QARINA mengesat saki-baki air mata yang telah mengalir membasahi pipi gebunya. Fareez yang berada di sebelah hanya diam seribu bahasa. Qarina memandu laju menyusuri jalan menuju ke Taman Belia. Fareez tidak membantah walaupun hatinya melonjak-lonjak ingin mengwtahui kenapa Qarina mengaku dia sebagai bakal tunangnya. Selama 15 minit, mereka hanya diam membisu.
"Maaf," ucap Qarina, memecahkan kebisuan.
"Sebab?" soal Fareez.
"Sebab tinggalkan kau tadi. Akak tak tahu nak buat apa."
"Kalau saya tak telefon akak tadi, tak pasal-pasal saya kena naik bas Rapid," ujar Fareez, cuba berseloroh.
Qarina cuba ketawa, tetapi nampak sangat janggal. Kemudian, dia melepaskan ikatan rambutnya. Fareez hanya melihat. Hari ini, dia melihat Qarina dari sudut berbeza. Melihat air mata Qarina dan melihat cara gadis itu mengesat air mata membuatkan hatinya tersentak. Betapa lembutnya hati gadis itu.
"Kenapa mengaku saya sebagai tunang?" Fareez terus bertanya.
"Akak mintak maaf. Akak sebenarnya..." Kata-kata Qarina mati di situ.
"Akak tak tahu Reez sepupu Iqram. Akak mintak maaf. Tak guna nak cakap apa. Dia pun dah tahu siapa kita," ujar Qarina.
"Akak memang ada hubungan dengan Iqram ke? Qis tahu tak?" soal Fareez.
"Cerita lama dik, cerita dah basi," jawab Qarina.
"Jangan panggil adiklah, naik geli saya," ujar Fareez.
Dari gerak-geri Qarina, Iqram dan Balqis, dia tahu ada kisah antara mereka bertiga. Qarina menarik nafas panjang. Nampaknya, terpaksa juga dia berhadapan dengan situasi ini. Tiba-tiba, telefon bimbit Fareez berbunyi.
"Qina okey ke, Reez?" ujar Fareez, membaca mesej daripada sepupunya. Sengaja dia membaca mesej itu dengan kuat.
"Nak suruh saya jawab apa ni?" soal Fareez.
"Jawab aje, dia okey. Lepas tu, suruh dia pergi mampus," jawab Qarina.
"Takkan saya nak cakap macam tu kut? Tahu tak, mulut Qis tu macam mana? Lepas ni kecohlah satu famili, saya bercinta dengan bekas awek Iqram," ujar Fareez.
"Akak mintak maaf, Reez. Akak tak bermaksud macam tu. Kau beritahu kat dia, yang akak tipu aje. Kenapalah akak ni bodoh sangat tadi?" marah Qarina pada diri sendiri.
"Masalahnya, saya dah termengaku tadi. Saya pun panik bila akak cakap saya bakala tunang akak. Nasib baik akak ni kira cun jugak, kecil molek. Kalau tak, mahu menangis saya kat situ. Dahlah makan tak kenyang," luah Fareez.
"Yang kau pergi mengaku kenapa? Teruklah kau ni!" marah Qarina, mula naik angin.
Fareez tidak menjawab. Dia pun hairan kenapa dia mengakui dengan apa yang disampaikan Qarina kepada Balqis dan Iqram. Belum sempat dia menyambung kata-kata Qarina, telefonnya berbunyi lagi.
"Alamak kak, mama saya telefon. Jangan-jangan, Qis ada beritahu pada orang tua tu tak?" ujar Fareez, semakin menggelabah. Bukan boleh dikira sangat mulut tempayan Balqis.
"Habis tu, nak buat apa ni?" soal Qarina, turut tidak menentu.
Inilah yang dikatakan orang, lari dari mulut harimau masuk ke mulut buaya. Fareez terpaksa menjawab setelah dua kali panggilan telefon daripada mamanya dibiarkan begitu sahaja.
"Assalamualaikum, mama," ucap Fareez, memberi salam.
"Reez ada hubungan dengan Qina ke?" soal Puan Fatimah terus menyerbu.
Sebentar tadi, Balqis menelefonnya memberitahu yang dia terserempak dengan Fareez dan bakal tunangnya. Terkejut juga dia apabila mendengar hal itu. Setahunya, anaknya sehingga kini langsung tidak maklumkan apa-apa pada dia. Dan apabila Balqis menyebut nama Qarina, hatinya sedikit lega. Entah kenapa, dia senang dengan Qarina. Sikapnya matang, suka tersenyum dan yang paling penting sanggup melayan kerenahnya dan sanggup mendengar keluhan hati tuanya.
"Hubungan apa pulak ni, mama?" soal Fareez, cuba berselindung.
"Tadi Reez ada jumpa Qis dengan Iqram ke? Qis telefon mama, katanya dia terserempak dengan Reez. Katanya, Reez keluar dengan bakal tunang Reez. Terkejut mama," cerita Puan Fatimah.
"Bila dia sebut nama Qina, mama pun mengaku ajelah. Mama pun berkenan dengan Qina tu. Ada pendidikan dan pandai ambil hati mama," sambung Puan Fatimah lagi.
"Mama ni, mana ada. Qis tu main-main ajelah. Lagipun, Qina tu kan tua dari saya," ujar Fareez, memperlahankan suaranya, bimbang jika Qarina terdengar.
Qarina hanya menjeling.
"Hisy, okeylah tu. Rita Rudaini dengan bekas suami dia tu pun lagi banyak beza. Lagipun, mama rasa mak teh kamu dah tahu. Mesti Qis beritahu dia. Bila nak balik bincang?" soal Puan Fatimah.
"Ya ALLAH mama ni, sampai ke situ fikirnya. Okeylah, Reez ada kerja. Assalamualaikum," ujar Fareez, segera mematikan talian.
Dia kemudiannya berpaling ke arah Qarina.
""Mampus!" kata Fareez.
"Mama kau dah tahu?" soal Qarina.
"Ha'ah, dia dah telefon. Hampehlah Qis ni. Silap hari bulan, kat mak mentua dia pun dia cerita. Huh!" marah Fareez.
"Habis tu, mama kau cakap apa?"
"Cakap apa? Seronoklah dia nak dapat menantu," jawab Fareez, bersahaja.
"Seronok?" soal Qarina, kehairanan.
Aik, macam ni pun boleh seronok? Fikir Qarina. Kemudian dia tersenyum.
"Ni sengih-sengih macam kerang, apa hal?" tegur Fareez.
"Kalau dah mama setuju, kita apa lagi, on ajelah," usik Qarina.
Selama ini, dia selalu makan hati dengan lawak mamat poyo di hadapannya. Kali ini, rasakan pula lawak maut daripadanya.
"Gila? Tua tu. Tak naklah saya kahwin dengan orang tua," bantah Fareez tanpa mempedulikan perasaan Qarina.
"Apa kau cakap? Kau cakap aku tua? Kurang asam jawa punya budak!" balas Qarina, terus memukul Fareez dengan beg tangan.
"Tiga puluh tahun, tualah tu," ujar Fareez, mempertahankan diri.
Qarina menarik muka masam. Tidak pernah ada lelaki yang memanggilnya dengan gelaran tua.
"Yalah, aka dah tua. Akak pun tak inginlah nak kahwin denga kau. Dahlah poyo, perangai macam budak-budak. Nama aje jurutera, tapi tak matang langsung. Cuba tengok pakaian kau. Budak-budak kolej aje yang pakai baju macam ni tau," ujar Qarina.
"Okeylah ni, orang muda pakai macam ni. Nak bandingkan saya dengan bos, mestilah macam langit dengan bumi. Dia tu dah senja, saya ni muda belia," ujar Fareez, mempertahankan dirinya lagi.
"Dah, aku tak nak dengar benda-benda tu semua. Sekarang, kau telefon mama kau, beritahu dia yang aku main-main aje tadi. Silap hari bulan, mama kau dah tempah pelamin. Jangan-jangan siap dengan mak andam lagi. Maklumlah, bukan senang nak dapat menantu macam akak ni tau," ujar Qarina.
"Yalah, tadi menangis bagai, sekarang terus garang. Memang perangai macam ni ek, suka tukar karakter?" soal Fareez.
"Tadi tsunami, sekarang dah reda. Kau selalu dengar Taufan Katrina, kan? Jangan sampai Taufan Qarina pulak yang melanda," ujar Qarina.
Qarina menghidupkan kembali enjin keretanya. Kalau tadi marahnya pada Balqis dan Iqram, kini melarat pada Fareez pula yang secara terang-terangan suka mempermainkan hatinya.
YOU ARE READING
Isteriku Naik Hantu karya Syikin Zainal
RomansaSekadar Berkongsi. Kalau suka, sila beli. https://www.karangkrafmall.com/isteriku-naik-hantu Persahabatan Qarina dimusuhi teman baik sendiri. Sepuluh tahun dia mengunci rapat pintu hatinya. Baginya, kasih pada Iqram adalah kasih tersimpul mati. Dia...