BAB 4

151 5 0
                                    

JARINYA menari di atas papan kekunci. Sofea membaca satu per satu artikel dengan teliti. Dia membuka artikel lain pula. Tidak cukup dengan itu, dia mencari maklumat di laman sosial seperti X dan Instagram.

Tidak banyak maklumat yang berjaya diperoleh. Sofea menggaru kepala yang tidak gatal. Jarinya mengetuk perlahan komputer riba sambil berfikir. Dia dapat satu idea. Tangannya mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon seseorang.

"Hah, apa?" sapa Farah.

"Tu je? Cubalah excited sikit bila aku call." Sofea mencebik.

"Kau nak apa malam-malam ni? Jaranglah kau nak telefon. Biasanya aku je yang rajin telefon kau," perli Farah.

Sofea ketawa.

"Aku nak kahwin," kata Sofea pendek.

Farah yang mendengarnya, kaget. Dia men-jauhkan sedikit telefon bimbitnya untuk melihat skrin, mahu memastikan nama si pemanggil.

"Kau gila? Kena rasuk hantu apa ni? Aku tak pernah tahu pun kau ada boyfriend." Farah mengerutkan dahi.

"Sekarang ni memang tak ada. Nanti adalah," jawab Sofea bersahaja.

"Kau telefon aku malam-malam buta cuma nak bagi tahu kisah dongeng kau atau nak perkenalkan imaginary boyfriend kau?" Farah mula tak senang duduk.

Sofea tertawa mendengar sindiran sahabatnya.

"Aku nak tanya pasal imaginary boyfriend akulah ni." Sofea sudah bersedia untuk mendengar bebelan.

"Apa dia?" tanya Farah yang tidak sabar.

"Kau ingat tak, lelaki yang kita jumpa dekat kafe hari tu?" Sofea menutup komputer riba dan menuju ke kamar tidurnya.

"Hmm, yang mana?" Farah cuba mengingati kafe yang dimaksudkan kerana mereka sudah mengunjungi banyak kafe.

"Yang ada pengiring tu," jawab Sofea pendek.

"Pengiring? Hmm... Ahhh!!!" jerit Farah apabila teringatkan sesuatu.

Sofea menjauhkkan telefon bimbitnya sedikit sebelum melekapkan kembali ia ke telinga.

"Tengku Adam Harriz?! Kau biar betul, Sofea?" Farah mula risau.

"Kau jangan main-main," tambah Farah lagi, kedengaran cemas.

"Betullah," balas Sofea sambil merebahkan badan di atas tilam yang empuk.

"Kau gila? Dia tu bukan calang-calang orang tau! Kau jangan main-mainlah, Sofea." Pening kepala Farah yang mendengarnya.

Sofea menelan air liur mendengar amaran itu. Sebenarnya, dia juga baru tahu lelaki yang ditemui tempoh hari daripada golongan kenamaan, bukan sekadar kaya. Itu pun hasil carian di Google tadi.

"Aku pun rasa aku dah gila," jawab Sofea.

"Sofea, please... Kenapa dia?" Farah cuba memujuk.

"Aku tak tahu. Aku dah pening fikir. Tadi, aku tipu ibu kata aku dah ada boyfriend." Sofea memandang siling.

Farah yang mendengar, rasa mahu pitam.

"Kau nak boyfriend je, kan? Berapa lama? Nanti aku carikan." Farah cuba membantu.

Sofea menggeleng meskipun Farah tidak dapat melihatnya.

"Tak, aku nak suami. Dah alang-alang, mestilah aku nak yang stabil." Sofea bergurau.

Farah menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri.

"Kau gila ke? Bukan dia, Sofea!" Farah memberi amaran keras.

"Aku tak gila, Far. Aku rasa dialah calon yang paling sesuai," jawab Sofea.

Farah rasa seram sejuk mendengarnya. Sofea tidak pernah berkelakuan seperti ini.

"Kau nak buat apa? Nak mengurat dia? Dengan pengiring dia yang 24 jam dengan dia? Dahlah, Sofea. Kau cari je orang lain. Siapa kawan ofis kau tu? Zayyan? Hah, dia ada!" Farah masih cuba memujuk.

"Aku rasa bersalah kalau tiba-tiba libatkan dia. Aku dah lama kawan dengan dia." Sofea menggeleng tak setuju.

"Aku nak guna khidmat RH Agency," tambah Sofea lagi.

"Sofea!" jerit Farah, geram.

Sekali lagi Sofea menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga.

"Kalau kita nak buat sesuatu, kenalah melabur sikit, kan?" Sofea tersenyum.

"Kalau kau nak melabur, pergilah beli saham." Farah sudah tak terkata apa.

"Kau telefon aku ni nak buat aku sakit jantung ke?" perli Farah apabila melihat jam pada dinding yang menunjukkan sudah pukul 12.35 pagi.

"Aku telefon sebab nak tanya, kenapa Google tak banyak detil pasal dia? Artikel pun ada sikit je." Sofea tertanya-tanya.

Farah cuba mengawal amarahnya.

"Mestilah tak ada. Dia bukan orang biasa macam kita! Dah, tak payah mimpi nak kahwin dengan orang macam tu. Kalau aku tahu kau buat benda pelik-pelik, siap!" kata Farah tegas.

Sofea yang mendengarnya hanya tersenyum.

TERLANJUR MILIKMUWhere stories live. Discover now