Sedar tak sedar, jarum pada jam mula beralih ke angka 10 malam. Dato Idris cuma merenung jam yang tergantung di dinding, menghitung waktu yang pantas sekali berlalu. Begitu juga pantas segala kemewahan yang dia ada ditarik nikmatnya begitu sahaja. Kemewahan dunia meninggalkan dia, namun satu-satunya permata yang dia ada sentiasa berada di sisinya. Husna.
Dato Idris tersenyum. Baru sekarang dia tahu menilai yang mana harta sebenar-benarnya. Sekilas anak mata mengerling ke segenap bilik tidur yang agak luas ini. Terasa asing baginya bila pertama kali menumpang tidur di rumah orang lain. Bukan sesiapa pun, menantu sendiri juga.
Namun, Dato Idris tetap terasa janggal. Sesekali lengan yang terasa sejuk disapa angin penghawa dingin digosok-gosok perlahan. Bilik yang Raf berikan kepadanya ini terlalu cukup selesa. Bila difikirkan semula, dia sebenarnya tak layak untuk berbaring di atas katil empuk ini, selepas teringat hinaannya kepada Raf dahulu.
Bermacam-macam ayat buruk yang keluar daripada bibirnya tentang Raf, tetapi lelaki itulah yang membantu dia sekarang. Walaupun Raf telah pun memaafkannya, tapi hati ini masih lagi bergelumang dengan rasa hina dan berdosa.
"Macam mana dengan bilik ni, okay aje ke untuk ayah?" Tegur suara Raf mengalihkan pandangan Dato Idris ke arah pintu bilik yang sengaja dibiarkan ternganga. Lelaki itu cuma berdiri di tepi pintu. Tidak terus masuk ke dalam.
Dato Idris menguntum senyuman kecil.
"Terlebih baik dah ni, Raf." Komennya sambil anak mata bergerak memerhati segenap bilik yang cukup selesa baginya. Tiada apa pun yang kurang. Ada katil, almari, ruang solat di sebelah kanan. Bahkan bilik air pun ada di dalam bilik ini sekali.
Raf tersenyum lega. Baguslah jika semuanya baik-baik sahaja buat Dato Idris. Kemudian, dia menapak masuk ke dalam bilik itu. Melabuh punggung di sebelah bapa mertuanya yang duduk di atas birai katil.
"Kalau ayah perlukan apa-apa, panggil sahaja Raf. Tidak pun Mak Timah. Buat sahaja macam duduk di rumah ayah." Kata Raf.
"Terima kasih, Raf. Banyak sangat jasa kamu pada ayah. Ayah tak tahu nak balas macam mana lagi..." Keluh Dato Idris, betapa kosongnya dia kali ini sehingga tidak mampu membuat apa-apa untuk membalas jasa lelaki itu. Gelaran Dato cuma pada nama sahaja. Tiada lagi makna yang diagungkan sebelum ini.
"Janganlah cakap macam itu. Raf tak perlukan apa-apa balasan pun. Papa dah didik Raf supaya sentiasa tolong orang tanpa minta balasan." Ujar Raf, jujur dia ikhlas untuk menolong. Bukan atas sifat rasa kasihan atau simpati, tetapi kerana tanggungjawab sebagai seorang lelaki yang bergelar anak menantu.
Bahkan, Tan Sri Raqib juga pernah berpesan kepadanya untuk sentiasa menolong semua orang tanpa meminta budi balasan semula. Itulah pesanan yang digenggam sampai ke hari ini.
Dato Idris tersenyum kecil sambil kepala terangguk-angguk. Sudah agak. Raf memang ikut perangai rakannya. Raqib juga seorang yang suka menolong tanpa meminta balasan.
"Kamu memang ikut perangai si Raqib. Papa Raf pun suka bantu ayah masa muda dahulu. Sekarang anak dia pula yang bantu ayah." Ujar Dato Idris.
Sesaat suasana bilik terasa sunyi, lantas Dato Idris menghela nafas panjang.
"Ayah rasa malu nak balik ke rumah tu semula, Raf. Banyak sangat kenangan buruk yang ayah tinggalkan di situ. Sebab itu ayah minta untuk tumpang di sini semalaman. Maaflah kalau kehadiran ayah mengganggu kamu dan Husna."
"Tiada yang mengganggu pun, yah. Rumah ni terbuka untuk semua orang. Ayah nak tinggal di sini sampai bila-bila pun boleh. Sebab Raf akan pulang ke Sabah tak lama lagi. Kemungkinan rumah ini akan sunyi." Ujar Raf.
Kening Dato Idris berkerut sekejap.
"Kamu nak balik ke Sabah?"
Raf angguk kepala mengiyakannya. "Raf dah bincang dengan papa, Raf akan ambil alih Ocean Resort. Tak sempat nak beritahu ayah tentang hal ni, jadi Raf beritahu sekarang."
![](https://img.wattpad.com/cover/338295171-288-k517872.jpg)
YOU ARE READING
MR PIRATE [Complete]
Romance"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati lepas beberapa tahun yang lalu membuatkan Husna teringat sampai sekarang. Mengapa Mr Blue? Kerana di dalam mimpi indah itu cuma menampakkan...