"APA yang awak buat ni, Aidit...?" Syafinaz sebak selimut yang menutupi tubuhnya. Dia tatap figura teman lelakinya yang sedang tersengih-sengih membalas mesej di telefon.
"Aw— Awak rogol saya ke, Aidit?" soal Syafinaz lirih. Dia tidak percaya dengan apa yang sedang teman lelakinya lakukan terhadap dia.
Lelaki itu mendengus perlahan. Telefonnya dicampak hingga jatuh ke riba Syafinaz, beri arahan suruh Syafinaz lihat sendiri apa yang ada di dalam telefon itu.
"Ap— Apa ni, Aidit? Awak jual gambar bogel saya...?" Syafinaz tekup mulut tidak percaya. Jarinya pula laju melihat skrin telefon Aidit yang memaparkan pelbagai gambar tak senonohnya.
"Ya, sebab saya perlukan duit sekarang." Begitu mudah Aidit berkata. Syafinaz sudah banjir dengan air mata. Memang gambar-gambar itu tidak menunjukkan wajahnya tetapi tetap saja maruahnya sedang diperdagangkan oleh teman lelakinya sendiri.
"Aidit! Kenapa awak buat saya macam ni?! Apa salah saya sampai awak sanggup jual maruah saya? Saya ni kekasih awak, Aidit! Apa yang ada dalam otak awak sehingga awak sanggup buat macam ni dekat saya?!" Syafinaz sudah berteriak histeris. Telefon milik Aidit dibaling semula ke arah lelaki itu.
Aidit diam namun kedua tangannya naik menangkup wajah lencun milik Syafinaz. "Hei, hei. Dengar sini. Saya buat semua ni bersebab, Syafinaz. Ayah awak sendiri yang mahukan mas kahwin tinggi jika saya nak kahwin dengan awak. Awak fikir saya ada banyak duit ke? Ayah awak yang desak saya sampai beratus ribu kalau saya nak kahwin dengan awak. Saya rasa, saya tak salah dalam hal ni. Ayah awak nak mas kahwin beratus ribu untuk awak, kan? Jadi, saya tunaikan."
"Bukan dengan cara macam ni, Aidit! Awak jual maruah saya dengan begitu enteng! Banyak lagi cara lain untuk dapatkan duit tapi kenapa awak guna cara keji macam ni?!"
"Apa bezanya saya dengan ayah awak? Ayah awak tetapkan duit mas kahwin sehingga beratus ribu seolah mahu menjual awak, jadi sekarang saya realisasikan niatnya. Dia nak sangat duit, kan? Awak jangan risau, tak lama lagi saya akan kahwin dengan awak jugak. Pasal gambar-gambar tu, tak payahlah sedih sangat. Bukannya nampak muka awak pun."
Syafinaz genggam jemari hingga kukunya memutih. Dia tak mahu hidup dengan lelaki seperti ini! Jika dia tetap teruskan semua ini, ibarat dia menyerah diri kepada harimau yang sedia menerkamnya bila-bila masa saja.
"Saya nak putus."
Jejaka itu membuntang mata. Segera dia berpaling dan kedua lengan Syafinaz dicengkam kuat olehnya sehingga gadis itu meringis kesakitan. "Apa awak kata?!"
"Saya nak putus! Saya tak boleh nak hidup dengan orang macam awak, Aidit! Memang patut pun keluarga awak buang awak dari hidup mereka. Disebabkan perangai keji awak ni, awak memang tak layak ada keluarga langsung! Awak fikir saya tak tahu ke yang awak tu dah curang dengan saya? Awak fikir saya ni bodoh ke? Saya diam bukan bererti saya suka dengan apa yang awak buat, Aidit Luqman. Saya diam sebab saya nak beri awak peluang berubah. Berubah demi masa depan kita, tapi apa yang saya harapkan nampaknya tak berlaku langsung. Awak khianati saya, awak curang dengan saya sedangkan saya yang selama ni ada dengan awak susah senang. Awak jual maruah saya dengan begitu mudah. Kenapa awak buat saya macam ni, Aidit...? Kenapa...?"
YOU ARE READING
Bukan Pujaan Hati [ON-GOING]
RandomTrauma masa lalu menyebabkan Marlia Syafinaz menutup pintu hatinya daripada mana-mana cinta lelaki. Ketika ibu dan ayahnya sendiri memaksa dia mengahwini Ayden Lutfi, Marlia Syafinaz mula kalut setengah mati. Tidak dapat melepaskan kemarahan kepada...