"INI bilik Encik Fareez ke?” soalku sambil melihat ke sekeliling bilik ofis ini. Besar, tapi tak nampak macam bilik orang berjawatan tinggi seperti yang ditunjukkan dalam drama TV sana. Aturan dalam bilik ini pun begitu minimalis.
“Bilik sementara. Bilik yang sebenar tengah renovate. Seminggu dua lagi siaplah tu.”
Oh, patutlah. Pelik juga bila tengok bilik yang agak biasa-biasa ini. Kurang kena dengan jawatan dan skala besarnya syarikat ini. Kiranya pandai jugalah aku ini kan? Baru tengok sekali sudah boleh teka yang ini bukan bilik Fareez. Hehe.
Aku perhatikan Fareez yang sedang bercakap dengan seorang lelaki. Pekerja di sini agaknya. Semua pekerja di sini nampak begitu kemas dan beretika. Semuanya mesra dan tak ada perangai tak semengah seperti yang selalu aku tonton di TV atau baca dalam novel. Bila Fareez lalu di depan mereka, kesemuanya berdiri dan mengucapkan selamat sebelum kembali duduk. Berdisiplin habis.
Atau mereka berdisplin habis kerana takutkan Fareez yang bukan main tegas mukanya? Yelah, keluar saja lif tadi, terus muka tenang itu berubah mendadak. Tegas macam guru besar sekolah lama aku dulu.
Aku tersenyum bila lihat bingkai gambar yang tergantung di dinding. Gambar Fareez dan kedua orang tuanya. Formal betul gambar. Siap berkot dan bertali leher. Mama pula siap berbaju kurung. Bila tengok gambar, baru aku perasan yang papa juga ada sedikit rambut perang seperti Fareez. Perang yang seakan garisan. Mula-mula aku jumpa Fareez, aku fikirkan rambut palsu. Tapi bila perangnya sentiasa ada, aku mula tukar pandangan. Rupanya itu memang rambut ori.
Tapi macam mana boleh jadi perang macam itu ye? Nak kata kacukan, muka mama dan papa keduanya nampak Melayu habis. Ah, senang cerita anggap sajalah kurniaan Allah supaya Fareez nampak lebih kacak. Hehe. Tapi kan, kalau Fareez kacak macam ini, macam mana pula dengan papa Fareez masa zaman muda dulu ye? Mama pula mesti cantik! Mama kulitnya cerah. Papa Fareez kulitnya sawo matang. Keduanya nampak kacak dan cantik walau di usia emas.
“Alisa.”
Aku pusing pandang Fareez bila namaku dipanggil.
Lelaki yang ada bersama Fareez tadi sudah keluar. Nampaknya aku sempat mengelamun sekejap tadi sambil pandang gambar di dinding.
“Ye?” sahutku.
“Aku ada meeting sekejap lagi. Kau boleh tunggu?”
Aku boleh tunggu? Aku angguk. Rasanya tak ada masalah untuk tunggu dia selesai dengan kerjanya. Bukannya kena tunggu di bawah terik matahari. Duduk dalam ruang berpendingin hawa dan bersofa selembut tilam di rumah. Silap haribulan mahu aku berdengkur terus di sini. Elok pula malam tadi aku sibuk marathon Alchemy of Souls sampai subuh baru reti nak tidur.
“Betul ini?” soal Fareez lagi. Seakan kurang yakin dengan aku.
“Betullah. Apa yang tak betul?” Lah, dia ini!
“Jangan sampai aku habis meeting, kau pun hilang ye?”
Aku mengeluh sambil mengangguk laju-laju. Aku tahulah!
Fareez diam. Kembali ke meja kerjanya sebelum sesuatu diambil dari dalam laci meja. Fareez kembali mendekati aku bersama dompetnya. Dompet dibuka sebelum dua keping not 50 dikeluarkan. Duit itu dihulurkan kepada aku.
Aku tak terus ambil. Pandang Fareez dulu. “Apa ini?”
“Kertas.” Loyar buruk pula dia.
“Nak buat apa dengan kertas ini? Lukis?” Tapi aku layan saja.
“Pergi kafeteria dekat bawah. Belilah apa-apa yang kau nak makan.”
Uuuu… “Guna duit ini?” soalku sambil tunding jari ke tangan Fareez.
YOU ARE READING
CINDERLISA
RomanceTAJUK SEBELUM INI : CALON ISTERI UPAHAN CALON ISTERI UNTUK DIUPAH! Bujang belia, tak laku lagikan terlajak dijemput untuk mendapatkan khidmat calon isteri upahan. "RM 5,000 for each job... -FAREEZ Tapi lain yang dirancang lain pula yang jadi bila...