Code 01-1:Ops Perdana

8 1 0
                                    


Langit malam bertaburan bintang, namun hutan di sekeliling mereka terlalu tebal untuk membiarkan sinarnya tembus ke tanah. Hanya deruan angin yang membelai daun-daun rimbun mengisi keheningan di tempat terpencil itu. Dua pemimpin tertinggi negara — Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri — akhirnya berhenti sejenak, setelah tiga hari berjalan kaki tanpa henti. Mereka kelihatan keletihan, namun mata mereka bersinar dengan semangat, kerana mereka tahu misi hampir selesai.


Dengan kompas khas di tangan, mereka tiba di satu kawasan terpencil di pinggir sungai. Peta lama yang digenggam Perdana Menteri menunjukkan mereka sudah tiba di destinasi. Di depan mereka, terdapat sebuah pondok kayu yang usang yang sudah lama ditinggalkan.


"Ini tempatnya," 

kata Perdana Menteri dengan suara perlahan, namun nadanya penuh keyakinan. Menteri Dalam Negeri berdiri tegak di sebelahnya, menarik nafas panjang, wajahnya basah oleh peluh dan keletihan.


Tiba-tiba, tanpa sebarang amaran, seseorang muncul dari balik pokok. Wajahnya sedikit kabur dalam bayang-bayang hutan, tetapi karismanya terlalu kuat memancar.


"Jadi, akhirnya kamu berjaya sampai sini,"

suara itu bernada sinis dan penuh pengalaman. Lelaki yang muncul itu bukan sembarangan orang. Walaupun sudah berusia 68 tahun, tubuhnya masih tegap, wajahnya masih berkarisma, dan matanya tajam menembusi kegelapan.


Professor.


Dia memandang kedua-dua pemimpin itu, menilai mereka dari hujung rambut hingga ke kaki. 

"Dua pemimpin negara, masing-masing baru berusia awal 50-an, sudah keletihan hanya berjalan tiga hari? Malu dengan usia muda kalian. Sedangkan aku yang tua ini masih tegap."

Perdana Menteri, walaupun letih, tersenyum samar. 

"Kami tidak datang untuk suka-suka, Professor. Kami datang kerana kami sangat perlukan prof."

 Suaranya penuh dengan ketegasan.

Professor berjalan perlahan mengelilingi mereka, seolah-olah seorang pemburu yang sedang memeriksa mangsanya. 

"Kalau aku tak mahu dijumpai, sampai bila-bila pun kamu berdua takkan dapat cari aku. Tapi aku hargai usaha kamu berdua, datang sendiri, tanpa pengawal peribadi, tanpa helikopter. Menunjukkan betapa terdesaknya kamu."

Menteri Dalam Negeri menghela nafas panjang. 


"Ini bukan soal terdesak, Professor. Negara kita berada dalam bahaya. Kami memerlukanmu untuk menghidupkan kembali Unit TRI-0. Hanya kamu yang tahu bagaimana."


Professor terhenti, wajahnya tiba-tiba menjadi serius. Dia menatap mereka dengan dingin, lalu menggeleng. 


"Unit TRI-0 sudah mati bersama masa lalu. Zaman komunis telah berakhir. Aku tak mahu melibatkan diriku dalam politik semasa, yang hanya penuh dengan kepura-puraan dan penipuan."

Suaranya tegas, seolah-olah perbincangan itu sudah berakhir.

"Ini bukan tentang politik!"


 Perdana Menteri mencelah, nadanya semakin tegas. 

"Ini tentang negara. Ada ancaman yang undang-undang biasa tidak boleh tangani. Seperti zaman komunis dahulu, kita perlukan pasukan yang boleh bergerak di luar batasan birokrasi. Kita perlukan seseorang yang boleh melindungi negara ini daripada musuh yang tidak terikat dengan peraturan."

Professor merenung Perdana Menteri sejenak, sebelum melangkah menuju ke arah sungai, seolah-olah tidak peduli dengan kata-kata itu. 


"Musuh akan sentiasa wujud. Tetapi apa yang membezakan mereka? Kau sendiri tahu, politik di negara ini penuh dengan muslihat dan janji palsu. Aku tidak mahu kotorkan tanganku lagi."

Menteri Dalam Negeri melangkah maju, wajahnya kali ini serius. 


"Kami tidak akan meminta kalau ada pilihan lain, Professor. Kau tahu ini bukan soal kuasa, ini soal kelangsungan negara. Kami sudah hilang kepercayaan terhadap sistem kini. Sistem kini sudah rosak membarah dari dalam."

Hening seketika. 


Hanya bunyi deru sungai yang mengalir dan cengkerik malam yang memecah kesunyian. 


Professor memandang sungai, wajahnya sedikit lembut tetapi masih keras.

"Apa yang membuatkan kau fikir aku akan kembali setelah semua yang berlaku? Setelah pengorbanan yang aku buat dulu? Aku sudah berjanji pada diri sendiri untuk tak pernah terlibat lagi dalam dunia kini ini."

Perdana Menteri melangkah maju. 


"Kami tidak akan meminta apa-apa lagi selepas ini, Professor. Satu permintaan terakhir. Selamatkan negara ini sekali lagi, seperti dulu."

Wajahnya penuh dengan ketulusan.

Professor menarik nafas panjang, sebelum berpaling semula ke arah kedua-dua pemimpin itu. "Jika aku bersetuju, aku mahu kebebasan penuh. Tiada campur tangan politik, tiada laporan, tiada kawalan birokrasi. Aku yang pilih anggota, aku yang jalankan misi, dan aku yang tentukan keadilan. Faham?"


Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri berpandangan sesama sendiri sebelum mengangguk serentak. 


"Kami janji. Tiada siapa akan campur tangan."

Professor tersenyum sinis. 

"Kita akan lihat sejauh mana kamu tepati janji."

UNIT TRI-0 (GHOST UNIT)Where stories live. Discover now