KOMPUTER riba di atas meja terus ditutup. Tengkuknya digosok dan tubuh yang terasa lenguh di sana sini diregangkan. Berasa sedikit lega, tubuhnya disandarkan ke kerusi sambil mata dipejamkan untuk menghilangkan lelah. Setelah berada di dalam keadaan itu beberapa ketika, mata dibuka semula dan jam di pergelangan tangannya dikerling.
"Ya Allah dah dekat pukul sepuluh malam." Getusnya dan spontan itu dia bingkas bangun. Telefon bimbit di atas meja dicapai dan dimasukkan ke dalam poket seluar lalu beg sandangnya dicapai. Tidak terus menunggu di situ, langkah dibuka. Lampu biliknya ditutup dan dia terus keluar. Ketika melintasi ruang tengah pejabat, langkahnya terhenti semula apabila terpandangkan bilik Atira yang masih terang benderang. Tubuh dipusingkan lalu dahi dikerutkan.
Setelah beberapa ketika berdiri di situ sambil mata galak memerhati, langkah dibuka kembali menuju ke bilik gadis itu. Dari pintu kaca sekeliling ruang bilik itu diperhati.
Kosong. Hati berbisik sendiri bersama kerutan. Tidak puas hati, dia terus melangkah masuk. Baru sahaja langkahnya ingin diayun ke meja kerja gadis itu, dia terpandangkan sekujur tubuh Atira sedang berbaring lesu di atas sofa. Melihat keadaan itu, kepala digeleng lalu tubuh dipusingkan dan gadis itu dihampiri.
Baru sahaja nama Atira ingin dipanggil, lidahnya tiba-tiba terkelu. Wajah polos yang sedang terlena itu diamati dengan perasaan yang sukar untuk dia sendiri tafsirkan. Tidak cukup dengan hanya memerhati dari jarak yang agak jauh itu, langkah dibuka untuk berdiri lebih dekat. Dengan perlahan dan berhati-hati. Sebaik berada dalam jarak satu kaki dari tempat gadis itu terlena, sekali lagi langkahnya mati.
Wajah polos itu terus diamati. Masih tidak puas memerhati dalam jarak itu, kaki dijatuhkan dan dia terus duduk bertinggung dalam jarak yang hanya beberapa inci sahaja dari sleeping beauty di hadapannya itu. Melihat raut tenang yang sedang lena itu, nafasnya dihela.
Inilah wajah yang membuatkan hatinya merusuh. Inilah juga wajah yang membuatkan jiwanya berantakan. Setelah hampir sepuluh tahun dia tutup pintu hatinya untuk mana-mana wanita tetapi entah bagaimana pintu yang tertutup itu terbuka dengan sendirinya.
Atira tidak seperti perempuan lain yang dia kenal. Atira, walau sikapnya sedikit keanak-anakan dan manja tetapi semangatnya kuat. Kalau tidak masakan gadis itu masih bekerja di situ walau dikerah melebihi kudratnya. Ya, dia tahu sikapnya keterlaluan tetapi sejak hatinya dilukai oleh manusia yang bernama perempuan, dia tidak tahu bagaimana untuk berlembut dengan kaum sejenis itu.
Atira...teringatkan bagaimana gadis itu bimbangkan kesihatannya ketika mereka berada di Kuantan beberapa minggu lepas, bibir terus melebar dengan senyuman. Agak teruk juga dia digiat oleh Atira ketika itu lebih-lebih lagi apabila gadis itu tahu yang dia takut berjumpa dengan doktor. Walau ketika itu dia bengang tetapi kini apabila dia teringat kembali momen tersebut, pasti dia akan tersenyum sendirian dan hatinya turut berdebar-debar.
Atira...entah mentera apalah agaknya yang you baca sehingga hati I yang hampir mati tiba-tiba berbunga kembali. Bisiknya sedang mata masih tidak berkalih mengamati wajah yang mungkin sedang bermimpi indah ketika itu. Sedang dia leka memerhati tiba-tiba telefon bimbit Atira berbunyi. Kalut, cepat-cepat Emeer berdiri. Bimbang dia andai Atira tersedar ketika dia masih leka memerhati.
Atira yang masih lena tersentak. Matanya yang terasa berbalam-balam digosok dan sambil terpisat-pisat telefon bimbitnya dicari. Sebaik pandangan ditalakan di sisi, mata yang separa terbuka terus membulat.
"Encik Emeer..." tegurnya kalut dan bingkas berdiri. Tudungnya yang mungkin sedang senget benget itu lekas-lekas dirapikan. Arghhhhh! Macam mana pula bosnya itu boleh berada di situ. Setahunya pukul tiga petang tadi lagi Emeer sudah keluar.

ANDA SEDANG MEMBACA
DEAR SAYANG, I LOVE YOU
ChickLitJatuh cinta dengan bos sendiri? Nay! Prinsip Atira jelas. Dia tidak akan sesekali terlibat dengan hubungan cinta satu pejabat. Lebih mustahil apabila bosnya itu spesis kepala angin dan kuat membebel mengalahkan perempuan. No, tak akan! Tetapi... DAR...