Bab 7

1K 137 42
                                    

Selepas dua bulan, kami kembali bertentangan mata. Ada rasa marah yang mula menguasai jiwa. Namun demi Hanani a.k.a Nani, aku abaikan perasaan sendiri untuk seketika. Semua demi keharmonian manusia sejagat yang berada di meja makan.

Lagipun, bergaduh di hadapan orang bukan cara aku. Cukup Aidan seorang yang perangai seperti samseng kampung. Jangan aku pun ikut perangai yang sama. Takut bakal mengundang fitnah dalam hidup.

"You memang senyap kan, Adel?"

Selepas sekian lama, akhirnya aku pula yang menjadi subjek perbualan di meja. Terhenti terus tangan Aidan yang sedang menguis makanan di dalam pinggan. Padahal soalan tu datang daripada tunang Nani yang bernama Umar untuk aku.

Dan bila ada Nani, aku tak perlu susah payah untuk buka mulut. Dia yang akan tolong jawab bagi pihak aku. Pendek kata, dia ibarat pengurus tak berbayar dalam hidup manusia yang bernama Adelina binti Borhan.

"Hmm... dia memang senyap. Jenis berat mulut. Bercakap bila perlu aje. Tak macam I yang riuh macam radio buruk." Sambil bercakap, Nani jeling manja ke arah aku. Persis pasangan kekasih yang sedang hangat dilamun cinta.

Dalam dunia ni, cuma Nani dan mak su yang sentiasa pandang aku dengan rasa kasih sayang dan penuh penghormatan. Tak pernah pandang aku jijik meskipun latar belakang hidup aku sangat hitam. Lebih hitam daripada kegelapan malam.

Malangnya gara-gara perbuatan bersahaja Nani, renungan Aidan pada aku makin bertambah tajam. Cuma pada hari ini, renungan dia nampak biasa. Tak terselit perasaan marah dan dendam seperti selalu.

"You radio buruk pun, I tetap sayang."

Balasan yang datang daripada Umar bersama senyuman lebar hingga ke telinga. Boleh nampak yang dia sayang sangat Nani. Untung kawan baik aku...

Nasib baik aku dah terbiasa dengan situasi bercinta antara Nani dan Umar. Tak ada lah anak tekak rasa geli-geleman. Kalau tak, ada juga yang muntah hijau di atas meja restoran.

Sebenarnya setiap kali Nani keluar dating dengan Umar, aku akan teman. Dari zaman bercinta sehingga sekarang. Konon-konon aku ini sebagai pencegah amar makruf dan nahi mungkar. Kerana dalam hubungan cinta antara dua hati yang belum berkahwin, sentiasa akan muncul syaitan sebagai orang ketiga.

Sekurang-kurangnya bila ada aku, setiap perbuatan Nani dah Umar masih berada dalam kawalan. Tapi... itulah. Aku pula yang terpaksa menjadi mangsa tontonan drama Akasia mereka berdua.

Adakah aku cemburu?

Tak, aku tak cemburu langsung. Malah, tumpang bahagia. Kerana senyuman pada wajah Nani menjadi penyumbang pada kebahagiaan aku. Sejujurnya selama 10 tahun ini, aku rasa nikmat bahagia melalui senyuman ceria Nani.

"You... Aidan. Kenapa tengok kawan baik I macam nak telan hidup-hidup?" tegur Nani sebelum dia pandang muka aku dan Aidan silih ganti.

Serta-merta muka dan telinga Aidan bertukar pada rona merah buah tomato. Mungkin malu kerana kantoi dengan Nani

Sementara aku cuma tunjuk muka kosong sambil suap spageti karbonara masuk ke dalam mulut. Aku masih berselera biarpun kena tenung dengan Aidan sejak mula dia melangkah masuk ke dalam restoran tadi.

Sekarang baru aku percaya, dunia ini memang kecil. Dalam banyak-banyak tempat, dekat sini juga kami nak terserempak. Dan benda paling mengejutkan, dia salah seorang kawan baik Umar.

Selama bertahun-tahun aku teman Nani dan Umar dating, Aidan tak pernah muncul di depan mata. Tapi petang ini, kami boleh bersemuka pula.

Sesungguhnya, ini bukan takdir yang terindah. Cuma ujian kecil Tuhan pada petang Sabtu. Aku kena bersiap sedia dari saat ini. Bila-bila masa saja dia akan serang aku.

Pengantin Bidan TerjunWhere stories live. Discover now