FAREEZ Aiman membaca surat yang baru diterima. Tidak sia-sia dia menghantar resume dan menghadiri temu duga nun jauh di Utara Semenanjung Malaysia. Dapat juga tawaran untuk bekerja di Setia Holdings. Memang dia sengaja ingin mencuba nasib di negeri orang. Asyik duduk di bawah celah ketiak emak sahaja, sesekali dia perlu keluar dari kepompong selesanya.
"Tak payahlah kerja sampai ke Pulau Pinang tu, Reez. Nanti mama tanyakan kawan mama. Mana tahu ada kerja kosong," ujar Puan Fatimah.
Dua orang lagi anaknya telah beranak-pinak. Fareez satu-satunya anak lelaki dalam keluarga. Dari kecil, memang dia sentiasa memanjakan anak terunanya ini.
"Nak kerja apa? Tukang masak? Kawan mama tu, semuanya geng tukang masak. Takkan Reez pun nak duduk kat dapur jugak kut?" bantah Fareez.
"Takkanlah mama nak suruh anak mama yang handsome dan macho ni duduk kat dapur. Ada-ada aje Reez ni. Reez kerja kat sini aje ya," pujuk Puan Fatimah.
"Kak long ada kat Sabah, ikut suami. Kak ngah pulak ada kat Melaka. Reez pun nak tinggalkan mama jugak ke? Tak kesian pada mama dengan papa ke?" pujuk Puan Fatimah lagi.
"Mama ni, sebab kesian pada mama dengan papalah, Reez nak berhijrah. Sampai bila mama nak jaga makan minum Reez? Kali ni, biarlah Reez berdikari. Boringlah, sekali-sekala nak jugak pergi kelab malam, nak rasa balik lewat malam. Ni tak, pukul 9.00 malam aje dah terpacak kat rumah," ujar Fareez.
"Tu yang mama marah. Sebab tu mama tak bagi Reez keluar dari rumah ni. Belum keluar lagi dah ada cita-cita nak buat jahat. Esok-esok kalau dah duduk sendiri, siap bawak balik rumah perempuan lagi. Dah, koyakkan aje surat tawaran tu. Kerja kat sini aje. Kalau dah tak ada kerja sangat, biar mama bagi elaun kat Reez. Sebulan seratus ringgit, cukup?" Suara Puan Fatimah mula lantang.
Jika tadi dia memujuk anaknya dengan lemah-lembut, kini semuanya sudah terbalik. Bukan itu sahaja, tangannya cepat sahaja mencubit paha anak terunanya itu.
"Hisy, mama ni. Orang main-main ajelah. Tangan macam ketam. SIkit-sikit cubit, sikit-sikit cubit," rungut Fareez sambil menggosok-gosok paha.
"Padan muka Reez. Dah tahu perangai mama macam tu, kenapa cakap nak ke kelab malam? Awak ni pun Cikgu Timah, sampai bila nak kongkong hidup anak teruna awak ni? Biarlah dia belajar hidup sendiri kat tempat orang.
Kalau anak perempuan tu tak apalah jugak. Ni anak jantan. Nak duduk celah ketiak awak aje. Esok kalau dia dah ada bini, takkan nak ikutkan telunjuk awak jugak?" tegur Encik Hussain.
Mereka berdua sama-sama bekas guru besar pencen.
"Abang ni, suka sangatlah tegur saya kalau saya tengah nasihatkan anak-anak. Saya buat untuk kebaikan dia orang. Reez ni, seluar dalam dia pun saya yang masih basuhkan, siap lipat lagi. Macam mana dia nak hidup sendiri kat tempat orang? Makan minum dia, siapa yang nak jaga? Takkan hari-hari dia nak makan nasi kandar kut? Nanti terpaut dengan anak tauke nasi kandar tu, macam mana?" omel Puan Fatimah tidak henti-henti.
"Okeylah tu, hari-hari makan percuma. Mama pulak, mana tahu boleh besarkan lagi perniagaan katering mama. Tambah lagi satu menu. Nasi kandar dari Penang," usik Fareez.
"Lepas tu jangan lupa carikan papa, anak mami yang cantik. Asyik makan ikan singgang, asam pedas. Sekali-sekala, nak jugak makan kari dengan popadom," ujar Encik Hussain, menokok tambah kata-kata anaknya.
"Anak dengan bapak, dua-dua sama aje. Suka sakitkan hati mama, kan? Nak sangat makan kari, esok mama buat. Kita tengok, siapa punya kari paling sedap. Mama buat ke atau mamak nasi kandar tu buat lagi sedap," ujar Puan Fatimah.
Fareez menghampiri Puan Fatimah. Bahu mamanya dipegang lembut.
"Mestilah kari mamak tu yang sedap," usik Fareez.
Puan Fatima terus mencubit lengan anaknya. Encik Hussain hanya ketawa. Selepas ini, sunyi sepilah rumahnya kalau Fareez memang nekad untuk menerima tawaran kerja di Pulau Pinang.
***********************************************************************************************
"JADI ke Reez nak ke Pualu Pinang tu?" soal Encik Hussain.
"Apa pulak tak jadinya? Abang kan beria-ia sangat suruh dia cari pengalaman kat tempat orang. Dia ikutlah nasihat abang tu," sindir Puan Fatimah.
Tinggal seminggu lagi untuk dia bermesra dengan anaknya. Marah dengan nasihat suaminya.
"Baguslah, sampai bila kita nak jaga dia? Esok-esok, kalau kita dah meninggal macam mana? Sekurang-kurangnya masa kita ada nilah, kita boleh tunjuk ajar dia. Bukan terus kongkong dia. Kalau dia anak dara, tak apalah jugak. Ni tak, dia anak teruna. Sampai bila nak berkepit dengan awak aje, Cikgu Timah oi?" soal Encik Hussain, tetap teguh dengan nasihat yang telah diberikan kepada anak terunanya.
"Abang tak tahu, dialah satu-satunya anak lelaki saya. Macam mana kalau dia terikut-ikut dengan perangai yang tak elok, bang? Abang dengar sendirikan, apa dia beritahu kita hari tu. Dia nak belajar masuk ke kelab malam, nak bawa perempuan balik ke rumah. Hati mama mana yang tak risau?" keluh Puan Fatimah.
Kali ini disertai dengan satu dua titis air mata yang cuba ditahan di tubir matanya.
"Saya faham, tapi kita berserah ajelah. Bukan kita tak didik dia dengan pengetahuan agama. Kita pun dah ajar dan asuh dia. Rasanya, dia boleh pertimbangkan yang mana salah dan yang mana yang betul. Kalau nak buat jahat, tak payah tunggu duduk kat sana. Kat mana-mana pun boleh buat jahat. Lagipun, takkan awak tak kenal anak kita tu macam mana?
Dulu, dia pun berkawan jugak dengan budak-budak rempit, tapi setakat berkawan ajelah, tak pulak dia mengikut kerenah mereka. Dengan Saiful pun dia berkawan jugak, tapi setakat tu aje. Taklah sampai dia mengikut Saiful sampai ke kelab malam.
Kita kena beri kepercayaan pada dia, Cikgu Timah. Beri peluang untuk dia tonjolkan potensi diri sendiri. Awak pun bekas cikgu, awak tahu potensi anak murid awak. Takkan potensi anak sendiri pun tak tahu?" Panjang lebar kata-kata daripada bekas guru besar itu.
"Saya tahu. Tapi tulah, dah saya ni mamannya. Memang tugas ibu risaukan anak-anak. Nak buat macam mana? Arwah mak awak pun sama, bukan main susah lagi nak lepaskan awak ikut saya balik berhijrah ke kampung halaman saya. Duduk aje kat bandar ni.
Kalau awak ikut nasihat saya duduk kat kampung saya, kan bagus. Kalau musim buah, bolehlah kita panggil anak cucu balik makan. Ni tak, nak makan buah kena ke kedai Ah Seng, beli kat kedai dia aje. Tak merasa cucu saya ni nak berkebun, berladang. Maklumlah, kahwin dengan orang bandar," ujar Puan Fatimah.
"Awak ni makin tua, makin melalutlah, Cikgu Timah. Awak nak makan buah apa? Saya pergi tanam sekarang. Kalau tak kerana taman bunga awak yang kat depan tu, mesti penuh dengan pokok rambutan. Ni tak, pantang ada tempat kosong mulalah nak tanam orkid, bunga raya dan macam-macam pokok bunga. Bukan boleh makan pun. Lepas tu nak salahkan saya.
Awak tengok rumah Lebai Malik tu, penuh rumah dia dengan pokok rambutan, mempelam. Cuti sekolah aje, penuh anak cucu balik ke rumahnya, panjat pokok rambutan. Kita tak, anak cucu balik duduk aje menghadap bunga orkid awak tu," sindir Encik Hussain.
"Nak salahkan saya pulak?"
"Bukan nak salahkan awak, tapi awak jangan nak salahkan saya bila saya tak ikut awak balik ke kampung halaman awak. Bukan kita tak balik, dua tiga bulan sekali kita balik ke sana. Kalau awak nak balik ke sana jugak, saya tak kisah.
Jom kita angkut barang-barang pindah ke sana. Tapi awak pulak yang tak betah nanti. Sanggup ke awak nak tinggalkan geng mengumpat awak tu? Bukan saya tak tahu, awak dengan Cik Senah Janda tu, kalau sehari tak mengumpat hal orang, tak senang duduk dibuatnya," sindir Encik Hussain.
Puan Fatimah hanya mendiamkan diri.
"Assalamualaikum."
Kedengaran suara memberi salam. Encik Hussain menjenguk ke luar.
"Panjang umur, tu kawan seangkatan awak dah sampai. Pergilah jemput," ujar Encik Hussain.
Puan Fatimah hanya menjeling, namun kakinya pantas mengatur langkah menuju ke arah pintu.
YOU ARE READING
Isteriku Naik Hantu karya Syikin Zainal
RomanceSekadar Berkongsi. Kalau suka, sila beli. https://www.karangkrafmall.com/isteriku-naik-hantu Persahabatan Qarina dimusuhi teman baik sendiri. Sepuluh tahun dia mengunci rapat pintu hatinya. Baginya, kasih pada Iqram adalah kasih tersimpul mati. Dia...