Bubur dicedok sedikit kemudian di suap ke mulut nenek. Naira ukir senyuman lihat selera wanita itu semakin membaik. Bukannya mudah dia nak pujuk nenek makan. Bermacam cara dia cuba dan akhirnya nenek tampak lebih suka pada bubur ayam yang dia masak berbanding nasi berlauk. Syukurlah.
"Kamu sihat ke tak ni, Naira?" soalan nenek buatkan Naira tersenyum kecil sebelum dia mengangguk.
"Muka kamu nampak pucat..." nenek sentuh pipi Naira. Dielus lembut sebelum matanya naik memandang anak mata gadis muda itu.
"Naira sihat lah nek." Naira ukir senyuman. Tangan nenek di pipinya turut disentuh sebelum dia tolak lembut. Mungkin kerana dia kurang rehat beberapa hari ini buatkan wajahnya sedikit pucat. Bukan buat apa pun cuma dia alami kesukaran untuk tidur. Terlalu banyak hal yang bermain di minda buatkan dia sentiasa gusar. Ada sesuatu yang dia nak katakan. Tapi dia berat hati.
"Kamu ada nak kata apa apa ke Naira?"
Naira terkelu. Ada senyuman pahit terukir di bibirnya. "Kalau..."
Nafas ditarik. Serasa ruangan itu tak membekalkan oksigen yang secukupnya. "Kalau Naira nak mula kerja dalam masa terdekat..."
"Pergi lah Naira..." belum pun sempat dia habis menyuarakan isi hati nenek lebih cekap mencantas perbualannya.
"Nenek..."
"Nenek pun tak faham dengan abah kamu tu. Apa dia ingat kamu tak ada kehidupan sendiri? Nenek ni dah lama hidup, Naira..." kepala cucunya diusap penuh kasih. Tumpah kasihannya pada anak muda itu. Bukannya dia tak lihat layanan Nazim pada anak muda itu. Dilayan bagaikan orang luar, dipaksa bagaikan pekerja buruh.
"Nenek bukan anak kecil yang perlu di jaga. Kamu perlu hidup Naira. Hidup dalam erti kata sebenar dan bukannya terus terusan jadi boneka buat orang lain."
Bergenang air mata Naira. Dalam usia senja sebegini nenek masih lagi sedar dan ambil berat akan segala hal yang berlaku di sekelilingnya.
Nenek senyum sebaris. Tangannya bergerak mencapai sesuatu di bawah bantal. Sekeping kertas ditarik keluar sebelum dihulur pada cucunya. "Ni nombor telefon Eiman. Kamu call lah dia..."
"Terima kasih nenek!" tubuh itu terus saja Naira dakap erat. Air mata yang sejak tadi terkumpul di pelupuk mata akhirnya jatuh setitis demi setitis.
Mengapa di saat saat sebegini bukan orang tuanya yang datang mendakapnya?
Bukan orang tuanya yang datang menenangkannya?
Dan...
Mengapa pada saat itu mereka lah punca di mana Naira menanggung semua luka ini?
***
Sekejap sekejap pasti matanya mengerling kepingan kertas di tangan. Telefon diketuk ketuk pada hujung dagu. Dia masih berkira kira hendak menghubungi Eiman ataupun tidak. Memang lah jawatan yang ditawarkan tak sesuai dengan kelulusan yang dia ada tapi untuk saat saat sebegini dia tak punya banyak pilihan. Nak cari kerja? Tak. Semua tu akan makan banyak masa alang alang Eiman dah tawarkan dia kerja ada baiknya dia ambil saja peluang yang ada, sekurang kurangnya dia ada wang untuk bayar bermacam hal. Orang kata hidup ni tak perlukan duit tapi hakikatnya kita perlukan duit untuk terus hidup.
Setelah puas memerah otak akhirnya, Naira buat keputusan untuk hubungi saja Eiman. Lantak lah apa nak jadi asalakan dia dapat kerja. Dapat gaji.
Bunyi panggilan sedang disambungkan buatkan Naira tak senang duduk. Otak dah bekerja keras menyusun setiap ayat yang mungkin akan digunakan sebentar lagi.
"Hello..." suara serak dihujung talian buatkan Naira tersentak. Serentak itu telefon dijauhkan dari telinga. Matanya pantas melihat angka jam yang terpapar pada skrin.
YOU ARE READING
Noktah Terakhir
RomanceRumah. Rumah adalah tempat untuk pulang. Tetapi rumah tak seharusnya adalah rumah. Kadangkala ianya hadir dalam sosok manusia. Bagi Naira Fareeha, rumahnya adalah keluarga. Keluarga lah tempatnya untuk pulang. Tak sehingga perpisahan menjadi piliha...