BAHASA MELAYU
"Sekarang, acara yang kita tunggu-tunggu telah pun tiba", kata pengacara majlis dan disahut dengan sorakan para penonton yang hadir sebelum dia menyambung lagi, "Juara bagi pertandingan Perwira Bina Badan pada tahun ini adalaaaahhhhhh... Putra Pratamaaaaaaaaa". Sorakan kuat dari penonton memecah suasana di dalam dewan acara itu. "Dipersilakan Encik Putra untuk naik ke pentas", arah pengacara itu sebelum dia memanggil lagi, "Encik Putra? Di manakah dia? Encik Putra? Putra? Putraaaaaa?". Suara sorakan semakin pudar kedengaran diganti pula dengan namanya dipanggil beberapa kali sebelum akhirnya dia tersedar dari tidurnya pada pagi itu. "Aduhai, mimpi rupanya", bisik Putra sendiri lalu meregangkan tubuhnya dan duduk sekejap di atas katilnya. Kedengaran siulan-siulan burung dan kokokan ayam jantan di halaman rumahnya memecah kesunyian pagi itu. "Dah nak jam 8 pagi, kata ada pelanggan dah tempah jam 9:30pagi nanti", kata isterinya sebelum dia keluar dari bilik itu. Setelah itu, dia pun membersihkan dan mempersiapkan diri sebelum bergerak ke gimnasium. Putra yang sudah bergelar suami itu agak disenangi oleh jiran-jiran kampungnya dek kerana tingkah lakunya yang peramah dan baik hati, apatah lagi sangat-sangat disukai oleh beberapa para wanita tidak kira anak dara mahupun janda yang menghuni di kampung tersebut. Manakan tidak, wajahnya yang tampan dan berkulit sawo matang digandingkan pula dengan tubuh badannya yang sasa dan tegap menjadikannya makhluk yang sempurna di mata para wanita. Malah, hobinya yang suka bersenam telah menjadikannya salah seorang jurulatih bebas dalam bidang sukan bina badan. Ramai juga pelanggan-pelanggannya tidak kira dari kalangan lelaki dan juga wanita telah berlatih bersama-sama di bawah tunjuk ajarnya sehingga mereka juga berjaya mencapai impian mereka. Namun di sudut hatinya yang paling dalam, dia sangat-sangat teringin untuk menyertai acara bina badan seperti Mr. Championship dan Muscleman yang sering diadakan di dewan berdekatan dengan tempat tinggalnya setiap tahun. Walau bagaimanapun, ada satu masalah dan halangan yang merunsingkan fikirannya. Dia memerlukan tajaan dari luar dek kerana harga supplemen-supplemen protein, pemakananan diet yang berterusan dan juga yuran penyertaan yang agak mahal.
"Terima kasih, jurulatih. Penat sungguh senaman hari ini, memang lencun habis pakaian kita orang, hahaha", kata salah seorang pelanggannya seusai sahaja sesi senaman pada pagi itu tamat. "Hahaha, sama-sama. Kalau terus bersemangat macam ini lebih bagus, lagi cepat kamu semua capai sasaran nanti", balasnya sambil mengelap peluh di dahi. Setelah itu, mereka semua pun berjalan keluar dari pusat gimnasium itu, manakala Putra pula sedang meneguk air kosong di botol airnya bagi menghilangkan rasa dahaga. Apabila tubuhnya sudah kering dan bertenaga semula, Putra pun berjalan ke mesin senaman "shoulder press" berdekatan untuk memulakan rutin senamannya pada hari itu. Setelah hampir dua jam lebih tubuhnya bersenam, akhirnya dia pun duduk berehat sambil meregang-regangkan badannya menghilangkan rasa lenguh ototnya. "Hai, selamat sejahtera. Maaf saya mengganggu abang, boleh saya bercakap sedikit dengan abang?", sapa seseorang dalam lingkungan umur 30-an yang datang mendekatinya secara tiba-tiba. "Eh, boleh-boleh. Maaflah, saya baru selesai senam, agak basah sedikit badan ni", balasnya yang masih mengelap tubuhnya yang masih lencun dibasahi keringat. "Eh, tak apa, abang. Saya sebenarnya sedang mencari calon untuk kami taja dalam pertandingan bina badan Muscleman yang akan diadakan di sini nanti. Saya perasan yang abang adalah calon yang sesuai untuk kami taja berdasarkan tubuh badan abang yang sasa ini. Jika tidak keberatan, bolehkah abang menjadi wakil kami dalam pertandingan tersebut?", terangnya secara terperinci akan niatnya itu. Putra yang mendengarnya pun berasa agak terperanjat dan keterujaannya mulai menyelubungi hatinya sehingga terukir senyuman di bibirnya. Manakan tidak, impiannya yang dia pendam selama ini akhirnya bakal tercapai dengan peluang ini. Tanpa berfikir panjang, Putra pun terus bersetuju dengan tawaran dari orang itu. "Baguslah, Sabtu ini jam 3 petang saya akan ke sini lagi untuk kita teruskan perancangan kita", kata orang muda itu sebelum dia meminta izin pergi dan meninggalkan Putra di situ. Pada malamnya, dia tidak mampu melelapkan matanya dek kerana keterujaan yang dia rasai mengenai hal siang tadi.
YOU ARE READING
Himpunan Ceritera Seksa
RandomHimpunan beberapa cerita BDSM dan penyeksaan. INFO: Setiap bahagian cerita ada versi Bahasa Melayu (di sebelah atas) dan Inggeris (di sebelah bawah) Each parts of the story has Malay version (on the upper part) and English (on the lower part)