BAB 12

149 5 3
                                    

Dylan berdiri tegak memerhatikan kawasan yang menjadi tapak pembunuhan yang baru berlaku beberapa jam yang lalu.

Kebetulan Dylan melalui kawasan kejadian, dia menjadi orang pertama yang tiba sebelum pasukan polis yang lain. Keadaan yang masih awal pagi lagi, membuatkan kawasan itu sangat sunyi walaupun tempat kejadian itu menjadi tempat orang awam lalu-lalang.

Mata Dylan tajam merenung kawasan berhampiran untuk memastikan tiada mata-mata yang melihat. Dengan hanya dirinya sahaja, susah untuk dia menghalang jika orang awam mengerumuni tempat ini.

Kali ini, mayat yang ditemui bukan berada di dalam bangunan. Malah tergantung di dahan pokok. Mangsa yang hanya berpakaian putih dengan rambut yang dibiarkan terurai begitu sahaja. Darah yang mula membasahi bajunya kelihatan begitu jelas sekali. Sesiapa yang melihat pasti akan berfikir bahawa itu hantu. Sedangkan ianya manusia yang dibunuh lalu digantung pada dahan pokok tersebut.

Kejam? Sudah semestinya. Dah bunuh, kenapa perlu gantung? Bukankah ianya lebih menyakitkan bagi mereka yang melihat? Sesetengah orang pasti akan merasa trauma.

Dylan berjalan mengelilingi pokok besar itu dengan jarak yang jauh sambil melihat jika ada bukti yang bakal ditemui sementara menunggu anggota polis dan ahli forensik tiba. Sebaik saja dia berpusing, apa yang memeranjatkan dirinya adalah bahagian belakang badan mangsa.

Bahagian belakang badan mangsa seolah dikorek dengan kejam sehingga meninggalkan lubang yang besar. Tulang badan mangsa turut kelihatan. Darah merah masih mengalir dari ruangan lubang itu sehingga menitik ke bawah.

Benarkah ini perbuatan manusia? Tidak adakah secebis perasaan kasihan? Kenapa perlu dirobek sebegitu sehingga terlihat segala tulang dan isi dagingnya. Dari bahagian depan badan mangsa kelihatan sangat sempurna. Tetapi bahagian belakang mangsa sangat menyayat hati.

Dylan menghela nafas berat. Semakin berat beban yang perlu dipikul di bahunya. Dan Dylan yakin, kes kali ini pasti akan menjadi bualan hangat orang awam kerana mangsa kejadian digantung di kawasan terbuka. Dan sebentar lagi pasti wartawan akan datang mengerumuni kawasan kejadian dengan lensa kamera mereka.

Dan Dylan bencikan itu. Dylan bencikan wartawan yang suka menokok tambah cerita dalam ulasan mereka. Hanya semata-mata untuk menyedapkan cerita.

"This is gonna be a mess." Keluh Dylan. Hanya memikirkan sahaja boleh buat dia sakit kepala.

Bunyi siren ambulans mula kedengaran. Tidak lama kemudian, muncul kenderaan polis, ambulans dan forensik. Dengan pantas pegawai polis bergerak mula mengawasi kawasan kejadian dari dimasuki oleh orang awam.

"Selamat pagi, tuan." Seorang pegawai polis berpangkat sarjan datang menghampiri Dylan seraya menabik hormat.

Dylan menundukkan kepalanya sedikit.

Pegawai tersebut terus berlalu pergi untuk memulakan tugasannya. Daniel yang baru tiba dengan motorsikal berkuasa tinggi terus melompat turun dan berlari ke arah Dylan. Ada sesuatu yang perlu dia beritahu.

"Dy! Aku dah jumpa!" Beritahu Daniel tanpa sempat menanggalkan topi keledarnya.

"Apa yang kau jumpa?"

"Ni." Telefon bimbit yang memaparkan gambar anak patung dihulurkan pada Dylan.

Gambar yang menunjukkan rama-rama berwarna biru tepat diatas bahu anak patung itu. Tetapi ditutupi dengan fabrik yang dijahit pada anak patung itu. Tepat seperti apa yang tuan kedai tersebut beritahu.

"Kau rasa, apa yang dimaksudkan dengan rama-rama ni?" Soal Daniel sambil membetulkan rambutnya yang berserabut setelah menanggalkan topi keledarnya.

Dylan menggelengkan kepala. Masih kurang pasti dengan motif pembunuh. Kepalanya memandang keatas semula melihat mayat mangsa yang masih tergantung. Pegawai polis yang bertugas masih berusaha untuk membawa mayat tersebut turun. Oleh kerana ikatan yang terlalu ketat, mereka memutuskan untuk menggergaji tali tersebut. Tali yang tebal membuatkan mereka mengambil masa lebih kurang 15 minit sebelum mangsa dibawa turun.

BLOODY CHECKMATE (TERBIT)Where stories live. Discover now