BEBERAPA HARI BERLALU...
Di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Semua orang ada di sini hari ini, Dato Idris, Tan Sri Raqib, bahkan Nathan dan Mia pun turut hadir sekali bagi menyambut kepulangan mereka ke Sabah beberapa minit lagi sebelum masuk ke balai pelepasan. Dengan waktu yang semakin suntuk, Tan Sri Raqib menetip pesanan pada Raf untuk menjaga Husna sebaik mungkin.
Manakala Raf pula hanya angguk dan mengiyakannya sahaja suruhan bapanya. Siap mengingatkan dia tentang beberapa paket kopi yang disuruh bawa sekali. Memaksanya untuk minum semasa waktu rehat di sana nanti. Almaklumlah, Raf ni kalau tak dipesan sudah tentu dia tak akan buat. Karang paket kopi yang dibelinya itu diberi kepada pekerja pula. Sudahlah mahal!
Raf yang malas hendak melayan kerenah bapanya hanya angguk kepala serupa burung belatuk. Apa-apa sajalah papa... keluhnya di dalam hati.
"Kamu ingat tu! Minum jangan tak minum. Kalau Mak Timah ikut sekali bolehlah papa pesan dekat dia untuk buatkan air itu setiap hari. Kamu bukannya boleh harap sangat. Nanti pergi buang pula." Bebel Tan Sri Raqib. Dah serupa menasihati anak sebelum masuk ke pagar sekolah.
"Ya, Raf takkan buang..." Jawabnya dengan nada meleret penuh sabar. Sesekali nafas ditarik dalam-dalam. Ceh, tengoklah sampai Semporna nanti memang dia sedekah sahaja kopi itu kepada pekerja. Tak berani ikut ajaran bapanya. Yang bukan-bukan sahaja.
"Husna, kalau dia buang kopi yang papa beri tu kamu report pada papa ya." Pesan Tan Sri Raqib, seolah-olah Husna adalah spy upahan yang dilantik untuk memerhati tindak-tanduk anaknya dari jauh.
Tersengih-sengih Husna angguk kepala menerima pesanan itu. Apalah yang penting sangat kopi itu dengan Raf agaknya? Sungguh buat dia tertanya-tanya.
"Pasal penceraian ayah dan Dijah, Husna janganlah risau ya. Pandai-pandailah ayah uruskan nanti. Kamu duduk sahaja di Sabah itu tenang-tenang dengan Raf. Insyaallah kalau ada masa terluang, ayah akan ajak Raqib ke sana sekali melawat kamu berdua." Dato Idris bersuara.
Melihat dari raut wajah anaknya, dia tahu Husna tidak sabar untuk pulang ke Sabah. Namun dalam masa yang sama, terpapar sedikit kegelisahan pada mata coklat itu. Seakan ragu-ragu untuk meninggalkan ayahnya berseorangan di sini. Mungkin bimbang untuk melepaskan Dato Idris menyelesaikan halnya sendirian.
Kemudian, Tan Sri Raqib menepuk bahu rakannya. "Papa ada, papa boleh bantu ayah Husna selesaikan kes ini. Kita dah jadi satu keluarga sekarang. Kenalah saling membantu, kan?"
Tubir senyuman lebar dibibir Husna mendengar kata-kata bapa mertuanya. Kepala diangguk tanda setuju. Benar kata Tan Sri Raqib, sudah namanya keluarga haruslah saling membantu ketika. Tidak kiralah hal kecil mahupun besar.
"Terima kasih sangat-sangat, pa. Ayah pun jaga diri ya? Papa juga boleh tolong tengokkan ayah, kan?" Tanya Husna, pandangannya beralih ke arah Tan Sri Raqib yang sedang ketawa.
"Tentulah boleh. Kamu nak suruh papa tengok-tengokkan calon mak baru untuk kamu pun boleh juga." Sakat Tan Sri Raqib.
Tanpa semena-mena lengannya ditumbuk lembut oleh Dato Idris di sisi. Husna mengemam bibir, menahan daripada meletuskan tawa. Lucu pula melihat persahabatan ayah dan papa.
"Kamu ni suka sangat nak merepek, Raqib! Daripada kau carikan jodoh untuk aku, baik kau cari jodoh untuk diri sendiri aje. Aku ini baru sahaja nak jadi duda, engkau tu yang dah bertahun-tahun jadi duda tak laku." Kata Dato Idris dengan nada mengejek.

ANDA SEDANG MEMBACA
MR PIRATE [Complete]
Romance"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati lepas beberapa tahun yang lalu membuatkan Husna teringat sampai sekarang. Mengapa Mr Blue? Kerana di dalam mimpi indah itu cuma menampakkan...