BAB 46 | DENDAM CINTA 2

2.1K 102 18
                                    

DARI jauh, Diana memerhati pasangan yang baru diijab kabulkan setengah jam lepas. Air muka pasangan pengantin itu jelas tergambar yang mereka sangat bahagia sedangkan dia di sini, kelat dan mencuka wajahnya. Kalau ikutkan perasaan, nak saja dia buat kecoh serta menghuru-harakan majlis tersebut. Namun, dia ada rancangan lain. Rancangan yang bakal meranapkan sekelip mata bahagia yang baru dibina oleh Adam dan Marissa.

Sesaat kemudian, gegendang telinga disajikan dengan rentak dan irama lagu For The Rest Of My Life nyanyian Maher Zain. Berbulu saja mata Diana melihat aksi mesra mempelai tersebut. Adam merangkul mesra pinggang Marissa.

For the rest of my life
I'll be with you
I'll stay by your side honest and true
Till the end of my life
I'll be loving you, loving you

For the rest of my life
Through days and nights
I'll thank Allah for opening my eyes
Now and forever I, I'll be there for you

Dan tanpa dia sangka, Adam sendiri yang menyanyikan lagu tersebut khas buat permaisuri hatinya, Marissa. Hati Diana sakit. Jiwanya meronta cemburu. Tak dapat tahan lagi, air mata mengalir deras. Melihat kemesraan yang ditunjukkan, amarah Diana membuat-buak. Mengapa Adam lebih memilih Marissa? Apa kurangnya dia? Sedangkan dia yang mengenali lelaki itu dahulu, bukannya Marissa!

Air mata yang mengalir laju diseka kasar. Tak mengapa, hari ini dia akan biarkan Marissa berbahagia. Sampai waktunya nanti, perempuan itu akan merasai derita yang ditanggungnya tika ini.

"Betina tak tau malu! Kau tunggu apa yang aku akan buat pada kau nanti. Masa tu kalau aku tak dapat takluki Adam, kau pun takkan miliki dia! Itu janji aku!" Diana mendesis perlahan. Matanya garang memanah ke arah Marissa. Semerta, pandangannya turut dibalas. Pandangan Marissa yang lembut bersama anak mata yang bersinar galak itu merentap perasaan marah yang bertamu tadi. Wajah dimaniskan. Senyuman ditarik selebarnya. Palsu sungguh!

"Saya ingatkan awak tak datang tadi. Kenapa tak masuk?" Teruja Marissa melihat kedatangan Diana ke majlisnya. Tangan wanita muda itu turut diraih mesra. Akrab seperti seorang kakak terhadap adik.

Mahu tak mahu Diana koyak sengihan.

"Takkan saya tak datang majlis Cik Ris. Mestilah sayang datang untuk sambut kegembiraan ni. Apa pun saya ucapkan selamat pengantin baru. Saya doakan Cik Ris bahagia bersama suami tercinta." Tubuh langsing Marissa didakap. Bibir menceber meluat. Kata-kata serta doanya tadi langsung tak ikhlas. Sekadar bermanis di mulut, tetapi dalam hati tak putus-putus dia mendoakan kesengsaraan buat majikannya itu.

"Terima kasih, Diana. Awak datang sorang aje ke? Tak bawak suami sekali?" Marissa pandang sekeliling. Kut-kutlah Diana bertandang bersama suaminya. Boleh juga mereka berkenalan.

Sengihan Diana melebar. Dia nampak Adam melangkah ke arah mereka.

"Itu pun suami saya," tunjuk Diana tepat menghala ke arah Adam. Dek suaranya yang sengaja dikuatkan, banyak mata-mata memandang ke arah mereka.

Marissa berpaling. Dia nampak Adam saja tika itu. Dan muka suaminya juga nampak terkejut dengan bicara Diana tadi. Tatapan mata Adam kelihatan tajam. Dahinya berkerut kegelisahan.

"Saya gurau aje. Maksud saya, suami Cik Rislah." Meledak tawa Diana. Dalam hati melompat suka melihat muka pucat Adam serta kebingungan Marissa. Baru cuit sikit sudah menggelabah beruk reaksi Adam.

"Isy awak ni... Saya cakap pasal suami awak bukan suami saya." Malu-malu Marissa nak sebut perkataan suami itu. Dikerling sekilas Adam di sisi. Dah kenapa pula wajah Adam nampak tegang? Sedangkan lelaki itu ceria saja tadi.

3.0 | DENDAM CINTA 2 [COMPLETED]Where stories live. Discover now