Part 11

3 0 0
                                    

"Arwah ibu, nenek kamu pandai menjahit tau. Baju raya mak su dan Kak Mah, ibu yang jahit. Macam-macam fesyen. Ikut trend. Hari raya haji, kawan-kawan pakai baju yang sama yang dipakai hari raya. Mak su dan Kak Mah pula melaram jubah yang ibu jahit."

Normisah tersenyum mengingat kenangan-kenangan manis itu. "Bukan saja baju raya, tapi juga baju sekolah. Semuanya nenek kamu yang jahit. Kadang-kadang ada kawan-kawan yang iri hati sebab baju raya kami nampak lain daripada yang lain. Paling cantik!"

Naima melopong mendengar cerita mak su. Seronok pula mendengarnya. Mak su seorang yang ramah, berbeza dengan ibunya.

"Langsir berganti setiap tahun. Ramai juga orang kampung yang tempah baju dan langsir dengan nenek kamu. Ha lagi satu... halaman rumah penuh dengan pokok bunga. Nenek kamu suka tanam pokok bunga matahari. Berseri-seri halaman rumah bila bunga matahari mekar berkembang."

Naima mengangguk. Dia merasa kagum dengan kebolehan neneknya yang tidak pernah dia tahu. "Banyak betul cerita menarik yang Naima tak tahu. Seronoknya kalau dapat hidup dalam zaman tu."

"Memang seronok, tapi ada juga susahnya. Tapi itulah yang buat kita jadi kuat. Kak Mah banyak belajar dari nenek. Mungkin dia tak pernah cerita sebab..." Normisah angkat bahu.

Seperti ada yang sedang disorok mak su. Naima tidak berdaya hendak bertanya. Biarlah mak su ceritakan semuanya tentang apa yang sudah berlaku. Kenapa emak sembunyikan cerita tentang mak su, kenapa emak tidak pernah balik ke kampung dan macam-macam persoalan lagi. Akan tiba masanya, segalanya akan terjawab. Naima hanya perlu bersabar.

"Mak su ada simpan gambar datuk dan nenek? Naima teringin nak tengok." Naima menuang air ke dalam gelas. Dia hanya menemani mak su makan.

"Eh, banyak je gambar. Datuk kamu suka ambil gambar. Tapi gambar hitam putihlah. Masa tu belum ada gambar berwarna lagi, macam sekarang," jawab Normisah.

"Nak tengok..." Naima agak teruja, matanya bersinar-sinar.

"Mak su tak nampak pulak kabinet tu." Normisah garu kepala yang ditutupi serkup hitam. "Kamu ada nampak? Kabinet kayu dengan cermin kaca. Ada rak di bahagian atas, bahagian bawah pula ada laci bertutup."

Naima menggeleng kepala. "Yang ada kabinet tv tu saja. Emak baru beli masa kami pindah sini."

"Album gambar lama di situlah nenek kamu simpan."

"Ingat mak su simpan. Menurut cerita arwah mak, rumah ni lama terbiar lepas nenek dan datuk meninggal."

"Sayang kalau arwah dah buang semua." Normisah memandang sekeliling. Takkanlah kakaknya nak buang barang berharga.

"Mak su tinggal di mana sekarang? Kenapa mak su tak duduk di kampung ni."

Perbualan mereka masih belum berhenti walaupun jarum panjang sudah menunjukkan angka sebelas. Kopi panas dan biskut kering menjadi peneman.

Normisah berdeham. Belum ada perancangan hendak balik dan duduk di kampung halamannya. "Err... mak su tinggal di Pahang."

"Pahang?" Terbeliak biji mata Naima. Ingat mak su tinggal di negeri yang sama. Rupanya nun di pantai timur.

Normisah mengangguk. "Mak su tinggal dengan pak su dan anak-anak."

"Kenapa mak su tak datang dengan pak su dan anak-anak mak su sekali?" Naima teruja bila dapat tahu yang dia mempunyai sepupu.

Air muka Normisah terus berubah. "Pak su tak sihat. Dah setahun kena stroke. Tangan, kaki kanan tak dapat gerak. Ni anak-anak mak su jaga pak su di rumah."

"Oh," Naima tumpang simpati. "Berapa orang anak mak su?" Mak su lebih terbuka untuk bercerita. Naima rasa senang bila berbual dengannya.

"Dua orang. Yang sulung, perempuan. Tingkatan tiga. Dia yang banyak bantu mak su di rumah. Yang bongsu darjah 6, lelaki. Mak su lupa nak bawak gambar mereka. Ada masa nanti, Naima jalan-jalanlah ke sana."

"Teringin juga nak ke sana. Saya belum pernah sampai belah Pantai Timur lagi." Naima senang hati dengan pelawaan mak su.

Prang! Terdengar bunyi benda jatuh dari atas rumah. Normisah memandang wajah Naima tak berkelip. Ada orang pecah masuk rumahkah?

Naima ketawa kecil. "Kucing jiran tu... selalu curi-curi masuk rumah ni. Kejap ye mak su." Dia perlu halau sebelum kucing jiran berkencing merata tempat.

Naima memanjat tangga menuju ke ruang tamu, langkahnya perlahan. Tiba-tiba, dia teringat bayangan ibunya yang muncul di ruang tamu. Dia tidak pasti sama ada hanya mainan perasaannya atau benar-benar terjadi. Bulu romanya terus menegak.

Setibanya di atas, matanya segera tertancap pada pasu bunga seramik yang tergolek di lantai. Naima ketap bibir. Pasu itu diangkat semula dan diletakkan di kedudukannya.

Mujur tak pecah, gumam Naima. Dia menghala ke dapur. Sempat memalingkan muka ke bilik arwah. Tersentak jantung bila melihat tingkap bilik Normah yang terbuka luas.

"Rasa dah dikunci tadi," bisiknya sendiri sambil menggaru kepala. 'Mungkin mak su buka tingkap dan lupa tutup.'

Bulu romanya meremang, perasaan seram menjalar ke seluruh tubuh. Namun, mengingatkan dirinya tidak bersendirian di rumah itu, Naima kembali mengumpul keberanian. Dia melangkah perlahan memasuki bilik Normah, tangannya segera mencapai tingkap yang terdedah kepada hujan lebat di luar. Angin kencang yang tadi menggila kini sudah surut, namun kesejukannya masih terasa mencengkam. Dengan cepat, Naima mengunci tingkap, memastikan ia tertutup rapat.

"Apa yang jatuh?" jerit Normisah dengan suara nyaringnya.

"Pasu terbalik mak su, dilanggar kucing."

Naima segera meninggalkan bilik ibunya lalu kembali ke dapur.

"Mak kamu kerja apa ye?" Normisah sudah lama ingin tahu apa yang dibuat kakaknya selepas berhijrah keluar dari kampung.

"Mak kerja kilang. Kami tinggal di Bangi, Mak Su."

Normisah dan Normah, dua beradik yang langsung tidak pernah berhubung. Pasti ada sebabnya, fikir Naima. Mengapa mereka, yang hanya berdua, seolah-olah terputus hubungan? Kalau diikutkan, tentu hubungan mereka sepatutnya rapat. Naima teringin benar untuk bertanya terus kepada Normisah, tetapi rasanya tidak beradab. Jadi dia memilih untuk menunggu. Lambat laun, pasti Normisah akan membuka mulut juga.

"Oh, mak su langsung tak tahu. Sejak mak kamu tinggalkan kampung ni, dia tak pernah kirim khabar. Sekeping surat pun tak ada," ujar mak su, suaranya mengandungi sayu yang sukar disembunyikan.

"Kenapa mak tinggalkan kampung ni?" Naima bertanya, kening terangkat sedikit, matanya tajam menatap wajah Mak Su, seolah-olah cuba mencari jawapan yang tersembunyi di balik riak wajah itu.

Normisah menghela nafas panjang, sebelum perlahan-lahan mencelupkan biskut empat segi ke dalam cawan air. Gerak tangannya lembut, seolah-olah membawa dirinya kembali ke zaman silam yang mula menghantui ingatan.

"Waktu itu susah, Naima," dia mula bercerita, suaranya lembut tetapi penuh emosi yang terpendam. "Mak kamu... dia seorang yang keras hati. Ada sebab dia tinggalkan kampung ni, tapi mak su tak tahu secara terperinci. Cuma, mak su masih ingat, selepas mak kamu pergi, datuk dan nenek kamu sangat kecewa."

Naima terdiam, hatinya sebak mendengar cerita yang tidak pernah diketahuinya. Pertanyaan Naima itu membuatkan Normisah teringat kisah silam.

"Masa tinggalkan kampung ni, mak dah kahwin ke?"

Riak wajah mak su jelas menyebunyikan sesuatu. Naima semakin berkobar ingin tahu. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 27 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

DENDAMWhere stories live. Discover now