SUASANA di dalam restoran lima bintang ini teratur sahaja. Tidak ramai manusia yang singgah makan waktu tengah hari di sini. Ketika Mia tiba di pintu masuk, sebut sahaja nama Nathan pelayan terus memimpinnya sampai ke meja yang berada paling hujung. Sangkakan Nathan sudah menunggunya di meja makan tetapi figuranya masih belum muncul.
Mia merengus perlahan sambil anak mata menjuling ke atas. Nampak gaya dia kena tunggu lagi. Lantas, Mia melabuh punggung di atas kerusi yang ditarik oleh pelayan. Kemudian air putih dituangkan ke dalam gelas kaca sebelum pelayan itu berlalu pergi.
Air percuma sementara dia menunggu pesanan dihantar ke meja. Baguslah. Tekak dia pun agak kering dengan cuaca panas di luar. Langsung gelas air putih itu diambil lalu diminum sedikit sebelum dihentak perlahan ke atas meja. Geram. Mengapa dia yang harus sampai dulu? Orang yang bercadang ingin jumpa pula yang lewat.
"Sudahlah tiba-tiba sahaja ajak berjumpa, selepas itu datang lambat pula tu! Nasib baik aku PA dia sahaja, kalau tidak tak ada maknanya aku mahu jumpa dia! Dah berapa hari dia abaikan aku, kali ini giliran aku pula mahu abaikan dia. Biar padan muka dia!" Degus Mia menunjukkan provokasi. Dada berombak turun dan naik saat menahan perasaan amarah di dada yang masih belum surut sejak semalam.
Sekonyong-konyong bibir Mia terjongket sedikit ke atas. Sinis.
"Apa? Ingat dia booking meja dekat restoran lima bintang ini aku akan mudah cair ke? Hello! Tak semudah itu okay!" Bebel Mia sendirian. Siap buat mimik muka menyampah lagi.
"Saya tak sangka awak marah sampai macam itu sekali." Kedengaran suara garau daripada belakang menyentakkan Mia. Tak asing lagi suara itu ditelinganya. Laju kepala Mia berpaling ke belakang, anak mata membulat terkejut biarpun dia sudah tahu pemilik suara itu adalah Nathan.
Muka lelaki itu tampak kecewa. Mungkin dia sudah mendengar bebelan Mia daripada awal sampai akhir. Alamak! Bawah bibir digigit Mia. Tiba-tiba pula dia rasa nak tarik balik kata-kata tadi.
Eh sekejap!
Mengapa pula dia harus rasa bersalah? Sepatutnya dia harus menunjukkan perasaan sebenar yang dipendam sebelum ini. Laju sahaja Mia menukar riak wajah kepada serius. Tiada sebaris pun senyuman yang terlakar di bibirnya saat ini.
Terus Mia pusing kembali ke hadapan sambil kedua belah tangan memeluk tubuh. Konon meluat hendak pandang muka lelaki itu. Namun telinga sempat menangkap derap langkah kasut kulit Nathan yang cepat-cepat berlari ke mejanya.
Tahu-tahu Nathan sudah berdiri di sebelah.
"Saya minta maaf. Saya tahu saya salah. Saya tak patut ketepikan awak hanya kerana kerja. Tapi saya buat semua tu bersebab. Bukannya sengaja. Awak janganlah terasa..." Adu Nathan.
Malahan bibir Mia menjuih sinis.
"Bersebab? Sebab apa lagi kalau bukan selain hendak kejar duit?"
"Manusia mana yang takkan kejar duit, sayang? Saya terpaksa kejar untuk nak halalkan awak juga. Duit saya bukannya berkepok-kepok macam abang saya. Dia dah lama kerja, saya ni baru aje nak berjinak. Sebab itulah saya kena usaha keras sedikit." Jelas Nathan, namun Mia langsung tidak memberi respon apa-apa. Hanya menjeling. Mungkin wanita itu cuma menganggap dia sekadar beri alasan untuk menutup kesalahannya.
Namun percayalah, sedikit pun dia tidak terdetik begitu. Kepala digeleng perlahan. Ada keluhan kecil kedengaran sebelum Nathan kembali bersuara.
"Tapi percayalah Mia. Saya mungkin abai awak daripada pantauan. Tapi hati saya tak pernah abai untuk berpegang pada satu tujuan iaitu nak kahwin dengan awak supaya awak tak keseorangan lagi. Tolonglah maafkan saya. Saya janji, selepas ini saya takkan ignore awak lagi. Kita kosong-kosong, please?" Rayu Nathan lagi. Siap menyatukan kedua belah tangannya serupa memohon untuk berbaik seperti sebelum ini. Kepala menunduk sedikit ingin melihat reaksi muka Mia. Manalah tahu jika ada perubahan.
YOU ARE READING
MR PIRATE [Complete]
Romance"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati lepas beberapa tahun yang lalu membuatkan Husna teringat sampai sekarang. Mengapa Mr Blue? Kerana di dalam mimpi indah itu cuma menampakkan...