BAB 10

157 1 0
                                    

SOFEA kembali menjalankan tugas. Belum sempat dia duduk, Zayyan sudah memasuki ruangannya.

"I tak duduk lagi. You ni pun. Macam tak sabar-sabar nak bagi kerja," seloroh Sofea sebelum melabuhkan punggung.

Zayyan yang mendengar terus meletak beberapa buah fail di atas meja.

"Ni projek Grey Global. I dah tak boleh nak handle dia lagi." Zayyan mengangkat kedua-dua tangan ke udara, tanda menyerah.

Membayangkan suara Ayden yang asyik menelefonnya itu saja sudah buat dia pening.

"Dahsyat betul dia buli you, sampai jadi macam ni." Sofea ketawa kecil.

"Pagi, petang, siang, malam dia telefon! I rasa waktu I tidur pun, I terngiang-ngiang suara Encik Ayden tu," adu Zayyan sambil menggeleng beberapa kali.

"Habislah... Lepas ni I pula yang gila." Sofea mengambil fail-fail yang diletak Zayyan sebentar tadi dan diteliti satu per satu.

"You kenal Encik Ayden tu?" tanya Zayyan.

Sofea mengerutkan dahi.

"Kenapa?" Sofea mencapai botol air yang berada di atas meja dan membuka penutup botol.

"Sebab dia asyik sebut nama you. Tanya bila you nak masuk ofis," terang Zayyan.

"Tak kenal pun," balas Sofea, malas mahu beri-tahu yang mereka pernah rapat sebelum ini.

Sofea meneguk air minuman.

"Tapi, cara dia tu macam kenal you. I ingatkan dia ex you." Zayyan membuat serkap jarang.

Tersembur air minuman yang baru saja melalui tekaknya. Sofea hadiahkan jelingan tajam kepada Zayyan. Apa yang dikatakan Zayyan sebentar tadi tepat mengena.

"Kalau dia ex I, mesti I orang paling rugi. Kalau tak, sekarang ni I tengah goyang kaki kira duit dia," gurau Sofea sambil mencapai beberapa helai tisu di atas meja.

Zayyan yang mendengarnya, tertawa.


SELEPAS beberapa jam meneliti fail yang dihantar Zayyan, Sofea mengambil tas tangan dan pelan projek. Dia menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan pejabatnya.

Setibanya ke tempat yang di tuju, dia berbincang dan menerangkan serba sedikit tentang projek yang bakal dijalankan di situ. Setelah hampir sejam, barulah semuanya selesai.

Sofea kembali ke keretanya. Sewaktu dia tiba di situ, dia melihat satu sosok tubuh yang sangat dikenali sedang bersandar pada pintu pemandu.

Punat kunci kereta automatik ditekan. Dia meletak pelan yang dipegang di tempat duduk penumpang, lalu menutup pintu dengan kasar dan berjalan ke arah Ayden.

"Encik Ayden, saya dah lambat ni. Boleh encik ke tepi?" kata Sofea sopan, malas mahu bertikam lidah.

Ayden yang mendengarnya, terkejut. Tak sangka Sofea menukar perbualan mereka menjadi formal sehingga menggunakan panggilan saya-awak. Kerana kebiasaannya mereka menggunakan I-you.

"Sofea..." Ayden cuba mencapai tangan Sofea.

"Encik Ayden, please!" Sofea memberi amaran.

"We need to talk." Ayden tidak berputus asa.

Sofea yang mendengarnya tersenyum sinis.

"Untuk apa? Dah tak ada benda nak dicakapkan. Saya harap Encik Ayden boleh hormat saya sebagai orang yang dilantik oleh syarikat encik untuk jalankan projek ni dan sebagai seorang wanita. Kalau Encik Ayden berkelakuan macam ni, saya tak boleh kerja dengan Encik Ayden lagi!" kata Sofea tegas.

"Sofea, I tahu I salah..."

"Dah terlambat, Encik Ayden," potong Sofea.

"I masih sayangkan you," tutur Ayden, jujur.

"Sayang?" Sofea memandang Ayden tajam. Rasa meluat dengan apa yang didengar.

"Mana you pergi waktu I perlukan you? Bila semua orang gelakkan I? Bila I hampir gagal degree I? You dah lama mati dalam hati I bila you pergi daripada hidup I! Sekarang, you ingat bila you merayu macam ni, I nak maafkan you? Teruskan bermimpi, Ayden!" Jari telunjuk Sofea menunjal-nunjal dada Ayden.

Ayden tidak mengelak. Dia hanya diam.

"Tolong ke tepi, sebelum I call polis." Sofea memandang Ayden yang masih berada di pintu keretanya.

Badan Ayden ditolak sekuat hati. Dia akhirnya berganjak dan Sofea terus masuk ke dalam perut kereta, meninggalkan kawasan itu.

SOFEA menjeling nama pemanggil yang meng-hubunginya tanpa henti dari tadi. Dia menjawab dengan malas.

"Ya, ibu," ucap Sofea setelah melekapkan telefon bimbit di telinga.

"Sofea buat apa?" Puan Lidiya bertanya.

Sofea mengerutkan dahi. Tertanya-tanya kenapa ibunya berbasi-basi.

"Tengah tengok TV. Kenapa, bu? Ibu cakap jelah," kata Sofea, tidak mahu memanjangkan perbualan.

Puan Lidiya berdehem beberapa kali sebelum membuka mulut. "Sebenarnya, ibu nak tanya ni..."

"Hmm," balas Sofea, malas.

"Betul ke Sofea dah tak boleh terima Ayden? Sofea tak boleh maafkan dia?" Puan Lidiya cuba memujuk.

Sofea yang mendengar terus menarik nafas panjang. Rasa seperti tidak percaya dengan soalan yang keluar dari mulut ibunya.

"Ibu," panggil Sofea perlahan, seolah-olah memberi amaran.

"Ibu tahu Ayden pernah lukakan Sofea, tapi tak boleh ke Sofea bagi dia peluang kedua? Semua orang pernah buat kesilapan, kan?" Puan Lidiya masih tidak berputus asa.

"Ibu!" Sofea terjerit sedikit.

"Ibu sendiri nampak macam mana Sofea dulu. Tak cukup ke semua tu? Ibu nak Sofea gila baru ibu percaya Sofea benci Ayden? Sofea tak tahu apa yang Ayden cakap dekat ibu, tapi tolong, bu," luah Sofea, kedengaran kecewa.

"Kesian ibu tengok Ayden," kata Puan Lidiya perlahan.

"Habis tu, siapa yang nak kesiankan Sofea? Walaupun dia dah buat macam tu dekat Sofea, ibu tetap lebihkan dia! Dah jadi macam ni pun, tetap Sofea yang nampak buruk. Semua salah Sofea, macam tu? Sofea penat, penat sangat! Dekat ofis, Sofea terpaksa hadap dia. Dah sampai rumah, ibu pula paksa Sofea terima dia! Ibu nak tengok Sofea gila ke?" Sofea menahan sesak di dada.

Dia mengambil masa yang lama untuk melupa-kan Ayden, apalagi Ayden adalah cinta pertamanya.

"Ibu minta maaf. Sofea jangan stres ya." Puan Lidiya mula risau.

"Ibu dah janji dengan Sofea, ibu takkan sebut nama dia lagi. Mana pergi janji ibu? Macam mana Sofea nak percayakan ibu kalau benda senang macam ni pun ibu asyik nak ulang?"

"Ibu ingat ibu boleh tolong Sofea baiki hubungan dengan dia," kata Puan Lidiya, serba salah.

"Nak tolong apa, bu? Tolong Sofea jadi gila? Tak cukup ke dulu ibu tengok Sofea macam mana?" Sofea mula tawar hati.

"Dahlah, bu. Sofea dah tak nak cakap pasal ni. Sofeanak tidur. Assalamualaikum." Talian terus diputuskan dan telefon bimbitdicampak ke atas sofa.


Untuk melanggan & pertanyaan:shopee.com.my/kedaibukudnhttp://www.wasap.my/+60132588069

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 07 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

TERLANJUR MILIKMUWhere stories live. Discover now