SATU jam di dapur, empat jenis lauk berjaya dimasak. Ayam gulai, ikan rebus goreng, rebung masak lemak dan pajeri nenas. Ada juga sepinggan ulam ulaman dan air bandung. Mangkuk berisi lauk disusun cantik-cantik atas meja.
Memandang hasil masakannya, Raid lepas nafas lega. Satu kepuasan bila dapat memasak. "Mina!" Dijengil biji mata pada adiknya yang tiba-tiba muncul lalu cuit kuah dalam mangkuk. "Elok sikit perangai tu."
Mina mencebik dengan teguran si abang lalu selamba tarik kerusi lalu duduk. Tunduk kepala, dia menghidu lauk pauk yang terhidang sambil pejam mata. Celik mata, Raid dipandang. "Sebab nilah Mina suka sangat balik rumah bila hujung minggu. Masakan abang memang the best!"
"Tak masak pun kau memang jenis kaki balik rumah," sindir. Sudah masak dengan perangai adik bongsu.
Mina ketawa kecil kemudian kembali balas. "Hari tu lauk yang abang bungkus tu kawan Mina makan tau. Bila Mina cakap abang yang masak dia tak percaya. Dia cakap tak mungkin orang lelaki masak sedap macam ni."
Dengan bangga Mina cerita. "Ni kalau orang kampung tau abang pandai masak mesti kecoh. Silap hari bulan ada masuk minang abang. Abang Mina ni dahlah handsome, baik, banyak duit, pandai masak, family person. Perfect!"
Raid hanya pasang telinga. Puji tu adalah yang nak dibodek nanti. Macam dia tak tahu. Bagi Mina, dialah bank."Abang... dah tiga bulan dah. Takde ke abang berkenan mana-mana anak dara kat kampung kita? Janda ke? Mak okey je kalau abang suka janda."
Buat muka terus Raid buka langkah. Malas melayan.
"Abang!" Merengek Mina apabila Raid berlalu pergi. Inilah perangai abang sulungnya. Bercakap pasal jodoh kalau boleh lari ke Pluto abangnyalah orang pertama yang akan sampai.
Langkah Raid berhenti di hujung dapur di mana terdapat sebuah bilik di situ. Pintu yang sedikit terbuka ditolak kemudian dia melangkah masuk. "Mak..." Dipanggil wanita yang duduk meluncur kaki atas katil. "Jom makan. Mina dah tunggu."
Apabila wanita itu angguk, Raid bantu maknya bangun. Tongkat dihulurkan. Kemudian tangannya memegang lengan wanita itu lalu mereka sama-sama keluar bilik.Tiba di meja makan, kerusi ditarik untuk mak duduk. Nasi diceduk ke pinggan. Siap dituang lauk. Ikan rebus goreng dan pajeri nenas kegemaran wanita itu. Kemudian pinggan diletak depan mak. "Makan mak."
Selesai, Raid duduk sebelah Mina. Selalunya waktu makan hanya ada dia dan mak. Bila Mina balik barulah mereka bertiga boleh makan semeja.
"Abang ni...Mina yang perempuan pun cair tengok abang layan mak. Abang memang terbaik. Kalau mak pun abang layan macam queen, isteri abang nanti entah macam mana." Mina menyampuk. "Abang cepatlah kahwin. Mina tak sabar nak tengok abang naik pelamin lagi. Dulu masa abang kahwin..."
"Mina!" Mak Cik Rozita bulatkan mata apabila melihat wajah Raid berubah. Bukan anak bongsunya tak tahu yang abang sulungnya anti dengan perkataan kahwin. Tapi itulah dah nama anak bongsu, memang jenis suka mengusik. Sedangkan banyak kali dia pesan pada Mina jangan ungkit hal Raid yang lepas.
"Apa?" Mina buat-buat tak faham. "Mina nak cakap masa abang kahwin tu Mina sekolah lagi. Mina tak ingat apa-apa pun pasal majlis abang. Kalau abang kahwin sekarang mesti..."Mesti Mina happy dapat tolong apa yang patut. Tapi ayat itu hanya kedengaran dalam hati apabila Raid menjeling tajam. Sudahnya Mina kembali sambung makan. Tahu isyarat itu tanda mahu dia senyap.
"Minggu depan kereta kau sampai." Raid buka mulut apabila keadaan mula sunyi.
"Seriuslah abang belikan Mina kereta?"
"Jangan kau bawak lelaki sudah. Aku tahu siap kau!"
Laju Mina angkat tangan kiri paras bahu. "Sumpah tak! Thank you abang. Sayang abang! Mina janji tiap-tiap sem Mina akan dapat dekan." Dipaut lengan abangnya lalu kepala dijatuhkan ke bahu itu beberapa saat. Betapa untungnya jadi adik kepada lelaki bernama Raid ini.
"Tak bazir ke belikan Mina kereta?"
"Mak!" Terus Mina tegakkan badan. "Abang yang beli. Bukannya Mina minta. Lagipun tak luaknya duit abang."
"Myvi yang abang kamu beli tu elok lagi. Boleh je kalau nak guna. Terengganu dengan Kuantan ni bukan jauh mana."
"Takpe mak. Saya memang nak belikan Mina kereta baru. Hadiah untuk dia sebab sambung degree. Tapi tengoklah kalau dia buat hal...nanti kereta tu saya tarik balik." Dijeling Mina yang duduk di sebelah.
Alasan lain sebagai tanda terima kasih juga. Selama ini adik bongsunya yang jaga mak. Yang tinggal bersama mak, yang jadi penyeri di rumah saat anak-anak lain sudah ada tanggungjawab sendiri. Banyak jasa Mina sebab itu Raid tak berkira. Apalah sangat harga sebuah kereta dengan pengorbanan adiknya.
"Abang, lauk lebih bungkus tau. Mina nak bawak balik asrama. Kawan Mina dah pesan."
Menggeleng Raid dengan permintaan Mina. Mahu tolak adiknya sudah angkat lari sebaik perut kenyang. Bukannya mahu bantu dia mengemas. Dasar anak dara zaman sekarang. Sudahnya Raid buat semua sendiri.
Sepuluh minit kemudian dapur sudah siap dikemas. Kopi dibancuh lalu diletak depan mak yang masih duduk di meja makan.
"Raid..."
"Mak jangan risau. Nanti saya hantar anak manja mak balik kampus." Bagai sudah jadi satu kewajipan setiap minggu atau setiap dua minggu sekali dia kena ambil dan hantar Mina yang masih belajar di Terengganu.
Mak Cik Rozita senyum. Mesti Raid sudah bosan jadi pemandu tak bergaji pada Mina. Ditarik tangan anak lelakinya duduk. "Raid okey ke tinggal dengan mak?"
"Kenapa mak tanya?" Lembut Raid bertanya kembali. Setelah tiga bulan baru hari ini mak tanya.
"Mak rasa macam Raid terpaksa balik. Raid tinggalkan semua yang Raid ada kat sana untuk hidup kat kampung dengan mak. Kat sana Raid kerja hebat tapi balik sini Raid kerja kampung. Macam tak sesuai dengan hidup Raid. Anak mak ni bukan biasa-biasa. Engineer hebat."
Raid hanya senyum. "Itu semua dah berlalu mak. Hidup saya sekarang dengan mak."
"Kadang mak rasa menyesal. Kalau Raid balik sebab..."
"Saya dah cakap sebelum ini, keputusan saya balik ni keputusan saya sendiri. Mak jangan risau. Ya, mula-mula saya tak setuju bila mak suruh balik. Tapi bila mak accident Allah dah bukakan hati dan mata saya untuk saya lebih hargai mak. Jadi saya tak fikir apa dah. Mungkin dah sampai masa saya balik. Lagipun sebelum ni saya ada niat nak balik Malaysia cuma...entahlah."
Raid tidak habiskan ayat. Ya, ada halangan untuk dia balik Malaysia. Bukan saja-saja dia mahu tinggal di negara orang sampai bertahun lamanya. Meninggalkan keluarga tercinta. Ketenangan yang dicari itu tiada di Malaysia. Yang ada hanya kelukaan.
"Mak orang yang paling suka bila Raid cakap nak balik. Dah sepuluh tahun Raid kat sana." Dipandang wajah Raid. Sesungguhnya dia mahu beritahu si anak apa harapannya. Tapi dipendam saja dalam hati. Tahu kenapa Raid memilih untuk pergi jauh. Terkenang apa yang pernah dilalui oleh si anak hati tuanya kembali sedih.
YOU ARE READING
RAID
Romance10 tahun bergelar duda, RAID tak pernah terfikir untuk kahwin lain. Kecurangan yang dilakukan oleh bekas isteri memberi satu tamparan yang hebat dalam hidupnya. RAID trauma dengan perkahwinan. Sehinggalah... "Rhea jatuh cinta dengan abang." - RHEA K...