Part 7

6 0 0
                                    

"Assalamualaikum." Normisah berdiri di kaki tangga. Pakaiannya sudah lencun ditimpa hujan semasa keluar dari perut teksi. Air dari pakaiannya menitik atas tangga kayu. Keadaan gelap gulita. Hanya sesekali disimbahi cahaya kilat. Angin terus bertiup. Normisah menggosok lengan. Dia kesejukan.

Pintu rumah bercat putih ditenung. Ada orangkah? Salamnya tidak bersambut.

Normisah pandang sekeliling. Halaman rumah masih sama. Luas. Kenangan lalu menggamit kembali. Hatinya menjadi sayu. Sudah beberapa tahun dia tidak menjejakkan kaki ke sini. Segalanya sudah berubah. Dulu, rumah tersebut kelihatan sangat usang. Sekarang kelihatan kembali 'hidup'.

Empat atau lima kali memberi salam, barulah pintu rumah itu terbuka. Di sebalik pintu, seorang gadis dengan wajah pucat memandangnya dengan dahi berkerut, seolah-olah terkejut dengan kehadiran tamu yang tidak dijangka. Gadis itu mengangkat sedikit keningnya, menandakan kekeliruan, sementara matanya yang sayu menyapu pandang tetamu tersebut dari atas ke bawah.

"Naima ye?" Normisah terus menaiki anak tangga. setapak demi setapak.

Naima mengangguk perlahan. "Err... mak... mak cik ni siapa?" soalnya, suaranya bergetar sedikit. Wajah wanita itu persis wajah arwah Normah, membuatkan Naima jadi buntu. Sepupu ibunyakah? Kenapa ibunya tak pernah ceritakan tentangnya? Berbagai soalan berputar dalam fikirannya, mencari jawapan kepada kehadiran wanita misteri ini. Setiap garis dan lekuk di wajah wanita itu begitu mirip dengan arwah Normah, hingga hati Naima berdebar-debar. Adakah ini rahsia keluarga yang selama ini disembunyikan? Mengapa kini baru terungkap? Naima cuba mengingat kembali cerita-cerita lama yang pernah diceritakan oleh Normah, namun tiada apa-apa yang muncul dalam ingatannya.

Naima merasa gusar apabila tubuhnya dipeluk kemas oleh wanita itu. Naima berdiri kaku, umpama batang pokok yang tidak bergoyang ditiup angin. Pelukan itu tidak dibalas, tangannya terangkat namun tidak mampu hendak memeluk wanita tersebut kembali. Hatinya masih dalam fasa keliru, mencari jawapan kepada situasi yang tidak diduga ini. Fikirannya berputar ligat, cuba mencari petunjuk di wajah wanita yang kini memeluknya dengan erat. Ada perasaan asing yang mengganggu hatinya, antara rasa ingin tahu dan kebingungan yang mendalam. Setiap detik yang berlalu terasa begitu lambat, seolah-olah masa terhenti sementara Naima cuba memahami apa yang sedang berlaku.

Normisah melepaskan pelukan. "Allah... mak su lupa perkenalkan diri," katanya sambil ketawa kecil, menyapu air mata gembira bercampur sebak. "Ni mak su kamulah. Mak su ni adik arwah mak kamu."

Naima menelan air liur. "Adik mak?" Dia memerhati raut wajah mak su dengan lebih teliti. Irasnya sangat mirip dengan arwah emaknya. Tapi...

"Kak Mah tak pernah cerita tentang mak su ke?" tanya Normisah dengan mata terkedip-kedip, terkejut melihat reaksi Naima yang seolah-olah baru pertama kali sedar kewujudan adik Normah. Normisah merasa sedikit kecewa, tetapi cuba memahami situasi tersebut.

Naima menggeleng perlahan, masih dalam keadaan terkejut. "Tak pernah pula mak cerita tentang mak su," jawabnya, suaranya penuh kekeliruan. Dia cuba mengingati semula perbualan dengan arwah ibunya, tetapi tiada langsung kisah mengenai Normisah.

Normisah menarik nafas panjang, cuba mengendalikan emosi. "Mak su faham, mungkin ada sebab kenapa arwah mak kamu tak pernah ceritakan tentang mak su. Tapi sekarang, mak su di sini, dan kita ada banyak masa untuk mengenali satu sama lain."

Naima mengangguk perlahan, masih cuba menyesuaikan diri dengan kenyataan baru ini. Pelbagai soalan masih bermain di mindanya, namun dia tahu, ini adalah permulaan kepada bab baru dalam hidupnya.

Rupa dan suara wanita itu benar-benar sama seperti arwah Normah. Naima masih terkebil-kebil, matanya tidak dapat lari dari memandang wajah mak su. Ketika melihat mak su buat pertama kali, terlintas di fikirannya bahawa sebenarnya Normah belum mati. Hanya pengsan, dan selepas dikuburkan baru Normah tersedar. Dalam khayalannya, dia membayangkan ibunya kembali dan berdiri di hadapannya sekarang. Namun, angan-angannya kekal sebagai angan-angan semata-mata. Wanita yang wajahnya mirip arwah itu adalah adik Normah.

Naima menggigil sedikit, perasaan bercampur baur antara kekeliruan dan sedikit harapan yang sirna. "Mak su, maafkan Naima. Sebab wajah mak su sangat mirip dengan arwah mak, Naima ingat...," Naima tidak mampu menghabiskan ayatnya, air mata mengalir perlahan di pipinya.

Normisah mengangguk memahami, senyumannya lembut. "Tak apa, Naima. Mak su faham. Kehilangan orang yang kita sayang memang sukar, lebih-lebih lagi bila rupa kami hampir sama. Tapi mak su di sini untuk bersama kamu, temankan kamu."

Terukir sedikit cahaya kegembiraan di wajah Naima.

"Kak Mah masih marahkan mak su agaknya." Normisah mengetap bibir. "Kami dua beradik saja."

"Macam mana mak su tahu mak dah tak ada?"

"Mak Kiah. Dia yang telefon mak su semalam. Pagi ni baru mak su cari tiket bas."

"Oh. Marilah masuk mak su." Dari tadi mereka hanya berbual di beranda. Terbayang wajah Mak Kiah di ruang mata.

Rokiah pernah datang bertamu semasa Normah sakit. Dia juga datang untuk ziarah jenazah. Naima dan Rokiah tidak begitu mesra. Naima berasa kurang pasti mengapa Rokiah suka menjelinginya setiap kali mereka terserempak di Kedai Runcit Cik La. Seperti ada sesuatu yang tidak kena, dan Naima merasa seolah-olah dia telah melakukan sesuatu yang salah.

DENDAMWhere stories live. Discover now