BAB 8

72 1 0
                                    

SOFEA menjinjit beg kertas dan dimasukkan ke dalam bonet kereta. Dia membeli kelengkapan sukan berkuda. Antaranya, baju, seluar, helmet, kasut but dan glove. Usai itu, dia memandu keluar dari gedung beli-belah yang mewah itu.

Dia memandu dengan fikiran yang menerawang entah ke mana dan tanpa disedari dia tiba di hadapan Belle Vie Cafe. Kafe yang menjadi kegemaran Tengku Adam.

Sofea yang baru menyedarinya, menepuk dahi. Dia mengeluh seketika. Tiada pilihan lain kerana perut yang sudah mula berkeroncong harus diisi.

Dia menarik pintu kafe dan matanya meliar mencari meja kosong. Sofea melihat sebuah meja yang tersorok di hujung kafe dan memutuskan duduk di situ.

Seorang pelayan wanita mendekatinya dan dia memesan beberapa hidangan. Sewaktu menunggu makanan dihidangkan, dia terdengar bunyi telefon bimbit, menandakan dia menerima pesanan.

Dia membaca e-mel yang diterima. Terbuntang matanya apabila melihat jumlah yang tertulis di situ. Dia terus mendail nombor telefon seseorang.

"Helo, Cik Natalia," sapa Sofea setelah panggilan dijawab.

"Ya, kenapa, Cik Sofea?" soal Natalia.

"Kenapa I kena bayar 15 ribu, sedangkan I baru bayar 11 ribu beberapa hari lepas." Sofea geram bercampur hairan.

"Berkenaan dengan isu ni, saya ada cakap sebelum ni. Target Cik Sofea bukan calang-calang orang dan kami perlukan sejumlah duit untuk bayar orang-orang yang akan ada di sekeliling Cik Sofea. Selain tu, Tengku Adam ada pengiring yang ikut dia 24 jam. Jadi, kami kena upah orang yang berpengalaman dan itu bukan jumlah yang sikit, Cik Sofea. Silap hari bulan ejen kami masuk ke dalam dan kami juga akan diheret sama," terang Natalia panjang lebar.

Sofea mengunci mulut. Penerangan itu ada logiknya juga. Salah dia kerana memilih Tengku Adam.

"Okey, I transfer amaun tu nanti," jawab Sofea, malas mahu memanjangkan isu.

Talian dimatikan. Telefon bimbit diletak ke dalam tas tangan.

Makanan dihidangkan dan dia terus mencapai garpu kerana tidak sabar menikmati spageti yang dipesan. Patutlah Tengku tu suka datang sini, gumam Sofea dalam hati sambil menikmati hidangan.

Tak lama kemudian, dia melihat beberapa orang lelaki masuk ke dalam kafe. Selepas melihat salah seorang daripadanya, dia terus teringatkan Tengku Adam!

"Ni pengiring dia. Alamak, habislah aku!" bisik Sofea perlahan.

Tidak menyangka Tengku Adam berada di situ pada waktu ini. Dia harus menyembunyikan wajahnya kerana pemakaiannya bukan seperti sebelum ini dan rambutnya juga sudah didandan. Seratus peratus berbeza daripada apa yang dicipta oleh Natalia.

Sofea mengangkat tangan, memanggil pelayan dengan wajah yang dipalingkan ke dinding. Setibanya pelayan di meja, dia terus menghulurkan kad kredit dan pelayan itu terus berlalu ke kaunter pembayaran.

Sofea tidak mahu merosakkan rancangan Natalia. Salah satu perjanjian yang ditandatanganinya, dia tidak dibenarkan mengunjungi mana-mana tempat kegemaran sasarannya tanpa kebenaran kerana Natalia tidak mahu apa-apa kesilapan berlaku.

Pelayan tadi kembali dan mengembalikan kad.

Sofea terus mengambilnya dan dimasukkan ke dalam tas tangan. Dia bangun sambil menutup wajah dengan tas tangan. Kelakuannya itu menarik perhatian beberapa orang pengunjung kafe.

Belum sempat dia menarik pintu kafe, terdapat satu sosok tubuh turut berdiri di situ, menyebabkan laluan keluar tertutup. Sofea angkat wajah. Beg yang dipegang terlepas daripada pegangan kerana terkejut dan ia sempat disambut Tengku Adam.

Kelam-kabut Sofea mengambil kembali tasnya yang berada dalam pegangan Tengku Adam.

"Sorry." Tengku Adam meminta maaf kerana tak sengaja menghalang satu-satunya laluan keluar.

Sofea menelan air liur. Dia tiada cara lain selain berpura-pura tidak mengenali lelaki itu.

"Tak apa," kata Sofea, tersenyum.

Selepas melihat Tengku Adam mengalihkan tubuhnya ke tepi, Sofea menyambung langkah yang terhenti dan keluar dari Belle Vie Cafe.

"Matilah aku kalau Natalia tahu ni," kata Sofea bila sudah berseorangan.

Tengku Adam tersenyum sendirian dengan gelagat Sofea.

TERLANJUR MILIKMUWhere stories live. Discover now