Bab 16

1.5K 168 55
                                    

Aku kesat air mata yang kian mengering di pipi dengan telapak tangan. Dan lambat-lambat, aku tampar lembut pipi lalu tersenyum nipis. Senyuman yang sekadar untuk memberi semangat pada diri sendiri yang hanyut jauh dalam kedukaan.

Kemudian, aku tenung dalam-dalam wajah Aidan sebelum terlepas keluhan panjang dari bibir yang merekah. Hasil daripada deman panas selama dua hari berturut-turut.

Kenapa dia sentiasa uji hati dan perasaan aku? Tak boleh ke kami bawa haluan masing-masing? Hidup dalam sebuah perkahwinan yang tergantung tanpa noktah.

Lagipun, dia lelaki. Dia boleh kahwin lebih daripada satu. Tak ada masalah untuk dia atau pada pihak aku. Aku takkan meroyan dekat media sosial. Kerana aku sendiri pun tak berminat nak jadi isteri pada mana-mana lelaki dalam dunia ni.

"Adelina binti Borhan..." seru dia lembut sambil bergerak makin dekat dengan aku. 

"Cukup, Aidan!"

Tanpa sedar, suara aku naik seoktaf. Menghalang dia daripada terus mendekat dan bersuara. Kerana aku yakin 100% segala rayuan atau pujukan dia langsung tak membawa kesan pada hati.

"Tolong simpan rayuan dan tangisan awak pada yang berhak. Saya tak layak pun nak terima rayuan dan tangisan awak. Yang berhak cuma Allah." Jari telunjuk aku terangkat ke atas. Sebagai simbolik pada Tuhan yang Maha Esa.

"Saya hanya manusia biasa yang banyak dosa. Jadi, tolong berhenti merayu dekat saya. Saya tak layak untuk air mata awak."

Aku takut rayuan dan tangisan seorang lelaki yang bernama Ahmad Aidan bin Ahmad Attar bakal menjadi racun dalam hidup. Risau aku mula lupa diri dan rasa bangga. Kerana lelaki yang pernah hina aku beberapa bulan lepas, sanggup melutut di depan kaki aku sekarang. Padahal aku cuma hamba Allah yang belum tentu lagi masuk syurga.

"Awak tahu, Aidan."

Ayat aku terhenti sehingga situ saja dulu. Tergantung sebab aku tengah ubah posisi badan. Dari duduk di atas kerusi, aku pindah dan melutut di atas lantai. Baru kedudukan kami sama taraf. Tak ada yang rasa diri tu tuan atau hamba.

"Peluang pun sama juga dengan hormat. Kedua-duanya, kita kena raih sendiri. Bukan minta atau merayu pada orang lain. Kalau awak rasa, awak layak untuk dapat peluang daripada saya..."

Buat kesekian kalinya, ayat aku tergantung. Aku perlukan masa seketika sebelum sambung ayat yang bagai tersekat di kerongkong.

"Awak yang kena berusaha untuk dapat peluang tu. Saya takkan mampu bagi dekat awak, Aidan." Aku tersenyum tawar pada sambungan ayat.

Kepala dia terangguk-angguk dan senyuman lebar mula mengambil tempat pada wajahnya. Boleh nampak yang dia rasa lega sangat dengan respons aku.

"Untuk perkahwinan kita pula..." Aku hembus nafas berat bila buku lali terasa ngilu. Kening pula berkerut sedikit dalam menahan rasa sakit yang menjalar hingga ke bahagian atas kaki.

Dan dalam sekelip mata, aku duduk dalam keadaan bersimpuh. Nak mengelak daripada terus-menerus bagi tekanan pada luka di buku lali yang belum sembuh sepenuhnya. 

"Saya tak jadi bercerai dengan awak, tapi buat masa sekarang." Aku bukan tengah jilat ludah sendiri. Cuma minta tangguh untuk beberapa bulan. Nak tunggu sampai kemarahan babah reda.

Selepas itu, baru aku minta cerai balik dekat Aidan. Kali ini, aku akan pastikan semua berjalan secara rahsia dan berjaya. Babah takkan tahu langsung tentang penceraian si anak pembawa malang.

"Maksudnya, kau masih ada rancangan untuk bercerai dengan aku?" soal dia bersama muka yang muram. Mati terus senyuman bahagia dia tadi.

"Rancangan tu sentiasa ada, tetapi semuanya bergantung pada masa dan... mungkin juga jodoh kita berdua."

Pengantin Bidan TerjunWhere stories live. Discover now