Part 10

4 0 0
                                    

"Mak su," panggil Naima dari luar bilik.

Normisah terus berdiri dan membuka pintu yang berkunci dari dalam. "Maaf, mak su dah terbiasa kunci pintu bila nak tukar baju."

"Maafkan Naima."

"Ish, tak apa." Normisah sudah bersiap dengan baju Kedah dan kain batik.

"Jom makan. Naima dah siap hidang."

"Mak su minta maaf ya Naima, tak sempat nak tolong Naima," Normisah mengangkat dan merapatkan kedua belah tapak tangan dan jari.

"Alah mak su... tak payah tolong pun. Gulai dah ada. Sambal dan ulam pun ada. Naima tambah telur mata saja. Lagipun mak su baru sampai, tentu penat belum hilang." Kehadiran mak su sudah cukup. Sekurang-kurangnya, dia tidak bermalam seorang diri. Hatinya masih hiba dengan pemergian ibunya.

Normisah tersenyum lembut, merasa terharu dengan kebaikan Naima. Dia melangkah keluar dari bilik.

Normisah membontoti Naima, sambil sempat menjenguk bilik Naima yang terbuka. Ada katil, almari pakaian, meja solek, dan meja belajar. Lengkap! Terlintas di fikirannya masa dia dan Normah berkongsi bilik dulu, mereka hanya tidur atas tilam tanpa sebarang perabot. Bertuah Naima, biliknya serba lengkap.

Naima berpusing ke belakang, menyedari Normisah tercegat di depan biliknya. Dia melangkah menghampiri Normisah dengan senyuman kecil. "Ni mesti bilik mak su dan arwah emak, kan?"

Normisah mengangguk kepala sambil ketawa kecil, mengenang zaman remajanya. "Iya, ni memang bilik mak su dan arwah Kak Mah. Sebelum tidur, kami akan sembang-sembang, dua tiga jam. Macam-macam cerita keluar, dari kisah sekolah, gosip orang kampung, sampai cerita artis. Tapi bila ayah ketuk pintu sambil menjerit dari luar, 'Tidur! Tidur!' barulah kami berhenti bersembang," ujarnya, matanya berkaca mengenang kenangan lama.

Naima terkenang nasib diri. "Mesti seronok, ada peneman... boleh berkongsi banyak cerita." Suaranya sarat dengan kerinduan.

"Seronok sangat zaman tu..." Normisah tersenyum, namun dalam hatinya terdetik rasa pilu. Segalanya berubah apabila kakak berkahwin.

Dia pandang sepi bilik lamanya, penuh kenangan, sebelum mengatur langkah meninggalkannya. Kenangan manis zaman remaja bersama Normah kembali mengusik jiwa, membuatnya terasa kehilangan yang mendalam.

Normisah melabuhkan punggungnya di kerusi. Perutnya sudah berbunyi, tanda kelaparan. Di atas meja, hidangan nasi dan lauk-pauk menanti. Normisah belum sempat menjamah apa-apa sejak tengah hari tadi, dia memang benar-benar lapar. Perjalanan dari Pahang ke Perak bukanlah dekat, ditambah pula perlu singgah di Kuala Lumpur terlebih dahulu. Perjalanan panjang itu melelahkan, namun melihat makanan terhidang membuatkan rasa penatnya beransur hilang.

"Arwah datuk dulu kerja menoreh dan tanam padi, ye mak su?" tanya Naima sambil mengingati cerita ibunya tentang kesusahan datuk dan nenek mencari wang untuk menyekolahkan anak-anak. "Pagi menghadap pokok getah, petangnya pula turun ke sawah."

Normisah tersenyum mengenang memori lama. "Betul, Naima. Datuk dan nenek memang rajin. Setiap hari mereka bangun awal pagi, menoreh getah hingga tengah hari. Lepas itu, terus ke sawah sampai senja. Mereka tak pernah kenal penat. Semua demi masa depan anak-anak."

"Tapi sekarang, banyak sawah yang sudah terbiar," kata Naima dengan nada sayu, teringatkan perubahan masa yang mengubah landskap Kampung Teratai.

"Ada satu lagi tugas arwah ayah." Normisah termenung sejenak sebelum menyambung, " Datuk kamu dulu ketua kampung."

"Hah?" Naima terkejut, matanya terbeliak.

"Kamu tak tahu?" Normisah membasuh tangan, matanya melirik ke arah Naima.

Naima mengangkat bahu, keliru.

"Kak Mah tak pernah cerita?" Normisah mencedok seketul ikan masin dan beberapa potongan nenas ke dalam pinggan.

Naima menggeleng sambil mencapai cerek di atas kabinet. "Emak jarang bercerita," katanya perlahan, merasa hairan mengapa arwah emak tidak pernah berkongsi cerita itu.

Normisah tersenyum lagi. "Datuk kamu memang seorang yang dihormati. Banyak jasa dia pada kampung ini."

Naima hanya mengangguk, berusaha mencerna maklumat baru tentang warisan keluarganya.

"Kami anak dan cucu ketua kampung. Memang jawatan itu untuk keluarga kita sahaja. Kalau datuk ada anak lelaki, tentu dialah yang akan mewarisi jawatan tersebut," kata Normisah sambil mengeluh kecil.

"Oh, Naima tak tahu." Naima bukan tidak ingin ambil tahu, tetapi sikap ibunya yang lebih suka berahsia menyebabkan Naima hilang minat. Buat apa tanya kalau akhirnya dia yang kena marah. Dia meletakkan cerek dalam singki dan memutar pili. Air menderu masuk ke dalam cerek, memenuhi ruangan dengan bunyi gemericik.

Normisah memandang Naima dengan senyum penuh makna. "Marilah makan sama. Segan pula mak su makan sorang-sorang ni."

"Sekejap." Naima meletakkan cerek atas dapur gas dan menyalakan api. Dia kembali ke meja makan dan duduk berhadapan dengan Normisah, cuba mencerna semua cerita yang baru didengarnya.

"Emak memang jarang cerita tentang datuk dan nenek. Mungkin ada kenangan pahit yang dah berlaku..." tambah Naima. Wajah mak su ditenung, mengharapkan mak su akan memberi jawapan.

Normisah tersenyum simpati. "Err... peristiwa dah lama berlaku. Nantilah mak su ceritakan satu per satu."

Riak wajah mak su jelas menyebunyikan sesuatu. Naima semakin berkobar ingin tahu. 

DENDAMWhere stories live. Discover now