Part 1

19 2 0
                                    


Masa kini....

Naima mundar-mandir di ruang tamu, langkahnya penuh kegelisahan. Telefon bimbit erat dalam genggamannya, seakan-akan ia adalah satu-satunya harapan yang tinggal. Dia mencuba lagi, kali yang entah ke berapa. Setiap nada dering yang bergema menambah debaran di hatinya. Hatinya sarat dengan harapan dan kerisauan, memohon agar panggilannya dijawab kali ini. Mata Naima tertumpu pada skrin telefon, menanti dengan penuh harapan. Dia menarik nafas panjang, berusaha menenangkan diri, namun kegelisahan terus menguasai. "Jawablah Fini, tolonglah jawab," bisiknya perlahan, seakan-akan doanya dapat didengari oleh insan di hujung talian sana.

Tut! Tut!

Nombor yang didail gagal dihubungi.

"Fin, hubungi mama segera. Pleaseee... jangan buat mama macam ni." Air mata dikesat.

Bunyi enjin kereta yang semakin menghampiri membuatkan Naima tergamam. Dia terus menjenguk di sebalik pintu gelangsar, matanya tajam mengamati setiap pergerakan di luar. Dada berdebar-debar, bagaikan ada ombak besar yang menghempas pantai. Adakah itu kereta polis? Atau mungkin kereta seseorang yang membawa berita buruk tentang anak kesayangannya? Nafasnya semakin deras, naik turun tanpa kawalan. Dia berdiri di atas jari-jari kakinya, terjengket-jengket, cuba meluaskan pandangan. Hatinya penuh debaran, berharap yang terbaik namun bersedia untuk yang terburuk. Seluruh tubuhnya tegang, menanti dengan penuh cemas apa yang akan berlaku seterusnya.Naima tarik nafas panjang-panjang. Dia duduk di sofa dan cuba bertenang.

Bermacam-macam bayangan mengerikan muncul dalam kepala Naima. Fini ditangkap penculik, dibawa lari oleh seseorang yang tidak dikenali. Mungkin juga Fini terlibat dalam kemalangan jalan raya yang dahsyat, atau terjatuh ke dalam longkang besar yang dalam. Setiap kemungkinan yang muncul lebih buruk dari sebelumnya, bayangan tentang Fini dibunuh dengan kejam membuatkan hati Naima semakin risau. Tangannya menggigil, hatinya penuh ketakutan, membayangkan pelbagai kemungkinan yang menakutkan.

Bismillahirrahmanirrahim. Naima membaca Al Fatihah, mendoakan keselamatan untuk Fini walau di mana dia berada.

Anak daranya, Fini, sudah mencecah usia 18 tahun. Darah muda yang sedang membara membuatkan Naima perlu berhati-hati dalam setiap tutur kata. Setiap perbualan dengan Fini ibarat berjalan di atas kaca nipis, bimbang jika gadis itu terasa hati. Sejak menginjak usia remaja, Fini menjadi semakin sensitif. Sedikit salah bicara sudah cukup untuk mengubah air mukanya, dari senyum manis kepada wajah kelat. Naima berusaha sebaik mungkin untuk menjaga perasaan Fini, namun adakalanya bimbang dan risau tetap menghantui. Hatinya sentiasa berharap agar Fini memahami bahawa semua nasihat dan teguran itu adalah demi kebaikannya.

Jessica!

Naima segera menghubungi nombor teman baik anaknya itu. Tadi, dia sudah hubungi Jessica namun tidak diangkat. Mungkin Jessica sedang mandi atau sedang mengecas telefon. Fini selalu ke perpustakaan atau ke bandar bersama Jessica.

"Maafkan saya auntie."

Berkerut dahi Naima. "Di mana Fini sekarang?" Naima berdebar-debar menanti jawapan dari mulut Jessica.

"Fini ke semenanjung, auntie. Dia..."

"Semenanjung?" pintas Naima sebelum Jessica habis bercakap. Terbeliak bola matanya.

"Ya auntie. Fini... er... Fini ikut kembar dia."

"Kembar?" Naima melopong.

"Fini dah tahu auntie. Tak ada gunanya auntie rahsiakan lagi."

"Kamu cakap apa ni Jessy? Anak auntie seorang sahaja. Fini mana ada kembar?"

Jessica senyum sinis. "Kembar Fini sanggup terbang dari semenanjung ke sini semata-mata nak bertemu Fini. Janganlah auntie pisahkan mereka lagi."

Naima bingung. Dia tidak pernah beranak anak kembar. Datang mana pulak orang yang mengaku sebagai kembar Fini? Apa yang sedang berlaku? Naima tenangkan diri. Dia harus mendengar cerita sepenuhnya daripada Jessica.

"Kamu pernah jumpa? Bagaimana orangnya?"

Jessica angguk. "Suaranya lembut. Matanya redup. Rupanya, saya tak tahu sebab dia tutup seluruh badannya kecuali mata. Kasihan dia auntie. Kenapa auntie hantar dia ke rumah anak yatim?"

Jessica terbayang wanita yang muncul beberapa minggu lalu, berpakaian hitam dan berpurdah sambil bercerita bagaimana dia dibuang keluarga. "Fini sekarang sudah di awan. Sebentar lagi akan mendarat di KLIA. Dia nak jumpa kembarnya di sana."

Naima menggosok leher. Bulu romanya menegak. "Tak mungkin dia..." Matanya sudah berpinar. 

DENDAMWhere stories live. Discover now