Bab 2

990 112 39
                                    

Pejam celik, pejam celik dah cukup tiga bulan aku jadi isteri Ahmad Aidan. Dan selama tiga bulan juga, dia gantung aku tak bertali. Tapi aku rasa bersyukur sangat. Sekurang-kurangnya, dia tak ceraikan aku.

Biarlah dia gantung aku tak bertali sampai bila-bila sekalipun. Aku tak kisah. Yang penting, tak pegang gelaran janda. Kalau tak, confirm babah akan benci aku sampai ke mati.

Kononnya, aku pencemar nama baik keluarga. Padahal Dayah yang terang-benderang conteng arang pada muka babah. Tetapi kerana Dayah anak kesayangan, babah terima setiap perbuatan dia dengan hati yang terbuka. Babah tak marah atau mengamuk biarpun Dayah kahwin lari dekat Siam.

Untung sungguh jadi anak yang bernama Hidayah binti Borhan. Sentiasa mendapat layanan istimewa sama ada daripada babah, mama ataupun umi. Aku pula cuma anak yang melukut di tepi gantang. Hanya tunggu masa untuk kena buang daripada salasilah keluarga.

Tahu aku seorang pendosa, tetapi aku masih manusia biasa. Yang sentiasa mengharapkan kasih sayang daripada orang tua sendiri. Kerana hidup tanpa kasih sayang mak ayah ibarat kapal tanpa nahkoda. Tetap berlayar di lautan, namun tanpa hala tuju.

Terbang habis segala lamunan bila azan mula berkumandang daripada pembesar suara masjid. Terus aku gosok muka sambil beristighfar berulang kali dalam hati. Terlampau ralit duduk mengelamun di tepi kereta sampai tak sedar dah masuk waktu sembahyang isyak.

Ketika kaki baru nak mengorak langkah yang pertama, tiba-tiba muncul Aidan di depan mata. Menghalang aku daripada menuju ke pintu utama masjid.

"Hey, perempuan!"

Aku pejam mata selama beberapa saat. Baru telinga terasa indah dengar azan. Tup-tup, terpaksa dengar suara sinis Aidan pula. Memang bukan penutup yang terbaik untuk malam ni.

Yang pelik, macam mana dia boleh muncul di depan masjid?

Rasanya, rumah dia bukan dekat kawasan sini. Selama bertahun-tahun jadi jemaah masjid, tak pernah lagi aku nampak muka dia. Tapi selepas dia gantung aku tak bertali, boleh pula kami berjumpa dekat sini.

Pelik!

Atau ini namanya takdir?

"Kau pun sembahyang?" Dia tersenyum herot dengan kedua-dua belah tangan yang berada dalam poket baju Melayu.

Itu bukan soalan prihatin atau small talk antara suami isteri. Tapi itu soalan menganjing namanya. Dia memang sengaja tanya dengan niat nak menghina aku.

Oleh kerana aku malas nak bergaduh depan masjid. Jadi, aku mengelak daripada jawab soalan dia dengan menyambung semula langkah yang terbantut tadi. Tapi baru sempat satu langkah, dia dah tarik telekung aku dari arah belakang.

"Aku tengah cakap dengan kau perempuan. Kenapa biadap sangat? Atau memang perempuan murah macam kau jenis kurang ajar?" Makin kukuh pegangan dia pada telekung aku.

Nasib baik kami masih berada di kawasan parkir kereta dan terlindung di sebalik pokok besar. Jadi, tak adalah jemaah masjid yang nampak drama swasta kami berdua. Kalau ada yang nampak, takut tengah malam nanti tular pula dekat media sosial.

Yalah zaman sekarang, semua benda nak rakam. Langsung tak ambil peduli dengan privasi manusia yang menjadi mangsa rakaman. Yang penting cuma bilangan likes.

"Adelina!" seru dia kasar bersama nafas yang tertahan-tahan. Mungkin tengah menahan rasa geram pada aku.

Spontan, aku ramas tangan sebelah kiri. Sementara tangan kanan pula, tengah menggosok telinga. Seruan dia tadi memang boleh buat aku rasa cemas. Lebih-lebih lagi intonasi suara dia hampir sama dengan manusia yang sentiasa muncul dalam mimpi ngeri aku.

Pengantin Bidan TerjunWhere stories live. Discover now