Part 3

10 1 0
                                    


Air hujan yang menimpa atap tidak mampu menghilangkan rasa kesunyian. Sebentar tadi, rumahnya dipenuhi jiran tetangga. Seorang demi seorang datang ziarah jenazah Normah yang diletakkan di sebelah ruang tamu yang kosong. Dengan bertutup kain batik lepas, Mak Nab akan membuka setiap kali orang datang ziarah. Naima pula menjadi orang yang paling sibuk. Kerana dia satu-satunya waris yang ada. Dia tidak pernah berhadapan dengan kematian saudara mara. Jadi, dia agak terkejut dengan pengalaman yang baru dilaluinya.

Dia perlu sediakan wang. Seorang demi seorang datang meminta duit daripadanya. Patutlah sebelum meninggal, Normah memberikannya sejumlah wang. Untuk pengurusan pengkebumian, katanya.

Ada yang datang meminta duit untuk penyediaan kain kafan. Normah belum sempat menyertai khairat kematian, jadi orang yang menguruskan jenazah memerlukan wang untuk membeli kain kafan. Duit untuk upah penggali kubur. Duit untuk membeli piring kaca yang diisi dengan pulut dan dua biji pisang emas serta dibalut dengan sapu tangan. Makanan tersebut disedekahkan kepada mereka yang mengiringi dan menguruskan pengkebumian.

Selain itu, duit juga diperlukan untuk untuk penyediaan makanan. Sekawah gulai nenas campur ikan masin disediakan beserta sambal dan ulam-ulaman. Seperiuk besar nasi juga ditanak. Makanan tersebut disediakan untuk orang kampung yang menguruskan jenazah dan tetamu yang datang menziarah. Selepas ziarah jenazah, mereka akan dijemput makan. Ada yang duduk di dapur dan ada yang makan di halaman. Mereka rancak bersembang.

Duit juga diperlukan untuk disedekahkan kepada orang yang solat jenazah. Dua ringgit dimasukkan ke dalam sampul coklat. Semua mencarinya memandangkan hanya dia seorang sahaja waris. Penat, kalut sampai tidak sempat Naima hendak duduk dan baca Yaasin di sebelah jenazah. Sebab itulah selesai pengkebumian, dia melepaskan segala perasaan. Menangis semahu-mahunya.

Suasana tersebut tidak ubah seperti majlis kenduri. Kadang-kadang, Naima bingung melihat tetamu yang datang tidak menunjukkan empati. Malah, raut wajah mereka kelihatan gembira, makan sambil berborak tentang pelbagai topik. Mereka tampak begitu ceria! Hanya dia dan Mak Nab sahaja yang benar-benar merasakan kesedihan atas pemergian Normah.

"Biarlah mereka. Mereka masih belum diuji dengan kematian. Tiba masanya nanti, mereka akan faham. Menziarah orang meninggal bukan sekadar untuk mengisi perut." Pesan Mak Nab yang memahami keadaan Naima.

"Kematian adalah sebahagian daripada kehidupan, dan kita harus belajar untuk menerima serta meneruskan perjalanan hidup." Mak Nab menggosok bahu Naima.

"Naima takut Mak Nab. Macam mana Naima nak hidup seorang diri? Naima belum bersedia."

"Mak Nab ada. Jangan segan kalau nak mintak tolong apa-apa. Bagitahu saja. Ha, kalau malam ni Naima rasa sunyi, belum bersedia untuk tidur dalam rumah ni seorang diri, datanglah rumah Mak Nab."

Mujurlah ada jiran sebaik Mak Nab. Lega sedikit perasaan. Naima melihat jam dinding yang menunjukkan pukul 9.15 malam. Dia menggosok lengan. Entah kenapa dadanya berdebar-debar. Matanya menerawang sekeliling. Seperti ada sepasang mata yang sedang memerhatinya. Naima segera membaca ayat Kursi.

Hendak tidur di rumah Mak Nab, Naima segan. Mak Nab tinggal bersama anak lelaki bongsunya yang tua setahun daripada Naima. Sudahlah Faisal kerap menyakat Naima setiap kali Naima mengayuh basikal ke sekolah.

Naima lebih rela tidur seorang diri di rumah bertemankan ketakutan dan kesunyian berbanding bermalam di rumah Mak Nab.

Naima menyapu air mata. Memori bersama Normah menjelma lagi. Biasanya, di situlah dia dan Normah akan duduk sambil minum kopi dengan biskut kering selesai solat Isyak.

Awal tahun, Normah tiba-tiba mengajaknya pulang ke kampung. Alasan Normah, dia mahu memulakan kehidupan baru di kampung. Pada mulanya Naima agak keberatan. Dia mahu fokus dengan peperiksaan SPM. Naima memberi cadangan agar mereka tangguh dahulu dan pulang selepas tamat peperiksaan.

Normah beria hendak balik juga. Naima terpaksa akur. Kesedihannya berganti ceria bila melihat sebuah rumah besar dan cantik. Rumah idamannya! Sudah lama dia berangan hendak tinggal di rumah atas tanah dan ada halaman yang luas. 

DENDAMWhere stories live. Discover now