Part 4

6 0 0
                                    

Awal 1994...

Normah sengaja menyorok kejutan tersebut daripada Naima, anak yang sering menjadi mangsa kemarahannya. Namun, Naima seorang anak yang sangat penyabar. Dia tidak pernah berdendam dengan perbuatan Normah terhadapnya. Setelah doktor mengesahkan Normah mengidap penyakit kanser, Normah mula bermuhasabah diri. Masa yang ada sudah tidak lama. Anak yang dulu dipandang dengan penuh dendam, kini bertukar dengan pandangan kasihan dan simpati. Dulu, dia menganggap kehadiran Naima sengaja hendak memusnahkan kehidupannya. Sejak diberi ujian, barulah dia dapat melihat dari sudut pandangan lain. Tanpa Naima, mungkin hidupnya jauh lebih sunyi dan tidak bermatlamat.

"Rumah ni rumah Naima. Kalau mak dah tak ada, Naima jagalah rumah ni baik-baik." Normah menitip pesanan ketika mereka anak-beranak sedang melayan drama di kaca televisyen.

"Kenapa mak cakap macam tu." Naima memaut lengan Normah lalu melentokkan kepala di bahu Normah.

Normah membelai rambut ikal Naima. Sejak lahir, Normah tidak pernah menunjukkan kasih sayang kepada Naima. Dia terlalu bencikan Naima. Kehadiran Naima tidak dialu-alukan.

Walaupun Normah sedia maklum, apa yang telah berlaku bukan salah Naima. Tetapi, perasaan benci yang sudah lama ditanam di dalam diri membuatkan dia melayan Naima seolah-olah Naima adalah musuh. Hakikatnya, Naima tidak pernah buat apa-apa kesalahan terhadapnya.

Naima tidak meminta untuk dilahirkan. Normah yang ketika itu beria-ia berusaha hendak mendapatkan anak bersama lelaki yang dicintainya. Alih-alih, sebaik sahaja disahkan mengandung, dia mendapat khabar kecurangan suaminya. Kandungan cuba digugurkan namun tidak berjaya.

Terpaksalah dia melahirkan Naima apabila cukup 9 bulan, 10 hari. Naima dijaga acuh tak acuh. Selepas sebulan bersalin, dia terus menghantar Naima ke rumah pengasuh. Normah terus menyangbung kerjanya di kilang elektronik. Hari-hari dia akan bekerja lebih masa. Saat matahari hampir tenggelam, barulah dia mengambil Naima di rumah pengasuh.

Hari Sabtu, Normah tetap buat kerja lebih masa. Hanya hari Ahad, dia akan bersama Naima di rumah. Setiap kali rasa sayang singgah di hati bila melihat raut wajah Naima, dia segera menepis. Wajah Naima berganti dengan wajah Razif. Rupa Naima ikut wajah bapanya. Apabila dia mendukung Naima ke kedai runcit, ramai yang menegur kecomelan wajah Naima. Ada juga yang tidak percaya bahawa dia adalah ibu Naima.

Barah yang dikesan doktor sedang merebak di bahagian tulang belakangnya. Patutlah dia rasa sakit bila berdiri lama. Doktor menasihatkannya supaya menjalani rawatan sebelum keadaan menjadi lebih teruk. Normah enggan. Duit simpanannya akan habis jika meneruskan rawatan. Sedangkan dia sudah merancang untuk menggunakan wang simpanan tersebut bagi membaik pulih rumah pusaka di kampung sebaik sahaja dia berhenti kerja 10 tahun lagi.

Rancangan terus berusah apabila keinsafan menjalari hati dan jiwa.

Bukan main gembira Naima bila Normah mula berubah sikap. Normah mula melayan Naima dengan baik. Mujurlah Naima tidak berdendam. Sekali sahaja dia meminta maaf atas perbuatannya, Naima terus memaafkan dan meminta Normah segera melupakan kisah lalu.

Normah yang terharu dengan sikap Naima. Dia juga dihimpit rasa malu. Mujurlah Allah hadirkan penyakit. Kalau tidak, selamanya dia tidak akan sedar.

Penyakitnya itu adalah ujian yang membuat dia lebih menghargai setiap detik dalam hidup dan memperbaiki diri. Selain itu, ujian kesakitan adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dan bersyukur atas segala nikmat-Nya.

Terima kasih ya Allah kerana telah menyedarkan aku dari lena yang panjang.

Jika Allah tidak menghadirkan penyakit, sudah tentu Normah masih dengan sikap keras hatinya, sukar memaafkan dan yang paling parah adalah, berdendam!

DENDAMWhere stories live. Discover now