SELESAI berbual dengan Mubin di talian, telefon bimbitnya dimatikan lalu disumbatkan ke dalam poket seluar. Tubuh disandarkan di dinding kereta lalu kotak rokok di dalam poket seluar kirinya dikeluarkan. Sebatang rokok dicapai dan terus diletakkan dibalik dua bibirnya lalu hujungnya dibakar. Dengan mata terpejam, rokok tersebut disedut dengan penuh nikmat lalu asapnya dihembus lepas.
"Encik Emeer..."
Terdengar namanya dipanggil, Emeer tersentak dan spontan itu matanya dibuka. Terpandangkan Atira sedang berdiri tidak jauh di hadapannya, dia berdeham dan tubuhnya ditegakkan. Gadis itu dipandang dengan riak tegang. Selama satu jam dia menunggu baru sekarang Atira turun dari pejabat mereka? Hurm...perempuan! Entah apa yang dibuat agaknya. Bebelnya dalam hati.
Tahu yang Emeer mungkin sedang panas hati menunggu lama, dia terus menyambung bicara. "Sorry sebab Encik Emeer terpaksa tunggu lama. Saya emel dokumen kepada PA Datuk Zamri tadi," ucapnya beralasan.
Tidak membalas atau memberikan sebarang reaksi kepada gadis itu, puntung rokok di tangan dicampakkan ke kaki lalu dipijak kemudian penggera kereta ditekan.
"Pergi letak beg you dekat belakang lepas tu kita boleh gerak," arah Emeer dan terus masuk ke dalam perut kereta. Saat daun pintu ingin ditutup kembali, Atira yang sedang berjalan menuju ke belakang keretanya dikerling melalui cermin sisi. Tiba-tiba bibir mengukir senyum. Atau lebih tepat lagi, melepaskan rasa gelihati sebenarnya.
"You bawa beg besar-besar tu you nak duduk berapa lama dekat Kuantan?" soalnya sebaik Atira masuk ke dalam kereta. Gadis yang sedang menarik tali pinggang keledar ketika itu dikerling.
"Encik Emeer kata tiga hari kan?" Emeer dipandang dengan dahi berkerut. Setakat luggage bersaiz 22 inci itu besarkah? Mereka pergi tiga hari bukannya sehari!
"Sebab itulah I tanya. Pergi tiga hari tapi beg yang you bawa macam nak duduk sebulan dekat sana."
Atira mencemik. Emeer mengejek dialah tu tapi orang lelaki apa tahu. Orang perempuan kalau travel bukan cukup setakat bawa beg sandang macam yang biasa orang lelaki bawa. Baju untuk tiga hari pun sudah enam helai. Belum lagi termasuk barang-barang dalaman dan penjagaan wajah yang lain.
"Orang perempuan bukan macam orang lelaki, Encik Emeer." Selambanya menjawab.
"Apa bezanya?" Emeer gelak seakan mengejek.
Eh! Gelak pulak dia! Ingat lelaki beku macam Emeer tak reti nak ketawa. Bebel Atira dalam hati.
"Banyak bezanya dan yang paling ketara, orang lelaki tak kisah kalau pakai jeans yang sama walau berhari-hari tapi kami orang perempuan sangat-sangat kisah tentang hal macam tu," jawabnya membela diri.
Mendengar jawapan Atira, laju Emeer pusingkan kepalanya ke sebelah. Gadis itu perasankah yang seluar jeans yang dipakainya sudah tiga hari tidak bertukar? Arghhhh! Malunya dia!
"Errrr... Saya cakap macam tu sebab saya ada seorang abang yang memang macam gitulah perangai dia. Saya bukan mengata Encik Emeer ya," sambungnya apabila melihat Emeer hanya membisu ditempatnya. Tak mungkin Emeer terasa kut?
Sekali lagi pandangan dibuangkan ke sebelah dengan riak yang kembali berubah beku. Nampak sangat sebenarnya Atira sedang mengutuknya sekarang. "Memang jeans yang I pakai ni dah berhari-hari tak bertukar. Kalau you nak tahu dah berhari-hari juga I tak balik rumah dan hanya tidur di pejabat!" bedilnya sedikit keras. Tujuan dia pada mulanya hendak mengusik Atira tetapi akhirnya dia pula yang terkena. Arghhh! Perempuan seorang ini pandai betul menyakitkan hati dia.
Atira terus mati kata-kata. Gerun melihat riak yang dipamerkan Emeer, Atira telan liur dan pandangan terus dibuangkan ke hadapan. Ya Allah, kenapalah mulut dia boleh lancang sangat berkata-kata. Sungguh, dia tidak berniat pun hendak mengutuk Emeer. Dan sungguh lelaki yang dia maksudkan itu adalah abang-abangnya sendiri. Haih!
YOU ARE READING
DEAR SAYANG, I LOVE YOU
ChickLitJatuh cinta dengan bos sendiri? Nay! Prinsip Atira jelas. Dia tidak akan sesekali terlibat dengan hubungan cinta satu pejabat. Lebih mustahil apabila bosnya itu spesis kepala angin dan kuat membebel mengalahkan perempuan. No, tak akan! Tetapi... DAR...