MAISARAH memandu dengan tenang selepas mengambil Khayra di perhentian bas berdekatan dengan rumah Tan Sri Rahimi. Sewaktu dia tiba di sana, Khayra sedang termenung sendirian. Wajah kawan baiknya itu jelas sekali menunjukkan Khayra baru lepas menangis. Dia yakin pasti ada sesuatu yang terjadi pada wanita ini.
Ingin bertanya tetapi dia memilih untuk memberi ruang pada Khayra untuk bertenang terlebih dahulu. Dia tidak mahu terlalu mendesak Khayra.
"Kau dah makan?" soalan Maisarah memecah kesunyian antara mereka.
"Belum." Geleng Khayra.
"Kita pergi tapau dulu ya. Nanti kau kena gastrik pula kalau perut kosong."
Maisarah memberi cadangan. Dia tahu tidak mungkin Khayra setuju untuk makan diluar dengan keadaan Khayra yang tidak sempurna itu.
"Aku ikut saja, Sarah," jawab Khayra lemah. Ketika ini dia tidak mampu berfikir dengan baik. Kepalanya terlalu berserabut.
Setibanya di rumah Maisarah, Khayra duduk di atas sofa. Keluhan dilepaskan.
"Kau makan dulu. Jangan sedih, aku ada dengan kau," pujuk Maisarah. Dia tidak mahu Khayra terus bersedih.
"Tapi aku tak ada selera Sarah," balas Khayra lemah. Jujurnya dia tiada selera untuk menjamah makanan walaupun perutnya lapar.
"Tak boleh macam itu, Khay. Kau kena makan juga. Aku tak nak kau jatuh sakit. Kalau sebab Raes yang membuatkan kau hilang selera makan, lupakan buat seketika. Bagi perut kau kenyang dulu. Lepas tu baru kau fikirkan hal tersebut."
Panjang lebar Maisarah menasihati Khayra. Dia tahu yang Khayra mempunyai hati dan perasaan terhadap Raes. Malah antara dia dan Khayra tiada rahsia antara mereka.
"Yalah-yalah. Kau ni kalau membebel boleh sakit telinga aku," rungut Khayra. Lantas makanan yang dibungkus tadi dibuka. Tiba-tiba perutnya berkeroncong apabila nasi goreng tomyam terhidang di depan mata.
Betul cakap Maisarah, lebih baik dia makan bagi perut kenyang. Lepas tu baru fikir masalah yang menimpa dirinya.
"Haa...macam inilah baru kawan baik aku. Ingat, makanan nombor satu. Masalah kita tolak tepi dulu," ujar Maisarah berpuas hati apabila Khayra mendengar nasihatnya.
"Apa kata kau tolong ambilkan aku air. Apa punya tuan rumahlah," gurau Khayra.
"Baik, mem!" balas Maisarah lalu bangun meninggalkan Khayra sendirian.
"Nah air fresh orange yang asli aku buatkan khas untuk kau." Gelas yang berisi fresh orange diletakkan di atas meja kopi lalu Maisarah melabuhkan duduk di atas sofa bersebelahan Khayra. Lalu alat kawalan dicapai dan ditekan butang 'on'.
"Apa yang berlaku sebenarnya, Khay?" Maisarah mula mengorek cerita daripada Khayra sebaik saja wanita itu selesai makan. Dia menunggu kawan baiknya itu menghabiskan makanan terlebih dahulu kerana tidak mahu Khayra hilang selera nanti.
"Raes halau aku dari rumah."
"Apa?" terkejut Maisarah dengan jawapan Khayra.
"Kenapa dia halau kau dari rumah?" laju Maisarah menyoal.
"Salah aku, Sarah." Jawab Khayra pendek.
"Apa yang kau dah buat, Khay?" Maisarah cuba mengorek cerita. Buat dia tertanya-tanya pula.
Lalu Khayra mula bercerita apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan dia dihalau dari rumah.
"Astaghfirullahalazim beb...apa yang kau dah buat ni? Cari masalah betul kau ni, Khay." Geleng kepala Maisarah dengan cerita Khayra.
"Aku menyesal beb tapi benda dah terjadi dan aku tak boleh nak ubah. Aku terima dia halau aku keluar dari rumah tapi yang aku tak boleh terima apabila dia tuduh aku macam-macam. Lagi sakit bila dia mengungkit yang aku cuma anak angkat."
Luah Khayra. Hatinya hancur saat Raes mengungkit akan statusnya itu. Ya, memang dia salah tetapi kenapa perlu tuduh dia macam-macam.
"Dahlah. Kau tak perlu fikir hal itu. Sekarang ini fokus pada akan datang. Yang lepas biarkan berlalu," nasihat Maisarah. Tidak mahu Khayra terus bersedih. Dia tidak menyokong perbuatan Khayra itu kerana memang salah dan tiada manusia yang tidak lepas dari melakukan kesilapan.
"Apa rancangan kau selepas ini?" sambung Maisarah lagi.
"Entahlah. Aku belum fikir lagi. Cuma aku nak minta izin tumpang rumah kau sementara aku cari kerja baru." Khayra meminta izin walaupun dia tahu Maisarah tidak pernah berkata tidak padanya.
"Kau duduk saja sini beb. Tak perlu nak minta izin bagai. Macamlah tak biasa," balas Maisarah. Suka apabila Khayra hendak tinggal bersamanya. Tidaklah terasa sunyi.
"Sebut pasal cari kerja, sebenarnya syarikat aku ada satu jawatan kosong yang sesuai dengan kelayakan kau. Tapi itulah, yang kosongnya cawangan di Singapura. Kau okey ke?" tawar Maisarah. Manalah tahu Khayra ingin berubah angin pula.
"Aku naklah beb. Nanti aku email resume. Harap-harap dapatlah kerja tu." Inilah peluangnya untuk berhijrah dan tidak muncul di depan keluarga angkatnya lagi.
"Baiklah."
YOU ARE READING
HAK MILIK HAQ RAES [EBOOK]
RomanceKHAYRA NASREEN dibesarkan oleh keluarga angkat sejak dari umurnya 1 hari. Dia tidak pernah kenal ibu bapa kandungnya dan kasih sayang yang dicurahkan oleh keluarga angkatnya sentiasa cukup. Namun Haq Raes iaitu abang angkat Khayra tidak pernah menga...