B A B 41

1.5K 63 5
                                    

"Bound by shared existence.

Are you my passage or my lifetime?"


Mata perang yang kerap berair lesu itu kaku merenung ke luar jendela panjang. Hujan pun seakan mengiyakan kesedihan yang beraja.

Sebu.

Perit.

Sesekali liur yang terasa berpasir dia telan menahan ketat dada yang mahu sebak.

Tangan tidak putus-putus mengusap perut yang makin menunjukkan bentuk. Sarascha menunduk.

"Abang... anak kita dah makin besar... perut dove pun makin bulat." Senyuman pahit dengan linangan air mata yang tidak berhenti itu diselangi suara serak basah Sarascha.

Kandungan yang semakin besar itu sudah menerbitkan rasa sayang yang tiada galang ganti. Tapi, kekuatan dia sebagai seorang perempuan dan isteri masih terasa kosong bila susuk suami tak ada bersama.

Tiada sebarang kata-kata berharap. Hanya air mata saja mengalir berbicara rasa sebenar.

Menelan pahit hakikat yang Raffa sudah tidak ingat sama sekali kewujudannya dan segala yang pernah mereka kongsikan bersama cukup merentap segenap tangkai hati.

"Sayang..."

Tergesa-gesa dia menghakis sisa air mata dipipi sebelum dia menoleh sekilas ke punca suara. Dia ukir senyum nipis bila mata menangkap gerangan yang mula mendekat.

"Ya, Puan Seri?" Terdengar keluhan perlahan keluar daripada ulas bibir Selene Reyes. Sudah ditegah berpuluh kali untuk tidak menggelarkannya Puan Seri tapi Sarascha tetap tidak ubah panggilan tersebut. Tapi, dia juga tidak mahu berkeras kerana masih jelas Sarascha kekok untuk menerimanya sebagai ibu.

Dia sedar semua kerana khilafnya yang pernah menolak kewujudan Sarascha namun itulah harga yang perlu dibayar sekarang. Jadi orang asing dalam kehidupan anak sendiri.

Apa-apa pun, hakikat yang Sarascha dapat bercakap lembut dan tidak menolak bila dia mendekat itu pun sudah lebih dari cukup.

"Sayang fikir apa?" Sejurus punggung dilabuhkan dibirai katil sebelah Sarascha, rambut panjang mengurai itu dilurut lembut dan dibelai sayang.

Sarascha diam dan hanya menggeleng. Tidak berasa mahu menceritakan apa-apa. Dia hanya mahu melayan perasaan dan menyimpan rindu yang membuak-buak.

Dua bulan terasa bagai bertahun menahan rindu menggila buat Raja Dammar Raffa. Tapi, apa yang boleh dia buat bila suaminya kini langsung tidak mengingatinya.

Pendam dan telan saja jalannya.

Tiada lagi sang suami yang sentiasa memenuhi lohong hati, yang mahu mendengar luahannya, yang menenangkan setiap gundahnya.

Paling berbekas, hilangnya manusia yang membuat dia rasa diperlukan, disayangi, diterima dan dicintai. Semua rasa yang dia rindu, yang dia tamak bila Raffa wujudkan setiap satu untuknya.

"Have you taken your meds, sayang?" Lembut dan berhati-hati Selene Reyes bertanya. Sarascha mengangguk sekilas.

Prazosin yang sekian lama dia tak ambil itu kini diperlukan semula sejak dua bulan lalu. Tahulah, mentalnya sangat-sangat tertekan. Malah, lebih parah dari dulu.




"Buka pintu ni! Abang! Dove ni abang! Keluar abang..." Teresak-esak berselang seli rayuan. Pagar rumah agam itu digoncang sekuat hatinya. Sudah tidak kira keadaannya yang macam orang hilang akal.

P A L O M A [COMPLETED]Where stories live. Discover now