BAB 9

48 1 0
                                    

BUNYI hon kereta kedengaran dari luar rumah. Dia mengambil segugus kunci dan menekan punat pintu pagar utama. Pagar terbuka secara automatik. Sofea berdiri di hadapan pintu menanti Farah.

Selesai memarkir kereta, Farah mengeluarkan beg bagasi dari bonet. Farah pernah jadi rakan serumahnya dulu. Selepas Farah menikah, tinggallah Sofea di rumah sewa ini seorang diri.

"Wau! Berapa hari pula ni?" Sofea berpura-pura terkejut.

Dia mengambil beg bagasi Farah dan ditarik masuk ke dalam rumah.

"Dua hari!" Farah menanggalkan sandal yang dipakai.

"Pergi mana?" Sofea meletak beg di depan pintu kamar tidur.

"Singapore." Farah menuju ke ruang tamu.

"Seorang doktor, seorang lagi arkitek. Dua-dua sibuk. Korang ada masa makan sama-sama tak?" tanya Sofea.

Siapa yang tak tahu jadual kerja doktor yang tak menentu. Kadang-kadang Farah perlu menggantikan doktor lain. Itu tak termasuk bila dia perlu menyambung syif akibat kekurangan doktor.

"Ada je, tapi sekarang Irfan sibuk sikit," balas Farah.

"Tak apalah, Farah. Nanti dah banyak duit, tinggal nak pusing-pusing dunia je." Sofea cuba menyenangkan hati sahabatnya.

Farah yang mendengarnya, tertawa.

"Dalam banyak-banyak negara, kau nak pergi mana?" soal Farah.

"Hmm..." Sofea berfikir sejenak.

"Santorini!" jawab Sofea lagi setelah beberapa saat berfikir.

"Wau! Tempat tu memang cantik. Aku rasa semua orang nak merasa pergi situ." Farah mengangguk setuju.

Siapa yang tak tahu Santorini? Bangunan dan pantai yang cantik, tersergam indah seperti dalam sebuah lukisan.

"Kau?" Giliran Sofea pula bertanya.

"Kalau aku... Mestilah Cappadocia." Hanya membayangkan tempat yang dipenuhi dengan belon panas itu saja sudah membuatkan Farah tersenyum.

"Tak tahu pula yang kau ni romantik," usik Sofea sambil menunjal-nunjal bahu Farah.

"Mestilah. Kalau tak macam mana Irfan boleh jatuh hati dekat aku," gurau Farah sebelum kedua-duanya menghamburkan tawa masing-masing.

"Esok kau cuti lagi ke?" Farah bertanya.

Pelik kerana Sofea tidak pernah mengambil cuti yang panjang. Kebiasaannya, paling lama tiga hari.

"Ha'ah, aku ambil seminggu terus." Sofea mengalihkan pandangan ke televisyen.

"Lamanya kau cuti. Kau nak pergi mana?" Farah masih memandang Sofea.

"Tak pergi mana, saja cuti lama sikit." Sofea cuba mengawal riak wajah.

Farah terus memukul lengan Sofea perlahan sebelum menjeling dengan tajam. "Kau tipu, kan?"

"Betullah." Sofea tidak mahu mengaku.

"Kenapa kau tak pergi holiday? Takkan cuti seminggu duduk rumah je?" Farah masih musykil.

"Aku pusing-pusing KL, pergi tempat-tempat yang aku tak pernah pergi," jawab Sofea jujur.

Farah mengerutkan dahi. "Pusing KL? Maksudnya, kau jalan-jalan dekat KL? Kau biar betul. Apa je yang ada dekat sini?"

Farah mula merasakan ada yang tidak kena.

"Betullah. Banyak tempat kau tak tahu." Sofea jawab acuh tak acuh.

"Dahlah, aku nak tidur." Sofea meminta diri.

Dia harus cepat-cepat beredar sebelum Farah mengorek dengan lebih dalam lagi.


SOFEA bangun agak awal hari ini kerana tidak mahu terserempak dengan Farah yang mahu ke tempat kerja. Tepat jam 7.00 pagi dia sudah keluar dari biliknya.

Namun, belum sempat Sofea memegang tombol pintu, dia terdengar suara Farah.

"Kau nak pergi mana awal pagi macam ni?" Farah melihat Sofea atas bawah.

"Jangan cakap nak pergi joging," perli Farah. Matanya masih melekat pada pakaian Sofea.

"Apa pula joging? Aku ada hal sikit," jawab Sofea.

"Sejak bila kau rajin bersukan ni?" tanya Farah lagi, bingung.

"Baru je. Saja nak bersukan. Kau nak ikut ke?" Sofea menuang air masak ke dalam gelas.

"Aku kerjalah." Farah menyisip air teh.

"Okey, aku pergi dulu. Nanti jangan lupa kunci pintu." Sofea menyerahkan gugusan kunci pendua sebelum menuju ke pintu.

"Jangan buat benda yang pelik-pelik. Kalau tak, aku repot dekat ibu." Farah memberi amaran.

Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya, tapi tiada masa memikirkannya kerana Sofea sudah cukup dewasa untuk berfikir.

Sofea yang mendengarnya memandang Farah. "Kau tu yang patutnya jangan fikir bukan-bukan."

Masuk saja ke dalam kereta, Sofea menarik nafas lega.


SOFEA membaca e-mel yang diterima dengan teliti. E-mel yang diterima daripada Ayden, menyatakan ketidakpuasan hati dan tidak suka dengan hasil kerja Zayyan. Dia juga menjelaskan yang dia mahu Sofea untuk segera kembali menjalankan tugas.

Sofea menghela nafas panjang dan melempar telefon pintarnya ke tempat duduk penumpang.

Enjin kereta dimatikan dan dia keluar. Punat kunci kereta ditekan. Kakinya melangkah ke kafe yang berada di situ. Dia mahu bersarapan dahulu sebelum memulakan harinya.

Setelah mengambil hidangan yang tersedia, dia duduk di kerusi yang sama sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di situ. Sofea makan sambil menikmati pemandangan padang yang terbentang luas. Matahari sedang naik tinggi.

Selesai makan, Sofea mengangkat punggung, mahu berlalu, namun disapa seseorang.

"Kita jumpa lagi," sapa Tengku Adam.

Sofea kaget seketika, kemudian terus mengaktifkan mod lakonan.

"Lagi?" Sofea mengerutkan dahi tanda tidak mengerti.

"We've met before," terang Tengku Adam.

"Belle Vie Cafe," tambahnya lagi, cuba untuk mengingatkan Sofea.

"Ah, kafe. The door guy?" soal Sofea dengan nada mengusik.

Tengku Adam tertawa kerana dilabel sebagai door guy.

"Adam. You?" Tengku Adam menghulurkan tangan. Memperkenalkan namanya tanpa Tengku.

"Arin Sofea, boleh panggil Sofea." Sofea membalas huluran Tengku Adam, cuba mengawal gugup.

"Arin is such a wonderful name, so I prefer to call you by that. If you don't mind?" tanya Tengku Adam sopan.

"Tak kisah," jawab Sofea.

Dia baru perasan pengawal Tengku Adam tiada di sisinya.

"I tak pernah nampak you dekat sini sebelum ni?" tanya Tengku Adam lagi.

"Hari ni kelas pertama." Sofea masih tersenyum.

"Oh, have fun!" Tengku Adam menayang sebaris gigi.

"Thanks. Tapi, I kena pergi sebab kelas I dah nak mula." Sofea menjeling jam tangan.

"Jumpa lagi nanti." Tengku Adam memberi laluan.

Sofea berjalan meninggalkan Tengku Adam yang melihatnya dari belakang.

Tengku Adam tersenyum penuh makna.

TERLANJUR MILIKMUWhere stories live. Discover now