dengan kata-kata Nadya. "Kenapa eh, orang yang single tu selalu bagi tips macam dah kahwin? Macam mana kau orang boleh terfikir tips-tips tu eh?"
"Pesona seorang solo motae jangan diragukan lagi eh? Kami ni nampak je sendu tapi dalam otak banyak gila tips percintaan. Tinggal nak ditumpahkan je. Kami dah buat persediaan sebelum bercinta tapi tak bercinta lagi, sebab tulah jadi terlebih banyak tips ni."
Syafinaz mencebik, tapi dalam hati setuju dengan Nadya. Dia dulu ketika bercinta dengan burung kedidit itu pun Nadyalah yang paling banyak bagi tips. Yelah, orang yang bercinta kan selalunya buta kejap. Lepas dah putus baru mata tu boleh buka seluas alam.
"Apa-apapun, cubalah terima Ayden tu dulu. Aku tengok baik budaknya. Hensem pun hensem. Kalau nak banding dengan si burung kedidit tu, bagai langit dengan bumi kau tahu."
Kali ini Syafinaz gelak besar. Dia faham maksud Nadya itu. Ya, dia setuju dengan Nadya yang mahu kata si burung kedidit itu muka macam kapal pecah. Muka buruk dan perangai pun ikut buruk juga. Nampak ya double buruknya di situ.
"HAH? Pertunangan? Siapa yang nak bertunang ni?" Terkebil-kebil matanya memandang satu-persatu ahli keluarganya. Sangat tak dijangka ya, balik rumah saja terus kata ada orang nak bertunang tak lama lagi.
"Siapa lagi, alanglah yang akan bertunang!" Jawapan daripada Aina Lamira, satu-satunya kakak kesayangannya mengejutkan Ayden. Eh, dengan siapa pulak dia perlu bertunang ni? Hendak kata si Syafinaz, tak mungkin. Gadis itu separuh mati membenci Ayden kut.
"Tak payah nak bengong macam tu, Lang. Kau kenal seorang perempuan je kan kebelakangan ni. Ha, tulah bakal tunang kau." Kata-kata abang sulungnya, Ayman Lail menambah kejutan buat Ayden. Dia punya terkejut sampai tak sedar mulut sudah terlopong habis.
Dia garu kepala. Apa punya kejutan daa. Dan, sejak bila pula gadis itu setuju mahu bertunang dengan dia? Takkan perempuan itu kena tunang paksa dengan dia?
"Syafinaz tu setuju ke?" tanya Ayden.
"Ayah dia kata boleh teruskan je. Benda baik buat apa nak tangguh, kan?" Masalahnya, gadis itu benci gila dengan Ayden! Dia dapat rasa Syafinaz itu dipaksa untuk berkahwin dengannya.
Apa ni? Akan jadi seperti apa rumahtangganya jika mereka berkahwin dalam keadaan terpaksa?
"Ayden okay je, kan? Mama ingat nak buat majlis tunang kamu berdua bulan depan. Lagipun, bulan depan Ayden banyak masa lapang, kan?" Ayden angguk mengiyakan. Okay, dia mula rasa tidak sedap hati sekarang.
Memanglah dia sukakan gadis itu, tapi Syafinaz awal-awal lagi dah menolaknya. Dah kenapa tiba-tiba tukar fikiran macam ini? Ada sesuatu yang dia tidak tahu ke?
"Mama dan papa okay ke Ayden dengan Syafinaz?" Tumpuan ahli keluarganya beralih ke soalan Ayden. Encik Adam dan Puan Lasmira saling melirik antara satu sama lain sebelum angguk.
Encik Adam letak semula cawan yang berada dalam pegangan lalu matanya berkalih fokus kepada Ayden. "Papa dan mama okay. Kami yakin Syafinaz tu baik sebab sebelum ni pun kami berdua dah jumpa dia beberapa kali. Kami tahu apa yang ada dalam fikiran kamu, Ayden. Tapi, jangan risau. Apa yang kamu fikir tu tak sama dengan kenyataan sebenar. Ada sebab lain kenapa Encik Hambali mahu teruskan semua ni dan kami berdua rasa mungkin ini yang terbaik untuk Ayden dan Syafinaz."
Kali ini, Ayden sedikit menarik nafas lega. Lega kerana apa yang difikirnya mungkin hanya hasutan syaitan semata.
"Kalau kamu masih tak percaya, jumpalah Syafinaz dulu. Ingat, komunikasi tu penting dalam setiap hubungan." Arahan Encik Adam disemat dalam otak. Dia perlu jumpa Syafinaz esok hari juga bagi meluruskan segala pertanyaan.
YOU ARE READING
Bukan Pujaan Hati [ON-GOING]
RandomTrauma masa lalu menyebabkan Marlia Syafinaz menutup pintu hatinya daripada mana-mana cinta lelaki. Ketika ibu dan ayahnya sendiri memaksa dia mengahwini Ayden Lutfi, Marlia Syafinaz mula kalut setengah mati. Tidak dapat melepaskan kemarahan kepada...