Bab 12

1.1K 117 32
                                    

Sejak tadi, senyum nipis langsung tak lekang dari bibir. Selepas berpuluh-puluh tahun, hari ini baru aku rasa bahagia gila-gila. Ibarat penderitaan Aidan tu bayaran untuk setiap parut luka yang ada di hati dan batang tubuh aku.

Aku jeling dia sekilas sebelum tergelak kuat. Sampai bergenang mutiara jernih di tubir mata.

Sumpah, muka dia lawak tahap gaban!

Terutama sekali pada bahagian bibir dia yang sama merah dengan buntut babun. Siap bengkak teruk lagi macam baru lepas kena cucuk Botox. Semuanya gara-gara penangan cili padi Hanani.

Itulah balasan kalau mulut serupa mulut longkang. Main cakap ikut sedap hati saja. Tak fikir langsung hati dan perasaan si pendengar. Setiap kejahatan pasti ada bayaran. Sama ada di dunia ataupun akhirat.

"Awak nak saya telefon ambulans?" soal aku bersama gelak yang masih bersisa.

"Kenapa tak offer nak tolong telefon van jenazah terus?" balas dia balik sambil mengesat darah yang mula kering di hujung bibir. Sesekali dia akan menyeringai kesakitan.

Dan gara-gara balasan selamba Aidan, makin kuat aku ketawa. Aku rasa terhibur sungguh petang ini. Bukan senang nak dapat hiburan secara percuma dan tak payah bayar sesen pun.

Untung nasib badan!

"Kau pandai juga senyum... gelak... Selama ni aku ingat kau robot," komen dia dengan nada biasa. Tak sinis atau sarkastik. Mungkin dah makin insaf selepas kena belasah dengan Nani.

Secara automatiknya, mati terus ketawa aku. Tak sampai lima saat, aku dah tayang muka kaku seperti mayat. Tiada lagi Adelina yang versi bahagia.

"Kenapa stop?"

"Awak tahu, Aidan." Aku tarik nafas dan lepas sebelum sambung jawab soalan pendek dia.

"Kalau selama ni saya hidup dengan perasaan, saya takkan ada depan awak sekarang. Maybe saya ada dekat tempat lain."

"Dekat mana? Dalam hati aku?" Aidan jongket kening sambil tunjuk ke arah dadanya. Dan, dia sempat senyum herot sesaat sebelum muka dia berkerut-kerut menahan rasa pedih akibat kena tumbuk oleh tangan halus Nani.

"Maybe saya ada dekat Hospital Bahagia atau dekat batu dua. Nasib awak pun selamat. Awak tak payah kahwin dengan pendosa ni, Aidan."

Selepas itu, kami ibarat tengah berada dalam kawasan tanah kubur. Masing-masing senyap dan hanyut dalam dunia sendiri. Otak aku pula mula terfikir yang bukan-bukan. Salah satunya...

Kalau aku tak kahwin dengan Aidan, sah hidup tak serumit sekarang. Masih bahagia dengan Nani dan mak su. Tapi demi babah, aku sanggup ambil risiko dulu.

Malangnya, kasih sayang babah memang bukan untuk aku. Walau sebesar mana pun pengorbanan aku, besar lagi perasaan benci babah pada si anak. Semuanya kerana dosa lama aku.

Aku tak kisah babah buang aku. Cuma aku harap sangat sebelum meninggal, aku sempat minta maaf dekat babah. Itu aje permintaan aku yang terakhir sebagai hamba Allah.

Tahu-tahu, pipi aku dah basah dengan air mata. Betul orang kata. Jangan terlampau gembira sangat. Nanti sedih. Sama macam perasaan aku saat ini.

"Aku yang kena belasah. Kenapa kau yang menangis, Adel?" bisik Aidan lembut seraya mengesat air mata aku dengan hujung jarinya.

Spontan, aku tepis kasar tangan dia. Dan hampir-hampir saja, aku nak kilas tangan dia ke belakang. Mujur dia sempat mengelak. Kalau tak, ada juga yang betul-betul masuk unit kecemasan petang ini.

"Kau dengan Nani memang sesuai jadi kawan baik. Sama-sama ganas!" komen dia bersama anak mata yang silih ganti pandang antara muka aku dengan tangan kanan dia. Mungkin dia masih terkedu dengan serangan mengejut aku.

Pengantin Bidan TerjunWhere stories live. Discover now