Pusat Pelarian UN, Utara Idlib, Syria, 1704 pm. waktu tempatan.
Di tengah kekacauan kemanusiaan, Professor melangkah dengan tenang. Berpakaian vest lengkap dengan logo UN di dadanya, dia berjalan melalui barisan khemah-khemah yang penuh sesak dengan para pelarian yang berjuang untuk terus hidup. Di sekelilingnya, kanak-kanak menangis, ibu-ibu kelihatan cemas, dan bantuan perubatan yang sangat diperlukan berada dalam keadaan genting selepas kerajaan rejim Syria menggugurkan bom di sekitar bandar Idlib.
Professor berhenti sejenak, memandang dengan mata penuh belas kasihan ke arah seorang kanak-kanak kecil yang sedang menangis kelaparan di sebalik khemahnya. Prof mengeluarkan sesuatu dari koceknya dan memberikannya choc bar dan gula-gula. Mata kanak-kanak itu terus besinar kegembiraan. Dia bertanya kepada kanak-kanak itu.
"Di mana doktor yang bertugas?"
Kanak-kanak itu mengarahkan dia ke arah sebuah khemah yang lebih besar di hujung kawasan itu. Professor melangkah dengan penuh kepastian, setiap langkah membawa misi yang lebih besar daripada apa yang dilihat di permukaan.
Di dalam khemah perubatan itu, Sarah, seorang doktor yang dedikasi namun keletihan, sedang memeriksa seorang kanak-kanak yang tidak sedarkan diri. Dr. Sarah kelihatan lusuh tetapi matanya bersinar dengan rasa tanggungjawab dan tekad. Tangan kanannya masih berlumuran darah dari usaha menyelamatkan mangsa-mangsa yang tidak henti-henti memerlukan bantuannya.
Professor mendekatinya dengan lembut. "Dr. Sarah?"
Dr. Sarah menoleh, mengesat peluh dari dahinya.
"Siapa kau?"
Professor tersenyum.
"Aku di sini bukan untuk membebankanmu dengan masalah lagi, tapi untuk memberimu tawaran—peluang untuk melakukan lebih daripada sekadar ini."
Dr. Sarah, walaupun keletihan, mengerutkan dahinya dengan rasa ingin tahu.
"Apa yang lebih daripada ini? Di sini aku menyelamatkan nyawa. Adakah kau fikir aku boleh meninggalkan mereka?"
Professor mengangguk perlahan, matanya penuh pemahaman.
"Aku tidak akan meminta kau tinggalkan apa yang kau percaya, tetapi ada cara yang lebih besar untuk menegakkan keadilan, untuk memberikan kehidupan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Dunia memerlukanmu, Dr, lebih daripada apa yang kau lakukan di sini."
Dr. Sarah duduk dengan berat hati di sebelah salah seorang pesakitnya, kanak-kanak yang masih tidak sedarkan diri. Dia menghela nafas panjang, bertanya dengan nada lelah,
"Apa erti kehidupan ini? Apa sebenarnya keadilan? Setiap hari, aku melihat lebih ramai yang mati tanpa sebab, tanpa alasan yang boleh diterima."
Professor tersenyum, matanya bersinar dengan pemahaman mendalam.
"Kehidupan adalah perjuangan yang tiada henti untuk mencari makna, dan keadilan bukanlah satu titik akhir. Aristotle pernah berkata, keadilan adalah keutamaan dari semua kebajikan moral. Kant melihat keadilan sebagai kewajiban yang ditetapkan oleh akal. Namun, Albert Camus mengajar kita bahawa dalam dunia yang kacau-bilau ini, keadilan sejati mungkin tidak pernah wujud, tetapi kita harus terus berjuang mencapainya."
Dr. Sarah termenung sejenak, merenung falsafah yang mendalam itu.
"Aku telah melihat terlalu banyak kesengsaraan, terlalu banyak nyawa yang musnah."
Professor mengangguk.
"Dan itulah sebabnya kau penting. Bersama kami, kau boleh mengubah lebih daripada sekadar kehidupan di khemah-khemah ini. Kau boleh mengubah dunia."
Setelah lama berdiam diri, Dr. Sarah mengangguk.
"Baiklah, aku setuju. Kalau ini satu peluang untuk memperbaiki dunia, aku akan ikut."
---
Di bilik kebal Tri-0, di sebuah lokasi rahsia yang penuh dengan pelbagai jenis peralatan canggih, ET menjalankan tanggungjawabnya memujuk seorang genius sepertinya. ET duduk di hadapan monitor berteknologi tinggi. Jari-jarinya menari di atas papan kekunci, menghantar mesej cryptic rahsia yang hanya orang genius setara dengannya mampu membuka dan membacanya. Mesej sulit itu dihantar melalui saluran rahsia kepada seseorang yang tersembunyi jauh di dalam program perlindungan saksi INTERPOL.
"L, kau tahu kau tak boleh bersembunyi selamanya,"
taip ET, dalam mesej yang disulitkan. Dia sedang berhubung dengan seorang genius kriptografi yang terkenal, seseorang yang pernah bekerja untuk salah satu sindiket jenayah terancang paling berkuasa di Asia.
"Kenapa aku harus percaya kau? Kau boleh jadi sesiapa sahaja. Aku tak mahu nyawa aku berakhir seperti mereka yang lain,"
jawab L, paranoid dan berjaga-jaga.
ET tersenyum di skrin monitor, menyiapkan mesej balas.
"Lagi lama kau berada di dalam perlindungan saksi, lagi tinggi risiko kedudukan kau dibongkar. Mereka tidak akan berhenti sehingga mereka dapat kau. Kau tahu siapa yang kau hadapi."
L meminta bukti. Dia tidak akan keluar dari persembunyiannya hanya kerana ancaman kosong.
"Buktikan kata-kata kau," balasnya.
ET mengangkat keningnya, ET yang mempunyai ego yang tinggi sudah menjangkakan jawapan itu.
"Buka mesej berikut. Ini mungkin akan membuatkan kau berfikir dua kali."
Dalam sekejap, ET menghantar satu rakaman CCTV yang sangat sulit. Dalam video itu, salah seorang pengawai polis INTERPOL, yang seharusnya melindunginya, dilihat sedang berjumpa dengan orang kanan musuhnya. Bukti pengkhianatan itu terpampang jelas.
L menatap video itu dengan mata terbeliak. Rasa takut mula menyelinap di segenap fikirannya.
"Aku tidak percaya... mereka sudah semakin dekat," bisiknya.
ET menghantar mesej terakhir. "Ini peluang terakhir kau untuk hidup, L. Sertai kami, dan kau akan selamat. Tolak, dan kau akan hilang dalam radar."
Terdiam lama, akhirnya L membalas dengan satu kata,
"Setuju."
ET tersenyum puas. "Seseorang akan menjemput kau malam ni"
YOU ARE READING
UNIT TRI-0 (GHOST UNIT)
AçãoDalam dunia yang semakin terancam oleh musuh yang kebal terhadap undang-undang dan sukar dikesan oleh agensi keselamatan konvensional, sebuah unit rahsia yang dikenali sebagai Unit Tri-0 atau Ghost Unit telah ditubuhkan oleh kerajaan. Unit ini ditug...