"Mak Limah..."
Tak jadi Mak Limah mahu naik ke atas katil bila terdengar suara lembut itu di luar bilik. Terus berpandangan kejap dia bersama Cik Yam. Tak payah soal siapa, itu pasti Bunga yang datang.
"Bunga ke? Masuk sayang," selesai saja Mak Limah berkata begitu terus daun pintu terkuak. Tak lama, terjegul wajah cantik Bunga di balik pintu. Cumanya, wajah itu tampak begitu sedih. Mata cantik itu kelihatan sembap sedikit seperti baru saja lepas menangis. Tahu lah dia, pasti ada sesuatu yang telah terjadi semasa Bunga ke bilik kerja Engku Marissa tadi. Boleh dikatakan sudah biasa dah dia dengan situasi ini. Tapi dia tahu bahawa Engku Marissa pasti ada sebabnya sendiri. Di mata tuanya, dia nampak yang Engku Marissa begitu sayangkan Bunga walhal Bunga bukan siapa- siapa pun padanya. Tak mudah sebenarnya menjadi Engku Marissa tapi Engku Marissa selalu berusaha kuat. Kuat demi Bunga.
"Kenapa ni hm?" Soal Mak Limah bila Bunga berjalan perlahan menuju ke arahnya dan Cik Yam. Keluhan dilepaskan bila dia nampak air mata mula jatuh pada kedua belah pipi mulus itu. Perlahan air mata disapu di pipi Bunga bila saja Bunga labuhkan duduk di sebelahnya ini.
"Mummy marah Bunga?" Soal Mak Limah.
Lambat-lambat Bunga angguk. Dia bukan sengaja mahu menganggu Mak Limah dan Cik Yam tidur tapi dia betul-betul perlu telinga untuk bercerita. Dia tak tahu mahu bersandar pada siapa meluahkan rasa yang terbuku di hatinya.
"Mummy dah dapat tahu Bunga masuk kelas tarian?" Soal Mak Limah lagi. Dia memang rapat juga dengan Bunga. Maklumlah, dekat rumah ini tak ada siapa yang suka dengan kewujudan Bunga. Jadi, Bunga banyak habiskan masa dengan dia dan juga Cik Yam. Kadang kesian juga dia dengan Bunga. Tapi apa dia boleh buat? Dia cuma pembantu rumah sahaja. Dia tak boleh nak buat apa-apa. Tapi dia tahu, masih ada lagi Engku Mokhtar, Engku Marissa dan Tuan Fateh yang masih menyayangi Bunga sepenuh hati.
Angguk.
"Mummy marah Bunga..."
Keluhan lemah Mak Limah lepaskan. "Tak lama lagi mummy sejuklah tu..." Pujuk Mak Limah.
Geleng. "Bunga dah kecewakan mummy..."
"Tak sayang, Bunga tak salah. Bunga cuma-"
Geleng. "Bunga memang salah, Bunga tak dengar cakap mummy. Bunga selalu buat mummy marah. Betul selalu kecewakan mummy. Betul cakap mummy, Bunga selalu susahkan mummy. Dari Bunga kecil sampai besar, Bunga selalu susahkan mummy..."
"Bunga dah buat mummy makin bencikan Bunga..." Ujar Bunga sambil teresak-esak.
"Tak sayang...percaya cakap Mak Limah ya? Mummy tak pernah benci Bunga. Mummy orang yang paling sayang Bunga. Cuma cara mummy tunjuk yang mummy sayang Bunga tak macam ibu-ibu yang lain..." Pujuk Mak Limah lembut.
Makin lebat air mata di pipi Bunga.
"Nak tunjukkan kasih sayang kadang tak semestinya melalui mulut..." Ujar Mak Limah lembut. Tubuh Bunga kemudian ditarik ke dalam dakapannya. Kesian dia dengan nasib Bunga. Dari kecil hilang tempat bergantung. Ramai saja yang menyayangi Bunga, tapi dalam masa yang sama mereka juga orang yang menyakiti Bunga.
"Mak Limah tengok mummy macam tu. Cara mummy tunjuk mummy sayang Bunga bukan melalui mulut tapi melalui perbuatan..."
"Bunga nak tahu tak sepanjang mummy pergi Negeri Sembilan, mummy selalu call Mak Limah tanya tentang keadaan Bunga. Tanya Bunga dah makan ke belum, tanya Bunga dah pergi kelas ke belum. Walaupun mummy pergi empat hari je dekat sana, tapi mummy tetap risaukan Bunga. Sebab itu Mak Limah cakap mummy tak pernah benci Bunga. Kalau Bunga tanya siapa orang yang paling sayang Bunga, Mak Limah akan jawab mummy..." Ujar Mak Limah perlahan.
YOU ARE READING
Sweet Destiny
RomanceKerana pengkhianatan lampau, Engku Marissa hidup dalam bayangan. Berdamai dengan takdir? Tipu kalau dia tak pernah cuba. Tapi setiap kali saja dia lihat wajah polos itu, semua jadi payah. "Jangan buat aku makin bencikan kau." -Engku Marissa "Bunga...