BAB 4

21 2 0
                                    


MATA Khayra tidak lepas memandang Raes yang sedang mengambil angin di luar rumah. Peluang di depan mata dan dia tidak akan sia-siakan. Tanpa membuang masa, Khayra membuka langkah menuju ke gazebo yang terletak bersebelahan kolam ikan koi.

"Hi, abang Raes." Tegur Khayra sebaik saja dia berdiri berdekatan gazebo.

"Oh, kau! Ingatkan hantu mana tadi," balas Raes mendatar. Wajah Khayra dijeling sekilas sebelum dia melarikan matanya pada kolam ikan koi di depan matanya.

"Errr...abang Raes, Khay...ada benda nak cakap."

Gugup Khayra rasakan ketika ini. Nak luahkan perasaan kut. Bukannya panggil makan nasi. Mata Khayra tidak lepas memandang wajah Raes yang serius itu.

Entah apa yang menarik sangat kolam koi itu pun dia tidak tahu. Patutnya pandang wajah dia yang cantik jelita ni.

Sempat pula masuk bakul angkat sendiri.

"Nak cakap apa?" soal Raes dengan kasar. Dia menjeling sekilas memandang Khayra yang masih lagi berdiri. Tiada niat hendak menjemput wanita itu duduk disebelahnya.

"Khay cintakan abang Raes."

Senafas Khayra membuat pengakuan berani mati.

Pantas Raes mendongak memandang Khayra yang berdiri itu. Tercengang seketika Raes dengan pengakuan Khayra. Dia tidak salah dengarkan?

Khayra cintakan dia?

"Cuba kau ulang sekali lagi?" Tajam Raes memandang wajah Khayra. Berani wanita itu menentang matanya. Saat matanya bertentang dengan mata Khayra, ada kejujuran di situ dan Khayra tidak menipu tentang perasaan itu.

"Abang Raes tak dengar atau sengaja tidak dengar?" soal Khayra berani. Rasanya sudah jelas dia menuturkan kata-kata itu. Sebenarnya dia malu hendak mengulang sekali lagi.

"Kau cintakan aku?"

Soal Raes memandang Khayra dengan wajah tidak percaya. Sejak bila pula adik angkatnya jatuh cinta pada dia? Rasanya dia belum pernah melayan Khayra dengan baik.

Seingatnya, sejak Khayra masuk ke dalam keluarganya, belum pernah dia melayan Khayra seperti seorang adik. Hampir setiap hari dia marah pada Khayra kerana ada saja perkara yang tidak kena pada matanya.

"Ya." Angguk Khayra.

Aduh! Tiba-tiba rasa menyesal pula mengaku cintakan abang angkatnya. Pasti Raes ketawakan dia.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata malulah dia.

"Kau? Cintakan aku?" ulang Raes lagi tidak percaya dengan pengakuan Khayra tadi. Lalu dia ketawa terbahak-bahak.

Ha! Kan dia dapat agak. Raes ketawakan dia. Benci betul!

"Nonsense. Kau tak tahu ke yang aku ini dah ada kekasih dan bakal bertunang tidak lama lagi."

Kenyataan yang keluar dari mulut Raes menghancurkan hati Khayra. Pengakuan daripada Raes ternyata lebih sakit daripada apa yang ibunya sampaikan tengah hari tadi.

"Abang Raes sengaja nak sakitkan hati Khayrakan?"

Sakit!

Itu yang dia rasakan ketika ini. Sepatutunya dari awal lagi dia kawal perasaan ini tetapi silapnya kerana biarkan tumbuh subur.

Bukan dia tidak tahu betapa bencinya Raes pada dia sebelum ini tetapi dia saja yang terhegeh-hegeh. Hampir setiap hari dia cuba mendapatkan perhatian Raes tetapi tidak pernah dapat.

"Kenapa aku nak sakitkan hati kau? Memang itu kenyataannya." Balas Raes tanpa perasaan.

"Khay tak percaya! Abang Raes kena buktikan, barulah Khay akan buang perasaan ini," janji Khayra. Dia cuba menafikan apa yang dia dengar daripada mulut Raes walaupun dia tahu itulah kenyataannya. Tidak mahu terima semua itu sehingga Raes tunjuk bukti padanya.

"Tak percaya? Bukan masalah aku tapi kalau bukti yang kau nak, aku akan tunjuk pada kau nanti. Sikit masa lagi, kau akan tengok dengan mata kau sendiri." Balas Raes dengan tenang.

"Baik. Khay akan buang rasa itu jika bukti ada depan mata Khay."

Khayra berjanji walaupun dia tahu tidak mungkin untuk dia buang rasa itu secepat mungkin.

"Kau tunggu dan lihat saja." Sengih Raes sinis.

HAK MILIK HAQ RAES [EBOOK]Where stories live. Discover now