"KENAPA dia langsung tak angkat telefon ni? Alahai, Pina. Jangan buat aku risau boleh tak?" Pintu bercat putih itu diketuk berkali-kali. Dalam hatinya sudah bergunung soalan dan rasa risau kerana sahabat baiknya menyepi hari ini. Nadya maklum bahawa sahabatnya itu tidak sihat tapi tak perlulah sampai tak angkat panggilannya.Syafinaz itu kalau dah sakit, dia koma atau tidur pun orang tak boleh beza kerana separah itu. Mungkin kerana wanita itu sangatlah jarang sakit. Jika sudah sakit, langsung tumbang tak boleh buat apa.
"Ya Allah, semoga tak ada benda buruk berlaku kepada kau, Pina." Beberapa butang di tekan pada pintu rumah Syafinaz. Mujurlah dia masih ingat kod pintu rumah Syafinaz, kalau tidak memang dia terpaksa telefon bomba.
Sebaik saja Nadya memasuki kondominium mewah itu, dia mula kerut dahi. "Bau apa ni?"
Hati Nadya sudah tidak sedap. Mana tidaknya, bau yang sedang dihidunya merupakan bau darah! Kelam-kabut Nadya berlari ke arah bilik utama. Dia tak mahu perkara yang terjadi lima tahun lalu berulang lagi. Dia tak mahu kehilangan sahabat baiknya itu lagi!
"Syafinaz!"
Tubuh kaku Syafinaz yang terbaring di tengah katil bersama sebilah pisau pemotong buah yang berlumuran darah membuat kaki Nadya melemah. Dia pantas mengambil sehelai selendang yang terletak di meja solek dan membalut pergelangan tangan Syafinaz yang dikelar.
Talian kecemasan segera didail. Syafinaz masih sedar biarpun denyut nadinya semakin lemah. Nadya agak mungkin belum lama Syafinaz mengelar tangannya sendiri. Air matanya mengalir laju sembari dia memeluk tubuh Syafinaz.
"Tak! Tak! Jangan tingalkan aku, Pina! Aku tak nak kehilangan kau lagi. Tolong kuat untuk aku. Kejap lagi bantuan sampai. Tolong bertahan untuk aku, Pina! Setidaknya untuk diri kau sendiri. Jangan mengalah lagi, Syafinaz. Kau kena kuat. Aku takkan maafkan diri aku kalau kau pergi hari ni. Aku tak bersedia lagi nak hilang kau. Tolong kuat Syafinaz! Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini, ya Allah...!"
Tak dipedulikan baju dan tudungnya yang sudah berlumuran darah. Yang penting, nyawa rakannya selamat. Dia tak berani mahu bawa Syafinaz ke hospital sendiri kerana luka kelaran Syafinaz agak dalam. Dia selak kain dan juga baju Syafinaz. Sekali lagi air matanya bercucuran jatuh ke pipi.
Bukan satu saja kelaran itu, malah hampir lapan kelaran yang dia nampak pada tubuh Syafinaz membuatkan keadaan Syafinaz semakin tenat. Jika dia selamat, itu adalah satu anugerah. Nadya peluk lagi tubuh Syafinaz.
Demi Tuhan, dia takkan maafkan dirinya sendiri jika Syafinaz benar-benar pergi. Sepatutnya dia lebih peka dengan apa yang terjadi kepada sahabatnya. Sepatutnya dia tak datang kerja hari ini dan temani Syafinaz kerana dari subuh lagi tadi Syafinaz sudah beritahu dia tak sihat.
"Tolong jangan tinggalkan aku, Syafinaz.... Tidak untuk sekali lagi. Maaf kerana aku terlambat. Maaf kerana aku tak ada di samping kau saat kau lelah dengan hidup kau sendiri. Maaf kerana jadi kawan yang tak berguna untuk kau. Maaf untuk semuanya, Syafinaz.... Aku minta maaf.... Aku bersumpah tak akan maafkan diri aku sendiri jika kau pergi. Aku takkan maafkan diri aku sendiri! Tolong kuat, Syafinaz. Tolong kuat!"
MARLIA Syafinaz. Bukan baru semalam mereka berkenalan. Bukan baru semalam mereka mula terbuka antara satu sama lain. Dan juga bukan semalam masalah Syafinaz dia ketahui. Sudah lebih 10 tahun mereka berkawan baik. Rahsia wanita itu juga sudah selalu berada dalam genggamannya.Dia kenal Marlia Syafinaz yang terkadang dingin dan tak ambil peduli dengan keadaan sekeliling. Berbanding dirinya yang ceria dan sentiasa heboh, mereka merupakan sepasang sahabat yang saling melengkapi.
Kisah cinta Syafinaz dan Aidit juga sudah lama ada dalam poketnya. Segala pengkhianatan yang diberi lelaki itu kepada Syafinaz juga turut tersimpan rapi dalam memori. Bukan keluarga wanita itu yang berada di sisinya saat Syafinaz mengambil keputusan untuk gantung diri, tetapi dia. Dialah yang berusaha menaikkan semula semangat wanita itu selepas trauma dengan apa yang terjadi.
Dicurangi berulang kali oleh insan tersayang, disakiti namun tak boleh bebas dari si pencurang, hampir dirogol, serta gambar bogel tersebar di laman web lucah. Siapa saja tidak trauma?
Dia tahu tentang cerita Aidit menjaja gambar tak senonoh Syafinaz walaupun wanita itu tak pernah buka mulut cerita tentang perkara itu. Dia tahu segalanya tentang Syafinaz biarpun Syafinaz diam. Dia marah namun tetap hormat dengan keputusan Syafinaz walaupun kecewa kerana Syafinaz enggan berkongsi kisah dengannya.
Lima tahun masa yang diperlukan untuk menyembuhkan trauma Syafinaz. Pada mulanya dia agak marah dalam hati dengan keputusan Encik Hambali yang mendesak Syafinaz untuk mengahwini Ayden kerana dia tahu, Syafinaz tak bersedia untuk itu. Terkadang Nadya hairan. Takkanlah ahli keluarga wanita itu tidak tahu apa yang dihadapi oleh Syafinaz sehingga tergamak memaksa orang yang mempunyai luka di masa lalu untuk terima semua ini? Tidak terbesitkah di fikiran mereka rasa risau jika perbuatan mereka itu mampu menyinggung mental Syafinaz?
Nadya diam walau dalam hatinya memberontak marah dengan keputusan keluarga Syafinaz tetapi dia sedar diri bahawa dia tak punya hak untuk menidakkan keputusan keluarga Syafinaz. Dia sayangkan wanita itu sebagai sahabat terbaik yang pernah dia punya. Tidak berkongsi darah yang sama tetapi masing-masing memahami dan saling bertolak ansur antara satu sama lain. Ikatan persahabatan mereka kuat, lebih kuat daripada ikatan kekeluargaan Syafinaz dan keluarganya.
Tangan Syafinaz yang berbalut itu digenggam perlahan. Air mata yang menitis ke pipi diseka perlahan. Sayu hatinya melihat keadaan sahabatnya begini. Denyutan nadinya juga lemah. Doktor pula seolah takjub kerana Syafinaz masih lagi diberi peluang bernafas biarpun sudah kehilangan terlalu banyak darah.
"Maafkan aku, Pina.... Tolong jangan tinggalkan aku lagi. Aku tak sanggup kehilangan kau untuk yang kedua kalinya...."
Nadya bangkit dari duduk sebelum melangkah ke tandas yang disediakan dalam wad itu. Saat ini, hanya pada Allah saja dia berserah. Hanya pada Allah saja dia mampu meluahkan segala beban dalam hatinya. Dia perlu kuat untuk Syafinaz. Dirinya yang lemah sekarang ini mustahil mampu menyokong Syafinaz nantinya.
Dia perlu kuat, demi Syafinaz.
TBC
YOU ARE READING
Bukan Pujaan Hati [ON-GOING]
RandomTrauma masa lalu menyebabkan Marlia Syafinaz menutup pintu hatinya daripada mana-mana cinta lelaki. Ketika ibu dan ayahnya sendiri memaksa dia mengahwini Ayden Lutfi, Marlia Syafinaz mula kalut setengah mati. Tidak dapat melepaskan kemarahan kepada...