Part 5

4 0 0
                                    

Naima mengelap tangan di tuala yang tergantung di dapur, sebelum mencapai cawan dari rak pinggan. Perlahan-lahan dia menuang air masak dari jag besar dan meneguk beberapa kali, membasahkan tekak yang terasa kering. Langkahnya kemudian diatur kembali ke ruang tamu. Di situ, suasana sunyi, hanya ditemani bunyi angin yang sesekali berdesir di luar. Ruang tamu rumah itu agak besar, dan setiap sudutnya penuh dengan kenangan. Namun, malam ini terasa berbeza. Untuk pertama kalinya, Naima menyedari bahawa dia kini penghuni tunggal di rumah itu.

Naima menggosok-gosok lengannya yang tiba-tiba terasa sejuk. Bulu romanya meremang. Sunyi dan sepi itu mula menyusup ke dalam jiwa. "Kalaulah aku ada adik-beradik," bisik Naima kepada dirinya sendiri. Fikirannya menerawang, kembali mengingati perbualannya dengan Mak Nab sejurus selepas menuntut jenazah ibunya di hospital.

"Kamu kena telefon ayah kamu, makcik kamu. Bagitahu Kak Mah dah meninggal," kata Mak Nab dengan suara yang penuh simpati.

Naima hanya menggeleng kepala. "Ayah... dah lama meninggal. Err... saya tak ada makcik, Mak Nab." Suaranya perlahan, penuh kesedihan.

"Oh." Mak Nab hanya diam selepas itu, tidak lagi bertanya lanjut. Naima dapat merasakan sedikit kehairanan di wajah jiran itu, tetapi dia memilih untuk tidak mempedulikannya.

Persoalan itu mula mengganggu fikiran Naima. "Takkan Mak Nab tak tahu tentang emak yang dah lama kematian suami? Atau mungkin emak sengaja merahsiakan tentang ayah?" Naima tertanya-tanya dalam hati. Atau mungkin juga ibunya tidak suka bercerita tentang status dirinya. Tapi yang lebih membuat Naima bingung adalah soalan Mak Nab tentang makcik. "Kenapa Mak Nab tanya pasal makcik? Bukankah dia berjiran dengan emak sejak lama? Takkan dia tak tahu yang emak anak tunggal?"

Fikiran Naima semakin bercelaru. Meskipun dia sering menganggap dirinya anak tunggal, kini dia mula meragui kenyataan itu. Bagaimana jika sebenarnya ada saudara yang tidak diketahuinya? Bagaimana jika ayahnya masih hidup? Soalan-soalan ini menghantui Naima. Namun, sehingga saat ini, dia tidak tahu jawapan yang sebenar. Dia ingat lagi, ketika masih kecil, sering kali dia bertanya kepada Normah tentang ayahnya. Pada mulanya, ibunya hanya berdiam diri. Tetapi, pada suatu hari, Normah tiba-tiba naik angin apabila Naima terus-menerus mengajukan soalan yang sama. Sejak itu, Naima takut untuk bertanya lagi.

Matanya kini tertumpu ke arah bilik emak. Pintu bilik itu sedikit terbuka, membiarkan cahaya lampu dari ruang tamu menyinar sedikit ke dalam bilik yang gelap. Seolah-olah terbayang olehnya sekujur tubuh ibunya sedang berbaring di atas katil, memandangnya dengan pandangan lemah sambil melambai ke arahnya. Pandangan yang dulu selalu mengisi hari-hari terakhir Normah di dunia ini.

"Mak... kenapa mak tinggalkan Naima seorang diri?" bisik Naima perlahan, suaranya bergetar dengan emosi yang tidak terbendung.

Normah terbaring sakit di atas katil sejak sebulan yang lalu, lumpuh dari pinggang ke bawah. Kesihatannya semakin merosot saban hari. Badannya yang dulu penuh tenaga, kini semakin kurus dan susut. Wajahnya cengkung, dengan mata yang dalam, seperti seorang yang telah lama berjuang melawan penyakitnya. Sedih Naima melihat keadaan ibunya, dan lebih sedih lagi bila memikirkan kini tiada lagi sesiapa untuk menemaninya.

Ketika ingatannya melayang, Naima tiba-tiba tersentak mendengar angin yang menderu-deru kuat di luar. Dia melihat sekeliling, memastikan semuanya baik-baik sahaja. Tingkap-tingkap di ruang tamu sudah ditutup rapi, jadi angin dari luar tidak mungkin dapat masuk. Namun, suara deruan angin itu terasa semakin kuat, membuatkan Naima tidak selesa.

Naima perlahan-lahan melangkah menuju ke bilik Normah. Langkahnya tenang, tetapi hatinya berdebar. Sebaik tiba di pintu bilik, dia melihat daun tingkap bilik itu terbuka luas, terayun-ayun ditiup angin yang kencang dari luar. Tempias hujan turut membasahi lantai bilik. Naima berkerut dahi. Seingatnya, sebelum turun ke dapur tadi, semua tingkap sudah ditutup rapat. Dia pasti tidak ada tingkap yang terbuka.

Dia melawan angin yang menolak kuat dari luar, menapak ke arah tingkap dan menggenggam pemegang tingkap dengan tangan yang sedikit menggigil. Dengan seluruh kudrat, dia cuba merapatkan tingkap itu. Tetapi, pada saat dia menariknya, kilat tiba-tiba menyambar, memancarkan cahaya terang yang membuatkan Naima tersentak. Pegangannya terlepas, dan dia segera memekup telinga, terkejut dengan dentuman guruh yang menyusul selepas kilat.

Ketika matanya terbuka semula, Naima terkejut besar. Dia melihat kelibat seorang wanita sedang berjalan di halaman rumah, basah kuyup di bawah hujan lebat.

"Mak?" Naima membulatkan matanya, menatap raut wajah wanita itu dari jauh. Raut wajah yang dikenali. Sama seperti wajah ibunya! Naima terasa darahnya berderau. "Tak mungkin..."

Wajah wanita itu terus membayangi pandangannya, melangkah perlahan ke arah tangga rumah. Naima memejamkan matanya rapat-rapat, cuba menenangkan diri. Dia menggumam ayat-ayat Al-Fatihah dalam hati, berharap agar apa yang dilihatnya hanyalah ilusi. "Jangan percaya dengan apa yang kau lihat, Naima. Mak dah meninggal. Orang yang meninggal tak mungkin hidup semula," dia mengulang-ulang kata-kata itu dalam hati, cuba meyakinkan dirinya.

Tetapi sebaik sahaja Naima membuka mata semula, wanita itu masih di situ. Semakin dekat, mendekati tangga rumah, seolah-olah mahu naik ke dalam rumah. Naima terasa nafasnya tersekat. Jantungnya berhenti berdegup sesaat, lututnya lemah, hampir tidak mampu menampung berat badannya.

Tanpa membuang masa, Naima segera menutup tingkap itu dengan cepat dan menguncinya rapat. Dengan pantas, dia berpaling dan berjalan keluar dari bilik. Dadanya berombak, bulu romanya meremang tak henti-henti. Ketakutan menjalar di segenap tubuhnya. Naima memejamkan matanya rapat-rapat, cuba menahan diri dari terus memikirkan apa yang baru sahaja dilihatnya. Namun, bayangan itu tetap terlekat di benaknya.

"Jangan ganggu aku!"

DENDAMWhere stories live. Discover now