bab 46

30 1 0
                                    

Perabot-perabot antik serta gaya ala-ala tahun 90-an menarik perhatian Rina sepenuhnya. Tangan mengkuis-kuis penjuru almari berwarna coklat gelap yang dipenuhi dengan banyak hiasan yang benar-benar menggambarkan homestay ini. Memandangkan matahari sudah naik dan langsir sudah disingkap, barulah dia dapat melihat-lihat hiasan dalaman ini. Kepala ikut terangguk-angguk seraya mengatur langkah ke luar balkoni.

Sambil merehatkan lengan di atas kekisi, dia menarik nafas panjang, menghirup udara nyaman yang dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan hijau yang terasa begitu tenang lalu dihembus perlahan-lahan. Tidak seperti di bandar. Terlalu berdebu dan berasap. Jauh beza dengan persekitaran sekarang ini.

Terlalu leka dengan keindahan alam, kehadiran Faleq yang muncul dari belakang pun mungkin dia tidak sedar kalau Faleq tidak cuba bermain dengan hujung rambut panjang coklat separas bahu milik Rina.

Automatik tubuhnya berpaling ke belakang sekaligus Faleq menopangkan kedua lengannya ke kekisi dan mengunci kedudukan Rina. Tiada ruang untuk dia ke belakang mahupun kiri atau kanan.

Gemuruh hati Rina melihat wajah itu dengan jarak dekat walaupun lelaki itu selalu sahaja menatap wajahnya lama dan dalam jarak yang sama.

"Bila awak bangun? Saya tak dengar pula." Ujar Rina dan menghadiahkan senyuman manis.

"Kau suka tempat ni?" Dia tidak menjawab malah menyoal kembali dan sempat dia menyelitkan seurat rambut Rina yang berterbangan ditiup angin ke belakang telinga.

Rina memaniskan senyumannya lagi sebelum menjawab. "Tak pernah ada satu saat pun saya tak suka sejak kenal dan jadi isteri kepada seorang lelaki yang ada ada di depan saya."

"Iaitu, Faleq Iskandar." Sambung Rina.

Jawapan yang menyenangkan Faleq itu meluluhkan jantungnya. Terasa ada rama-rama di dalam perut. Dia mengemam bibir rapat. Tak terasa kedua belah pipi sudah terangkat dan memerah.

"Hmmm, saya nak bersiap dululah. Nanti lepas dah siap-siap bolehlah turun dan tengok apa yang anak-anak buah awak buat." Katanya dan menolak lengan Faleq jatuh ke sisi dengan lembut. Dia mengatur langkah untuk menuju ke bilik air selepas mengambil satu tuala putih yang tersedia di atas para.

"Kau nikan, Rina. Selalu buat aku macam ni." Bisik hatinya dan menyandarkan tubuh ke muka pintu.




"Good morning, tuan dan Rina! Lena tidur?" Sapa Taufiq dari bawah selepas menyedari kelibat dua figura itu sedang menuruni anak tangga. Lincah tangannya menyusun satu-satu pinggan di atas meja. Sarapan pagi pula sudah dihantar melalui servis daripada salah seorang staf di situ.

Faleq pincingkan mata ke arah Taufiq. Amboi, dah sedap-sedap tidur sepanjang perjalanan boleh pula dia tanya tanpa rasa serba salah? Tidak menjawab, mereka berjalan seiringan, kerusi ditarik ke belakang untuk membenarkan Rina duduk dan turut melabuhkan punggung di sebelah isteri.

Melopong mulut Rina melihat banyak juadah pagi. Ini bukan sarapan tapi makan tengah hari!

"Banyaknya makanan..."

"Ya, banyak sangat. Tuanlah buat pesanan banyak sangat." Sampuk Ragus yang baru sahaja keluar dari dapur.

Faleq berkerut halus. "Sejak bila aku buat pesanan semua ni? Aku ingat kau yang oder."

Sudah, siapa pula yang buat pesanan yang begitu banyak sampai penuh semeja ini?

"Ha! Cuba tuan tanya Zihad. Dia tadi yang buka pintu untuk terima semua makanan ni." Cadang Hao pula.

Panjang umur Si Zihad ini. Baru sahaja diseru, terus muncul dari dalam bilik. Dia maju untuk duduk bersama tapi dihalang Faleq seketika.

Lantas, Zihad memandang Faleq dengan hairan.

Faleq Nisrina [HIATUS]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang